BTC USD 76,071.1 Gold USD 4,272.19
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Rancangan perumahan Sunset Way masih belum muktamad; HDB alu-alukan maklum balas

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

Rancangan perumahan Sunset Way masih belum muktamad; HDB alu-alukan maklum balas​

screenshot_2026-07-18_001047.jpg

Pemandangan Hutan Maju dari Clementi Ridges pada 16 Julai 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

SINGAPURA: Rancangan pembangunan bagi Sunset Way masih belum dimuktamadkan, sedang Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berusaha untuk mengimbangi kebimbangan para penduduk terhadap Hutan Maju dengan keperluan perumahan, kata ketua perancang bandarnya Chong Fook Loong pada Jumaat (17 Jul).

“Kita perlu membuat pertimbangan. Kita perlu memahami bagaimana untuk mengimbangi keperluan perumahan dengan alam semula jadi bagi menghasilkan rancangan yang terbaik, seperti yang sentiasa kita lakukan di mana-mana sahaja,” kata Dr Chong, yang juga pengarah kumpulan divisyen perancangan bandar HDB.

IKLAN

Beliau berkata demikian kepada Mediacorp menjelang satu sesi libat urus berhubung cadangan pembangunan perumahan di Sunset Way. Sekurang-kurangnya 100 penduduk, serta Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Holland-Bukit Timah Christopher de Souza dan Sim Ann, menghadiri sesi tertutup di Kelab Masyarakat Bukit Timah itu.

HDB mengumumkan pada Jumaat lalu (10 Jul) bahawa Sunset Way, bersama Gillman Barracks, akan dibangunkan bagi tujuan perumahan. Sebahagian besar daripada tapak Sunset Way yang terletak dalam kawasan Hutan Maju telah dizonkan bagi kegunaan perumahan sejak Pelan Induk 1980.

Di bawah rancangan pembangunan tersebut, sekitar lapan hektar kawasan kajian seluas 23 hektar itu akan dikekalkan, kebanyakannya di sepanjang pinggir hutan.

Dr Chong merujuk kepada projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di Clementi baru-baru ini, yang menerima permohonan lebih empat kali ganda berbanding jumlah flat yang ditawarkan, sebagai bukti terdapat “keperluan besar” untuk menambah bekalan perumahan.

“Keutamaan awal kami adalah untuk menggunakan tapak yang pernah digunakan (brownfield). Malangnya, dalam kawasan Clementi dan sekitarnya, tidak banyak tapak sedemikian. Oleh itu, kami kini perlu memberi tumpuan kepada tapak Sunset Way untuk melihat bagaimana ia dapat membantu menambahkan lagi bekalan,” kata beliau.

IKLAN

Tapak 'brownfield' merujuk kepada tanah yang pernah dibangunkan, manakala tapak 'greenfield' seperti Sunset Way merupakan tanah yang sebahagian besarnya belum dibangunkan dan sering mempunyai kawasan hijau atau ekosistem sedia ada.

Pembangunan Sunset Way dipandu oleh Penilaian Kesan Alam Sekitar, yang membantu HDB memahami ciri-ciri ekologi dan kepentingan tapak tersebut, tambah beliau.

“Sekali lagi, rancangan itu masih belum dimuktamadkan. Kami sedang mengusahakannya. Menerusi rancangan dan pertimbangan ini, kami berharap dapat terus bekerjasama dengan para penduduk dan pihak berkepentingan,” kata Dr Chong, sambil menambah bahawa HDB sedang mendapatkan maklum balas menyusuli penerbitan kajian alam sekitar itu.

Cik Sim, yang juga Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Luar dan Ehwal Dalam Negeri, berkata sesi pada Jumaat itu memberi peluang kepada para penduduk untuk menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka secara langsung kepada agensi-agensi terlibat.

“Sebahagian penduduk meluahkan rasa kehilangan terhadap kawasan hijau berkenaan. Ada juga yang menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan kesannya terhadap trafik pada masa hadapan, dan ada penduduk yang bimbang tentang kesan sementara daripada kerja-kerja pembinaan, seperti bunyi bising,” kata beliau, sambil menambah bahawa sebahagian penduduk yang lain ingin tahu tentang kemudahan-kemudahan yang akan ditambah di kawasan kejiranan itu.

IKLAN

Sesi libat urus tersebut berlangsung selama lebih dua setengah jam, dengan wakil HDB dan para Anggota Parlimen memberi penerangan kepada para penduduk sebelum sesi soal jawab dibuka, menurut mereka yang hadir di acara tersebut.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan ialah pembangunan berlebihan, penebangan hutan dan kesesakan trafik. Sebahagian penduduk memberitahu Mediacorp selepas sesi tersebut bahawa mereka masih berasa kurang senang dengan rancangan pembangunan tersebut, namun berharap agensi-agensi berkenaan akan mengambil kira maklum balas mereka.

KEBIMBANGAN TERHADAP HUTAN MAJU

Kebanyakan daripada 11 penduduk Sunset Way yang ditemui Mediacorp awal minggu ini berkata pengumuman itu sukar untuk diterima.

Antara mereka ialah Cik Teo, seorang pesara berusia 68 tahun yang sudah menetap di sebuah flat HDB di Sunset Way selama tiga dekad dan hanya mahu dikenali menerusi nama keluarganya.

