BTC USD 63,766.0 Gold USD 4,461.74
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Prestasi suku pertama stabil

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120

Negara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang stabil pada tiga bulan pertama tahun ini. Pernyataan ini bersandarkan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2015 berbanding 5.7 peratus pada tempoh sebelumnya.

Pertumbuhan ini dipacu oleh aktiviti-aktiviti ekonomi domestik seperti perbelanjaan dan pelaburan. Perbelanjaan swasta menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.8 peratus berbanding 7.6 peratus sebelum ini.

Faktor ini disokong oleh suasana pasaran buruh yang stabil serta pertumbuhan kadar upah yang baik.

Perkara ini dapat dilihat melalui kadar pengangguran yang berada pada tahap 3.2 peratus setakat bulan Februari tahun ini. Ia adalah selari dengan kadar pengangguran jangka panjang iaitu 3.3 peratus.

Disamping itu, pelaburan swasta juga mencatatkan pertumbuhan yang sihat iaitu sebanyak 11.7 peratus.

Manakala pelaburan awam merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 0.5 peratus berbanding penguncupan sebanyak 1.9 peratus pada tempoh sebelumnya.

Meskipun demikian, sektor luaran mempamerkan prestasi yang agak hambar. Rata-ratanya disebabkan oleh kejatuhan harga komoditi utama seperti minyak mentah petrol selain minyak kelapa sawit.

Purata harga minyak Brent dan minyak kelapa sawit berada pada AS$55.17 setong dan RM2,259.8 setan metrik pada suku pertama tahun ini.

Harga ini jauh lebih rendah berbanding AS$107.92 setong dan RM2,667.1 setan metrik pada suku pertama tahun 2014.

Akibatnya, pertumbuhan eksport menguncup sebanyak 0.6 peratus manakala pertumbuhan import pula menyusut daripada 2.6 peratus kepada 1.0 peratus pada suku pertama 2015.

Kebimbangan

Walau bagaimanapun, imbangan akaun semasa mencatatkan lebihan sebanyak RM9.96 bilion pada suku pertama berbanding RM5.67 bilion pada tempoh sebelumnya.

Perkembangan ini seharusnya mengurangkan kebimbangan terhadap situasi imbangan pembayaran negara kerana lebihan akaun semasa ini menggambarkan bahawa negara masih mempunyai kadar kecairan yang baik.

Angka pertumbuhan KDNK yang terbaru ini sememangnya melebihi jangkaan. Jika kita lihat bancian yang dibuat oleh pihak Bloomberg, kebanyakan para penganalisis menjangkakan ekonomi negara akan bertumbuh sebanyak 5.4 peratus.

Selain itu, prestasi pertumbuhan ekonomi negara juga adalah lebih baik jika dibandingkan dengan prestasi ekonomi negara serantau.

Misalnya, pertumbuhan KDNK suku pertama bagi negara-negara seperti Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Indonesia adalah berada pada kadar 2.1 peratus, 2.4 peratus, 3.5 peratus dan 4.7 peratus.

Mungkin ada yang tertanya-tanya adakah negara mampu untuk mengulangi pertumbuhan enam peratus seperti yang dicatatkan pada tahun lalu?

Berdasarkan siaran akhbar Bank Negara Malaysia, ada dinyatakan bahawa pertumbuhan perbelanjaan swasta juga disokong oleh faktor-faktor seperti usaha bantuan pemulihan banjir pada awal tahun dan juga perbelanjaan yang dipercepatkan oleh isi rumah sebelum perlaksanaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) pada bulan April yang lalu.

Dua faktor ini memberi gambaran bahawa ia mungkin tidak diulangi. Bahkan perbelanjaan pengguna berkemungkinan mengalami sedikit pembetulan memandangkan sentimen pengguna yang begitu lemah.

Indeks Sentimen Pengguna yang dikeluarkan oleh pihak MIER pun jatuh kepada 72.6 pada suku pertama 2015, terendah untuk enam tahun.

Oleh itu, para pengguna dijangka akan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan seharian mereka. Dan ini akan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pertumbuhan perbelanjaan swasta pada masa terdekat ini.

Selain itu, situasi ketidaktentuan ekonomi dunia masih lagi jelas. Dasar monetari AS akan sentiasa dipantau oleh para pelabur memandangkan pihak Rizab Persekutuan AS dijangka akan mula menaikkan kadar faedah mereka pada tahun ini.

Namun jangkaan terhadap kadar faedah AS sering kali "diganggu" oleh data-data ekonomi yang kadangkala agak mengelirukan.

Perkara ini ditambah pula dengan pernyataan-pernyataan oleh anggota jawatankuasa penentu dasar monetari AS yang mempunyai pelbagai pendapat terhadap masa yang sesuai untuk menaikkan kadar faedah. 
 Di samping itu, pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia iaitu China juga seringkali mendapat liputan yang meluas apabila negara itu dijangka mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun-tahun yang akan datang.

Realistik

Selain itu, bank-bank pusat utama dunia telah pun merangka dasar kewangan yang mengembang bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. Ini termasuklah negara-negara di Eropah yang mana kadar faedah mereka telah pun mencecah nilai negatif.

Walau bagaimanapun, Malaysia masih lagi mempunyai asas-asas ekonomi yang kukuh. Rizab antarabangsa yang berada pada paras RM392.4 bilion masih lagi mampu untuk melunaskan import tertunggak sebanyak lapan bulan berbanding piawaian minimum iaitu tiga bulan.

Tambahan pula, tahap modal di sektor perbankan seperti nisbah modal ekuiti biasa kumpulan 1 (CET1), nisbah modal kumpulan 1 dan nisbah jumlah modal melebihi paras pengawal seliaan minimum iaitu 12.5 peratus, 13.2 peratus dan 15.2 peratus.

Ini bererti bank-bank di Malaysia masih mampu menjana pembiayaan tanpa perlu risau terhadap tahap kecukupan modal mereka.

Aktiviti pembiayaan yang berterusan dan diikuti suasana kadar faedah yang stabil mampu menjana pertumbuhan yang lebih mapan.

Akhir kata, pertumbuhan sebegini adalah baik dan berupaya untuk menyediakan asas yang kukuh bagi negara untuk mencapai ke tahap yang seterusnya.

Namun, kita perlu meletakkan harapan yang realistik memandangkan prestasi ekonomi negara juga terdedah kepada faktor luaran yang di luar bidang kawalan pemerintah.

Oleh itu, amat penting bagi memastikan asas-asas ekonomi sentiasa berada dalam keadaan stabil supaya ia boleh membantu sekiranya kita menghadapi suasana ekonomi yang lebih mencabar di masa akan datang.
 
Back
Top
Log in Register