BTC USD 76,160.4 Gold USD 4,341.92
Time now: Jun 1, 12:00 AM

PPR Desa Tun Razak Antara 22 Projek Naik Taraf Yang Telah Siap - Hannah

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,694
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,694
Reaction score
97
Points
80

PPR Desa Tun Razak Antara 22 Projek Naik Taraf Yang Telah Siap - Hannah​

47cd9310030406dbaab2231ee8c416416a5308cf4e59e

bfe37059c4a7fa2f958a58700152c2b16a5308b52779c

Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (depan tengah) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh (depan kanan) meninjau Program Penyelenggaraan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak hari ini.

Kerja-kerja menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak yang menelan kos RM9.6 juta telah siap dilaksanakan, menjadikannya antara 22 daripada 61 projek naik taraf PPR di ibu negara yang telah diselesaikan setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata projek itu merupakan sebahagian daripada peruntukan tambahan RM300 juta yang diluluskan kerajaan tahun ini bagi menaik taraf semua PPR di Kuala Lumpur secara sistematik.

Beliau berkata peruntukan itu dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi memastikan kerja penyelenggaraan PPR dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan lebih 8,000 penduduk PPR Desa Tun Razak yang telah beroperasi sejak 1998.

“Kita tidak mahu kerja penyelenggaraan dibuat secara ad hoc. Kita mahu ada dana khusus untuk penyelenggaraan kerana mudah membangunkan sesuatu projek, tetapi jika tiada peruntukan penyelenggaraan, aspek keselamatan akan terjejas,” katanya kepada pemberita ketika meninjau projek naik taraf PPR Desa Tun Razak, di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kerja yang dilaksanakan ialah penggantian pendawaian elektrik, penurapan jalan serta penambahbaikan kemudahan keselamatan kebakaran susulan beberapa insiden kebakaran yang berlaku di PPR tahun lepas.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadhlun Mak Ujud berkata daripada keseluruhan kos RM9.6 juta bagi projek naik taraf di PPR Desa Tun Razak, sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi kerja mengecat, RM1.68 juta bagi kerja berkaitan sistem pencegahan kebakaran dan pendawaian elektrik serta hampir RM1 juta bagi kerja penurapan jalan.

Beliau berkata kerja menaik taraf sistem riser kebakaran dan sistem perparitan turut dilaksanakan di kawasan berkenaan.

“Kita telah menyiapkan hampir 22 projek dan menjangkakan semua projek naik taraf PPR di bawah peruntukan RM300 juta itu dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Mengenai isu parkir di PPR Desa Tun Razak, Fadhlun berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenal pasti tanah kosong yang bersesuaian untuk dijadikan kawasan parkir sementara bagi mengurangkan masalah kekurangan ruang parkir.

 
Back
Top
Log in Register