kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Prorgam Simfoni Dakwah Sebarkan Salam Diperluas Seluruh Negara
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menyampaikan ucapan pada Program Simfoni Dakwah Sebarkan Salam di Masjid Timah, Permatang Pauh malam tadi.
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Program Simfoni Dakwah Sebarkan Salam akan diperluas ke seluruh negara secara berperingkat susulan sambutan memberangsangkan yang diterima pada setiap lokasi penganjurannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Zulkifli berkata program itu yang bermula di Sandakan sebelum diteruskan di Kota Kinabalu, diikuti di Sarawak serta Selangor dan kini Pulau Pinang, antara lain sebagai medium dakwah santai bagi menyemai nilai kasih sayang, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
"Hasrat pihak penganjur adalah untuk membawa program itu ke semua negeri, namun pelaksanaannya bergantung kepada kesesuaian serta jadual penganjuran, kita ada banyak negeri lagi dan jika ada kesempatan masa, kita akan tumpukan kepada mana yang kita boleh laksanakan pada tahun ini.
"Kita melihat sambutan yang sangat menggalakkan dan kerjasama antara 14 agensi hal ehwal agama Islam dengan kerajaan negeri juga amat luar biasa, sekiranya mempunyai masa yang sesuai, kita boleh laksanakan di seluruh negara pada tahun ini," katanya kepada pemberita, di sini malam tadi.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Simfoni Dakwah Sebarkan Salam di Masjid Timah, Permatang Pauh di sini, dan turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Sirajuddin Suhaimee.
Zulkifli berkata pihaknya telah merancang untuk mengadakan program itu di beberapa lagi negeri tahun ini dengan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat, manakala kemuncaknya dijadual berlangsung di Kuala Lumpur.
Beliau berkata konsep program yang menggabungkan hiburan berunsur dakwah dengan pengisian tausiah oleh para asatizah diharap mampu menyampaikan mesej Islam secara santai namun berkesan.
"Kita namakan program ini sebagai 'Sebarkan Salam' mengambil semangat hadis Rasulullah SAW dan mesejnya ialah supaya kita membudayakan penyebaran salam dalam kehidupan seharian," katanya.
Sementara itu, JAKIM dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh syiar Islam, memperkasakan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah serta menyantuni masyarakat menerusi pendekatan dakwah yang inklusif, berhikmah dan dekat dengan rakyat.