Mugabe bertegas enggan berundur
HARARE: Presiden Robert Mugabe menegaskan, beliau kekal pemerintah tunggal Zimbabwe dan menolak usaha perantara seorang paderi Katolik bagi membolehkan bekas pemerintah gerila berusia 93 tahun itu berundur susulan rampasan tentera.
Sumber politik yang ditahan bersama Mugabe dan isterinya Grace di kediaman 'Rumah Biru' mewah berkata, pemimpin itu tiada rancangan meletak jawatan secara sukarela sebelum pilihan raya dijadualkan tahun depan.
"Ia seperti satu konflik, satu kebuntuan. Mereka bertegas presiden perlu menghabiskan penggal pentadbirannya," kata sumber.
Pengambilalihan tentera itu memberi isyarat runtuhnya kepimpinan Mugabe, dalam tempoh kurang 36 jam selepas rangkaian keselamatan, perisikan dan sokongan mempertahankan pemimpin itu sepanjang 37 tahun berkuasa dan menjadikannya seorang 'Lelaki Tua Agung' dalam politik Afrika.
Paderi itu, Fidelis Mukonori, yang menjadi perantara antara Mugabe dan jeneral yang merampas kuasa semalam dalam satu operasi sasaran menentang 'penjenayah' dalam kumpulannya, ada menunjukkan sedikit kemajuan, kata sumber politik kanan kepada Reuters.
Tentera jelas mahukan Mugabe, yang memimpin Zimbabwe sejak mendapat kemerdekaan daripada Britain pada 1980-an, berundur secara senyap dan membolehkan peralihan lancar tanpa pertumpahan darah kepada bekas Naib Presiden, Emmerson Mnangagwa.
Masih dilihat ramai di Afrika sebagai wira kebebasan, Mugabe dipersendakan di Barat sebagai seorang pemimpin zalim yang menguruskan secara teruk ekonomi dan kesediaannya menggunakan keganasan untuk mengekalkan kuasanya.
Satu ketika dulu negara makmur, ekonomi Zimbabwe runtuh berikutan rampasan ladang milik golongan kulit putih pada awal tahun 2000, diikuti syarikat percetakan wang yang melarikan diri, menjurus kepada inflasi sebanyak 500 bilion peratus pada 2008.
Jutaan penduduk, daripada pegawai bank berkemahiran tinggi sehingga petani separa celik, berhijrah. Kebanyakannya ke negara jiran Afrika Selatan, di mana anggaran tiga juta masih hidup, walaupun ekonomi pulih seketika ketika tempoh perkongsian kuasa antara 2009 hingga 2013.
Rakaman video diperoleh Reuters dari rumah yang menempatkan dua sekutu utama Grace Mugabe, menteri kabinet Jonathan Moyo dan Saviour Kasukuwere, menunjukkan, tentera bersedia menggunakan kekerasan jika perlu.
Pintu hadapan kediaman Moyo diletupkan dengan bahan letupan, menyebabkan kaca berkecai di dewan masuk, sementara dinding dalam rumah Kasukuwere dipenuhi lubang peluru.
Kedua-duanya berjaya melarikan diri pada petang rampasan ke rumah Mugabe, di mana mereka kekal dalam tahanan rumah, kata satu sumber politik. -Reuters
https://www.bharian.com.my/dunia/afrika/2017/11/351697/mugabe-bertegas-enggan-berundur