Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
RCI TH: SPRM, PDRM, LHDN Mula 'Gempur' Individu Terlibat Siasatan
Siasatan susulan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mula 'menggempur' individu yang dikenal pasti terlibat dalam kepincangan pengurusan institusi itu.
Setakat semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman lima individu bagi membantu siasatan berhubung pelbagai dakwaan salah laku yang didedahkan dalam laporan setebal 211 halaman itu, yang diterbitkan pada 29 Julai lepas.
Mereka yang direman antara tiga hingga lima hari itu merangkumi pelbagai profil profesional, termasuk seorang bekas pengurus ladang, pengarah syarikat reka bentuk, timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah milik badan berkanun.
Selain tangkapan reman itu, Pasukan Khas SPRM turut menahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah badan berkanun pada 4 Ogos lepas bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa dalam transaksi pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Bagaimanapun, kedua-dua suspek yang berusia 68 dan 60 tahun itu dibebaskan atas faktor kesihatan, namun CFO berkenaan telah selesai dirakam keterangan semalam, manakala CEO terbabit masih dalam tempoh cuti sakit.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah membuka lima kertas siasatan susulan sembilan laporan yang diterima daripada pengurusan TH, anak syarikatnya serta orang awam.
Pengarah JSJK Datuk Rusdi Mohd Isa berkata tindakan sedang diambil untuk merakam keterangan saksi dari dalam dan luar negara selain mendapatkan dokumen berkaitan bagi membantu dan melengkapkan siasatan.
Ketegasan yang sama turut dizahirkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang memulakan siasatan terhadap individu tertentu selepas mengesan ketidaksepadanan ketara antara pemilikan aset mewah dengan jumlah pendapatan yang dilaporkan.
LHDN memaklumkan analisis risiko percukaian mendapati wujud keraguan dalam perisytiharan pendapatan individu terbabit, sekali gus membawa kepada serbuan di beberapa premis bagi menyita dokumen serta mengesahkan fakta siasatan.