combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
PRN Johor: Persiapan Akhir Giat Dilakukan Pastikan Kelancaran Proses Penamaan Calon Esok
Pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Dewan Tanjung, Bangunan Istana Tanjung, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini giat melakukan persiapan akhir bagi memastikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok berjalan lancar.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi Pusat Penamaan Calon (PPC) di sini mendapati hanya terdapat beberapa kerja-kerja akhir melibatkan aspek teknikal sedang dilaksanakan oleh petugas di lokasi.
Pegawai pengurus (RO) PPC Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling di Dewan Jubli Intan di sini, Nazatul Shima Mohamad berkata susun atur keperluan di premis berkenaan, termasuk simulasi akhir bersama agensi-agensi terlibat telah selesai dilaksanakan hari ini.
“Alhamdulillah, kita bersedia 100 peratus, semua pihak memberikan sokongan kepada kita dan sama-sama bersemangat untuk memastikan perjalanan proses penamaan calon esok dapat berjalan lancar.
“Kepada bakal calon, kami bersedia membantu anda semua, dan saya berharap anda memberikan kerjasama sebaiknya supaya proses pencalonan dapat berjalan dengan baik, pastikan datang awal serta bawa dokumen-dokumen wajib diperlukan termasuklah wang deposit,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, RO PPC DUN Kota Iskandar Shahrulizam Abdul Rashid berkata petugas di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Medini di sini telah siap sedia untuk memastikan proses penamaan calon bagi kawasan itu berjalan lancar.
“Persiapan ini termasuklah kerjasama dengan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam persediaan kita menguruskan jangkaan kehadiran penyokong-penyokong kepada calon yang akan bertanding esok.
“Ia termasuklah urusan penutupan jalan di sekitar laluan berhampiran PPC, menetapkan had larangan (penyokong ke lokasi PPC) hingga 50 meter, penyediaan khemah di luar dewan serta pemasangan penghadang bagi memisahkan penyokong parti-parti bertanding,” katanya.
Beliau pada masa yang sama menasihati orang ramai yang berhasrat menyertai kumpulan penyokong parti masing-masing ke PPC untuk sentiasa berhemah, serta mengelakkan sebarang provokasi terhadap satu sama lain.