Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,771
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,771
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Puad Zarkashi Umum Keluar UMNO
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook hari ini, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit itu berkata keputusan berkenaan dibuat tanpa sebarang paksaan, dan bagi membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas.
“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta-merta mulai hari ini 25 Jun 2026. Oleh itu, UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya.
“Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang. Kini, saya bebas mengkritik UMNO, satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.
Mohd Puad, yang juga bekas Speaker DUN Johor turut menolak tanggapan bahawa tindakannya itu didorong oleh kepentingan peribadi.
Semalam, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu memberikan bayangan akan membuat satu pengumuman penting selepas mendakwa terdapat perkara yang tidak kena dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau sebelum ini mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada PRN kali ini selepas memenanginya pada PRN 2022, dan mencadangkan supaya calon yang lebih muda diketengahkan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Mohd Puad menang kerusi Parlimen Batu Pahat selepas menewaskan calon PAS Muhammad Abdullah dengan majoriti 12,968 undi.
Beliau yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat bertanding pada PRU13 bagi mempertahankan kerusi itu, namun tewas kepada calon PKR Datuk Mohd Idris Jusi, dengan majoriti 1,524.