notepad
Legendary Member

- Messages
- 15,750
- Joined
- Sep 17, 2011
- Messages
- 15,750
- Reaction score
- 2,179
- Points
- 266
- Awards
- 1
Puasa rahsia sihat sehingga usia lebih 100 tahun [METROTV]
Machang: Berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan menjadi amalan dan rahsia yang dikongsi dua beradik dari Kampung Rengas, Tok Bok, yang kini usia mereka sudah lebih satu abad.
Dua beradik berkenaan, Munah Yunus, 115, dan Pah Yunus, 111, yang masing-masing sudah kematian suami hanya mampu mengengsot selepas terjatuh dalam kejadian berasingan sejak 10 tahun lalu sehingga menyebabkan tulang belakang mereka terjejas.
Pah berkata, secara rasmi, usianya dan kakaknya masing-masing 97 dan 101 tahun, namun jika diikutkan usia sebenar, usia mereka sudah lebih satu abad berdasarkan lambang '*' pada hujung nombor kad pengenalan.
"Kami bersyukur kerana dikurniakan umur yang panjang dan dalam masa sama sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong pada awal Ogos lalu.
"Dari segi kesihatan, saya hanya menghidap penyakit darah tinggi dan Parkinson, manakala kakak pula tidak menghidap sebarang penyakit kronik. Namun, disebabkan usia yang semakin lanjut pendengaran kami kurang jelas selain penglihatan kakak juga sudah kabur dan nyanyuk," katanya ketika ditemui di Kampung Rengas, Tok Bok, di sini, hari ini.
Ibu kepada lima anak, 18 cucu serta 36 cicit ini berkata, rahsa dia kekal sihat adalah disebabkan amalan berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan, selain puasa sunat setiap Isnin dan Khamis ketika masih muda yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.
"Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kakak saya sudah tidak lagi mampu untuk berpuasa berterusan selama tiga bulan dan hanya berpuasa penuh pada bulan Ramadan saja kerana mudah mengalami keletihan.
"Walaupun mengalami beberapa kekangan termasuk fizikal sudah tidak seperti sedia kala, kami berdua tidak pernah meninggalkan amalan wajib iaitu solat fardu lima waktu meskipun terpaksa menunaikannya secara duduk," katanya yang kini menetap di rumah anak masing-masing.
Sementara itu, anak ketiganya, Mohd Ramli Ismail, 63, berkata, selain berpuasa, ibunya juga sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat serta mengamalkan makan ulam-ulaman.
"Saya bersyukur kerana ibu dan ibu saudara (Munah) dikurniakan kesihatan yang baik dan dalam usia mereka yang sudah lebih satu abad mampu melihat cucu serta cicit membesar di depan mata.
"Selain itu, hubungan ibu dan kakaknya juga sangat akrab kerana selepas ibu dan ayah mereka meninggal dunia, hanya tinggal mereka dua beradik sahaja memandangkan tidak mempunyai adik-beradik lain," katanya.
Disiarkan pada: September 9, 2021 @ 10:41am

Munah Yunus dan adiknya Pah Yunus masing-masing menunjukkan kad pengenalan mereka. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Puasa rahsia sihat sehingga usia lebih 100 tahun [METROTV] | Harian Metro
Machang: Berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan menjadi amalan dan rahsia yang dikongsi dua beradik dari Kampung Rengas, Tok Bok, yang kini usia mereka sudah lebih satu abad.

laman berkaitan :

Dua beradik usia lebih satu abad teruja dapat vaksin [METROTV] | Harian Metro
Machang: Hasrat dua beradik warga emas berusia lebih satu abad untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 tercapai apabila mereka menerima suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, di sini, hari ini.
