combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,128
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,128
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
RCI TH: Segerakan Pendakwaan Jika Bukti Mencukupi - Peguam
Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Tindakan tegas termasuk pendakwaan terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diambil sebaik sahaja bukti mencukupi diperoleh, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Beliau berkata tindakan tegas tanpa mengira kedudukan individu terbabit penting bagi memastikan syor Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH diterjemahkan kepada tindakan undang-undang sewajarnya, sekali gus memulihkan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu.
“Apabila telah selesai mana-mana siasatan dan kalau ada keputusan rasmi serta cukup keterangan, maka untuk menambahkan keyakinan rakyat dan membuat syor RCI itu jadi zahir, tindakan jenayah perlu diambil serta-merta tanpa mengira siapakah individu berkenaan.
"Itu yang rakyat nak tengok. Lagi awal kita boleh selesaikan perkara ini dan bawa ke mahkamah kalau ada bukti-bukti yang cukup, rakyat akan bertambah yakin," katanya kepada Bernama.
Mohamed Haniff Khatri yang pernah terlibat dalam prosiding RCI, berkata bagaimanapun tindakan pendakwaan terhadap sesuatu kes tidak bermakna keseluruhan siasatan berkaitan laporan RCI berkenaan telah selesai.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan dan pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan secara berperingkat bagi memastikan rakyat memahami bahawa tindakan pendakwaan dibuat berdasarkan bahagian siasatan yang telah lengkap dan mempunyai bukti mencukupi, manakala siasatan terhadap perkara lain masih berjalan.
“Perlu diberitahu bahawa siasatan jenayah berkaitan laporan RCI belum tamat. Ada banyak lagi siasatan sedang dijalankan. Jadi kena pandai susun atur pemahaman orang supaya mereka tidak anggap dua tahun lagi bila bawa orang lain ke mahkamah, ia disebabkan perubahan kerajaan.
"Kena buat kenyataan satu demi satu supaya rakyat faham bahawa tindakan itu adalah berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh," katanya.
Peguam yang banyak mengendalikan kes jenayah dan sivil itu berkata siasatan berhubung laporan RCI itu juga dijangka mengambil masa kerana pelbagai aspek perlu diteliti secara menyeluruh, termasuk persoalan tadbir urus TH, urusan pelaburan serta kemungkinan pelanggaran undang-undang.