IKLAN

Cik Teo sering mengambil gambar hidupan liar di pinggir hutan tersebut, termasuk monyet ekor panjang dan biawak. Pada Januari lalu, kata beliau, para jurugambar alam semula jadi berpusu-pusu ke estet itu untuk merakam gambar burung hering Himalaya.

“Saya sangat kecewa apabila membacanya,” kata Cik Teo mengenai pengumuman tersebut. “Bagi mereka yang tidak begitu tahu tentang kawasan tersebut, mereka mungkin menganggapnya sekadar sebidang tanah hutan dan tidak melihat penebangannya bagi tujuan perumahan sebagai satu perkara besar.

“Namun bagi kami yang tinggal di Estet Sunset Way, ia merupakan peluang yang jarang berlaku untuk hidup dalam persekitaran bandar tetapi masih begitu dekat dengan alam semula jadi, selain dapat menikmati hubungan dengannya.”

Beliau berharap pihak berkuasa akan menyemak semula rancangan itu dan mengekalkan kawasan hutan yang lebih luas. Orang ramai boleh mengemukakan maklum balas berhubung rancangan tersebut sehingga 6 Ogos.

Ribuan orang turut menandatangani petisyen online yang menggesa agar Hutan Maju dikekalkan. Salah satu petisyen yang paling menonjol, ditujukan kepada beberapa agensi pemerintah, menerima lebih 17,000 tandatangan setakat lewat Jumaat.

Petisyen itu menggesa pihak berkuasa supaya “menangguhkan kerja pembersihan” hutan tersebut dan sebaliknya mengutamakan tapak 'brownfield' seperti padang golf yang tempoh pajakannya akan tamat serta tanah perindustrian lama untuk membangunkan perumahan.

Para penduduk yang sudah bertahun-tahun menetap di kawasan tersebut, Felicia Koh dan Alastair Hunt, yang menandatangani petisyen itu, berpindah pada 2020 dari sebuah kondominium berdekatan ke sebuah flat yang menghadap Hutan Maju supaya lebih dekat dengan alam semula jadi.

“Hutan Maju ialah sebuah hutan kecil yang mempunyai nilai yang besar,” kata Encik Hunt, pengasas sebuah pusat kesihatan. “Ia merupakan kawasan hutan yang kecil tetapi sangat hidup, yang memberikan kita udara segar, angin yang nyaman, akses kepada alam semula jadi serta manfaat dari segi kesihatan mental dan fizikal.

“Ia membawa kegembiraan kepada para penduduk dalam dan luar masyarakat ini. Ia merupakan sumber yang amat berharga bagi kawasan Singapura ini,” kata beliau.

Cik Koh bertanya sama ada pihak berkuasa boleh meneroka tapak-tapak alternatif bagi pembangunan perumahan. “Gunakan tapak 'brownfield' terlebih dahulu sebelum meneroka mana-mana kawasan hutan di Singapura. Terlalu banyak kawasan hutan sudah lesap dalam tempoh 10 tahun lalu.”

KEPENTINGAN LAIN YANG BERSAING

Tidak semua penduduk yang ditemui Mediacorp menentang pembangunan tersebut. Seorang penduduk yang sudah lama menetap di kawasan tersebut, yang enggan dikenal pasti, menyokong pembangunan semula itu dan menganggapnya perlu bagi pertumbuhan Singapura.

Lelaki itu, yang sudah tinggal di Sunset Way sekitar empat dekad, sedang berjalan di sepanjang sebuah laluan popular yang menghubungkan Hutan Maju dengan pusat kejiranan Sunset Way apabila ditemui Mediacorp.

“Singapura mempunyai begitu ramai penduduk tetapi tanahnya terhad,” kata beliau dalam bahasa Mandarin. “Tiada apa yang boleh dilakukan mengenainya.”

Tambahnya lagi, beliau berharap dirinya dapat berpindah ke salah sebuah flat yang baharu itu kerana blok yang didiaminya kini semakin usang.

Seorang lagi penduduk, Encik Raymond Ho, yang tinggal di sebuah maisonette tingkat bawah di Estet Sunset Way, berkata pembangunan semula hutan tersebut dijangka mengurangkan bilangan monyet yang berkeliaran di kawasan kejiranan tersebut.

Lelaki berusia 79 tahun itu berkata haiwan-haiwan tersebut kadangkala memasuki rumahnya menerusi balkoni.

Penduduk lain membangkitkan kebimbangan mengenai kesesakan trafik akibat kemasukan penduduk baharu. Sebatang jalan baharu yang menghubungkan Sunset Way dengan Clementi Road, yang siap dibina pada 2024, bertujuan mengurangkan kesesakan. Sebelum jalan itu dibina, Sunset Way merupakan satu-satunya laluan keluar masuk kawasan tersebut.

Kemungkinan bunyi bising dan serpihan daripada kerja-kerja pembinaan turut dibangkitkan, meskipun para penduduk berkata perkara itu kurang membimbangkan berbanding kemungkinan kehilangan Hutan Maju.

Encik Winston Choo, 85 tahun, yang membeli rumah privetnya di Sunset Way pada 1964, berkata beliau menghargai fungsi hutan tersebut sebagai penampan dalam memastikan kawasan kejiranan itu kekal tenang.

“Sekiranya perumahan perlu dibina, ia harus dipastikan bahawa reka bentuknya tidak menjejas privasi, aliran angin dan tahap bunyi bagi para penduduk yang tinggal di kawasan kejiranan ini,” kata pesara itu.

 
Back
Top
Log in Register