combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Prospek Penjara Penor Sekali Lagi Julang Piala Tunku Azizah
Kredit : FB Kesultanan Pahang
Prospek Penjara Penor sekali lagi melakar sejarah apabila mengungguli Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026, yang berlangsung bersempena dengan Temasya Warisan Pahang di sini.
Menurut hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook Kesultanan Pahang, kejayaan itu membuktikan bakat dan kemahiran penghuni institusi pemulihan berkenaan dalam bidang tenunan, sekali gus memperlihatkan keberkesanan seni warisan sebagai satu daripada medium pemulihan dan pembangunan diri.
Susulan kemenangan tempat pertama itu, Penjara Penor menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 berserta piala dan sijil penghargaan, manakala tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Penjara Bentong yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan RM10,000.
Kejayaan peserta institusi penjara menyerlah apabila barisan pemenang didominasi peserta dari Penjara Penor dan Penjara Bentong yang meneruskan pencapaian membanggakan pada edisi tahun lepas apabila 18 daripada 20 finalis terdiri daripada penghuni penjara dan hadiah utama dimenangi oleh peserta Penjara Penor.
Dalam pada itu, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah seni tenun bukan sahaja menghasilkan karya indah, malah mempunyai nilai terapeutik yang mampu membantu penghuni penjara membina kehidupan baharu.
“Mereka yang mengikuti program tenun tidak kembali kepada jenayah yang pernah dilakukan. Ada sesuatu tentang menenun yang bersifat terapeutik, menenangkan dan membantu mereka untuk tidak kembali kepada jenayah terdahulu,” titah baginda menerusi hantaran sama.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada Majlis Jamuan Diraja dan Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026, semalam.
Selain itu, enam pemenang kategori Queen’s Choice, yang menampilkan hasil tenun pilihan Tengku Ampuan Pahang masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.
Pemenang utama turut dipilih oleh Tunku Azizah sebagai satu daripada pemenang Queen’s Choice, sekali gus membawa pulang wang keseluruhan sebanyak RM35,000.