Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Prestasi Sosioekonomi Negeri Kekal Stabil Pada ST1 2026 - DOSM
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Prestasi sosioekonomi di beberapa negeri menunjukkan kestabilan pada Suku Tahun Pertama (ST1) 2026, disokong oleh inflasi terkawal, pasaran buruh yang stabil, sentimen perniagaan positif dan pertumbuhan penduduk yang meningkat.
Menurut laporan Indikator Sosioekonomi Negeri yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, WILAYAH PERSEKUTUAN terus mengekalkan prestasi sosioekonomi yang berdaya tahan, didorong oleh aktiviti ekonomi mampan, pasaran buruh stabil dan pergerakan harga terkawal.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat ekonomi dan komersial utama negara, disokong oleh aktiviti ekonomi yang berterusan serta keadaan pasaran buruh yang berdaya tahan dengan tenaga buruh berjumlah 1.21 juta orang, kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) sebanyak 76.0 peratus manakala kadar pengangguran kekal stabil pada 3.4 peratus.
Bagi Putrajaya, wilayah itu terus menunjukkan prestasi sosioekonomi yang stabil sebagai pusat pentadbiran negara, disokong oleh pasaran buruh yang aktif dan prospek perniagaan yang positif manakala di Labuan, prestasi disokong oleh aktiviti perniagaan dan prestasi industri yang berdaya tahan.
Di MELAKA, negeri itu menunjukkan prestasi sosioekonomi yang stabil dengan pasaran buruh berdaya tahan, sentimen perniagaan yang positif serta kadar pertumbuhan penduduk yang meningkat.
“Bilangan tenaga buruh merekodkan 525.4 ribu orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) berada pada 69.8 peratus manakala bilangan penduduk bekerja pula kekal pada 514.7 ribu orang selain kadar pengangguran kekal rendah pada paras dua peratus,” menurut DOSM.
Imbangan bersih jangkaan perniagaan Melaka melonjak kepada +3.1 peratus bagi Januari hingga Jun 2026 berbanding -5.8 peratus pada suku sebelumnya manakala kapasiti penggunaan industri sektor pembuatan kekal stabil pada 87.7 peratus.
Daripada perspektif demografi, penduduk Melaka meningkat kepada 1.057 juta orang dengan 2,778 kelahiran hidup dan 1,585 kematian direkodkan dalam tempoh sama.
Di KELANTAN, negeri itu mencatatkan prestasi sosioekonomi yang stabil dengan inflasi terkawal, pasaran buruh stabil serta pertumbuhan penduduk yang meningkat meskipun sentimen perniagaan lebih berhati-hati.