BTC USD 83,596.9 Gold USD 4,154.41
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Proton Daftar Tanda Dagang e.MAS7 - Mungkin Nama EV Pertama e.MAS?

Proton Bukan Lagi Sekadar Pamer Model - Ini Teknologi EV Terbaharu Mereka

PROTON dan PRO-NET menggunakan pentas Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025 untuk menunjukkan bahawa mereka kini memasuki fasa lebih serius dalam pembangunan teknologi kenderaan elektrik. Berbeza daripada pameran sebelum ini yang lebih menumpukan kepada model, GATE 2025 menampilkan teknologi teras EV yang menandakan Proton sedang bergerak ke arah menjadi pembangun teknologi, bukan sekadar pengeluar automotif. Antara fokus utama ialah Sistem Pemacu Elektrik 12-dalam-1, satu teknologi penting dalam industri EV moden. Ia menggabungkan motor, inverter, transmisi dan komponen penukaran kuasa ke dalam satu unit bersepadu. Pendekatan ini mengurangkan kehilangan tenaga, menjimatkan ruang dan meningkatkan kecekapan keseluruhan. Teknologi seperti ini turut digunakan oleh jenama global seperti Tesla dan BYD, menunjukkan Proton kini berada di landasan teknologi yang sama.


Proton turut memperkenalkan teknologi Cell-to-Body (C2B), iaitu kaedah membina bateri sebagai sebahagian daripada struktur badan kenderaan. Inovasi ini meningkatkan ketegaran casis, keselamatan impak dan penggunaan ruang dalaman. C2B merupakan antara strategi bateri paling maju dalam dunia EV, dan kehadirannya dalam barisan teknologi Proton menunjukkan hala tuju baharu R&D syarikat itu.

Selain itu, bateri Short Blade turut diperkenalkan sebagai satu lagi komponen utama. Direka untuk ketumpatan tenaga lebih tinggi dan pengecasan lebih pantas, ia berpotensi menjadi standard bateri untuk generasi baharu EV Proton. Gabungan teknologi ini memberi gambaran bahawa pembangunan e.MAS bukan sekadar membawa model elektrik pertama Proton, tetapi membina asas teknologi bagi tahun-tahun mendatang. Model e.MAS 5 dan e.MAS 7 yang turut dipamerkan berfungsi sebagai demonstrasi awal bagaimana teknologi ini diterjemahkan ke dalam kenderaan sebenar. Dengan strategi yang lebih fokus pada inovasi teras, penyertaan Proton di GATE 2025 menandakan permulaan serius bagi usaha membangunkan ekosistem EV nasional yang lebih maju dan berdaya saing.
​
1763020349211.png
 
Pandang Pertama Proton e.MAS 7 PHEV - Dua Sumber Kuasa Untuk Jarak Jauh

Baru-baru ini di satu sesi bersama media Proton baru sahaja menunjukan e.MAS 7 PHEV, sebuah model yang mencipta sejarah sebagai kereta elektrifikasi pertama di Malaysia yang menggabungkan dua sumber kuasa. Seperti namanya, e.MAS 7 PHEV merupakan sebuah Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) yang menggunakan gabungan enjin petrol konvensional dan motor elektrik, memberikan fleksibiliti serta kecekapan untuk pemanduan harian mahupun jarak jauh.
​
1768367353727.png

Dari segi kedudukan pasaran, e.MAS 7 PHEV tergolong dalam kategori SUV segmen C. Sekilas pandang pada rekaan luaran, ia tampil sedikit berbeza berbanding e.MAS 7 versi biasa. Paling ketara ialah rekaan lampu hadapan yang kini disambungkan dengan satu jalur lampu dari kiri ke kanan, memberikan imej lebih moden dan futuristik. Konsep rekaan yang sama turut digunakan pada lampu brek belakang, menjadikan keseluruhan rekaan kelihatan lebih kemas dan premium. Proton menawarkan tiga varian untuk e.MAS 7 PHEV iaitu Prime, Premium dan Premium+. Bagi varian Prime dan Premium, ia dilengkapi bateri berkapasiti 18.4 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 105 km (NEDC) menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Varian Premium+ pula tampil dengan bateri yang lebih besar, 29.8 kWh, membolehkan jarak pemanduan elektrik sehingga 170 km (NEDC).
​
1768367371929.png

Motor elektrik pada e.MAS 7 PHEV mampu menghasilkan kuasa sehingga 160 kW dengan 262 Nm tork, memberikan pecutan yang responsif. Dari aspek pengecasan, varian Prime dan Premium menyokong pengecasan DC 30 kW, membolehkan bateri dicas dari 30 ke 80 peratus dalam masa bawah 20 minit. Untuk varian Premium+, ia menyokong pengecasan DC 60 kW, dengan masa pengecasan 30 ke 80 peratus bawah 16 minit. Ketiga-tiga varian turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW. Beralih kepada enjin, kesemua varian menggunakan enjin yang sama iaitu 1.5 liter 4-silinder dedicated hybrid engine. Enjin ini menghasilkan 73 kW kuasa dan 125 Nm tork, dengan penggunaan bahan api yang sangat cekap iaitu hanya 4.3 liter bagi setiap 100 km. Apabila digabungkan antara motor elektrik dan enjin petrol, e.MAS 7 PHEV mampu mencapai jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,065 km (NEDC).
​
1768367390619.png

e.MAS 7 PHEV menawarkan tiga mod pemanduan. Mod Pure membolehkan pemanduan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, seakan memandu EV sebenar tanpa penggunaan enjin. Mod Hybrid pula akan mengurus penggunaan motor elektrik dan enjin secara automatik, atau gabungan kedua-duanya, bagi mendapatkan jarak pemanduan paling optimum. Mod terakhir, Power, memberikan keutamaan kepada prestasi dengan penghantaran kuasa yang lebih banyak.
​
1768367405740.png

Masuk ke bahagian dalaman, kabin e.MAS 7 PHEV terasa luas dan moden. Di bahagian tengah terdapat skrin besar 15.4 inci 2.5K touchscreen yang dikuasakan oleh Flyme Auto OS, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Tempat duduk belakang juga menawarkan ruang kaki dan kepala yang selesa; bagi penumpang dengan ketinggian sekitar 170 cm, ruang yang disediakan masih terasa lega. Dari segi praktikaliti, ruang but belakang berkapasiti 528 liter, dengan tambahan ruang simpanan di bahagian bawah lantai. Jika tempat duduk belakang dilipat, kapasiti ruang simpanan boleh ditingkatkan sehingga 2,065 liter, menjadikan e.MAS 7 PHEV sesuai untuk kegunaan keluarga dan aktiviti harian. Secara keseluruhan, Proton e.MAS 7 PHEV tampil sebagai sebuah SUV elektrik yang seimbang dari segi prestasi, kecekapan dan praktikaliti, sekali gus membuka lembaran baharu dalam segmen PHEV di pasaran Malaysia. Jika berminat, anda sudah boleh menempah keluaran terbaru Proton ini dengan harga pasaran dianggarkan sekitar RM110,000 hingga RM130,000.​
 
Back
Top
Log in Register