kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
RCI TH: Azeez Rahim Tiba Di Kompleks Mahkamah KL Untuk Hadapi Pertuduhan
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Gambar Fail)
Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini untuk menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling itu memasuki mahkamah pada 10.21 pagi dengan memakai baju lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) berwarna ungu dan bergari.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, Abdul Azeez akan dituduh di hadapan Hakim Azura Alwi pada 9 pagi.
Pada 27 Ogos lepas, bekas pengerusi TH itu dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan masing-masing direman tujuh hari hingga 2 Sept bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.
Kedua-dua individu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Laporan RCI mengenai TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
Laporan berkenaan turut mendapati wujudnya transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh berkenaan dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.
