Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,777
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,777
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
PPM Perkasa Pengiktirafan Profesion Pustakawan - Hasnita
Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) Hasnita Ibrahim
Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) akan memperkasa pengiktirafan profesion pustakawan menerusi kerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi memastikan golongan itu kekal kompeten dan mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas.
Presiden PPM Hasnita Ibrahim berkata pengiktirafan itu bukan sekadar melindungi profesion kepustakawanan, malah penting bagi meningkatkan kompetensi dan membuka ruang pembangunan kerjaya termasuk peluang kenaikan pangkat.
“Usaha jangka panjang ini memerlukan kerjasama pihak berkaitan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Kita nak mereka sentiasa mengemas kini kemahiran dan pengetahuan dalam bidang kepustakawanan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Beliau berkata usaha itu akan digerakkan bersama-sama dengan Ahli Majlis PPM, jawatankuasa tetap dan kumpulan berkaitan, selain memperkukuh hubungan strategik dengan PNM serta jaringan kerjasama dengan perpustakaan, institusi pendidikan, industri perbukuan, vendor, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan.
Hasnita, yang juga Pengurus Kanan Perpustakaan Digital Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata PPM juga akan meneliti model pengiktirafan profesional yang diamalkan di negara ASEAN lain untuk disesuaikan dengan keperluan Malaysia.
Bagi menyokong agenda itu, beliau berkata PPM akan memperkukuh program pembangunan profesional berterusan (CPD) menerusi latihan, bengkel, seminar dan pensijilan dalam bidang seperti analisis data, pengurusan metadata digital, keselamatan maklumat serta etika dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata dalam era AI dan lambakan maklumat, pustakawan perlu dijenamakan sebagai pakar rujukan, pengesah kesahihan data dan navigator maklumat yang membantu masyarakat mendapatkan sumber sahih dan berautoriti.
Beliau berkata konsep “Perpustakaan Tanpa Dinding” juga perlu diperkasa dengan memperluas jangkauan perkhidmatan digital, manakala program literasi digital komuniti akan digerakkan bagi membantu golongan belia, wanita dan warga emas menilai kesahihan maklumat dalam talian, memahami keselamatan siber serta menggunakan peranti pintar secara produktif.