Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,774
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,774
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
PPM Sabah Rampas Rokok, Minuman Keras Bernilai Hampir RM5.37 Juta
Kredit: PPM Wilayah 4 Sabah
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai hampir RM5.37 juta menerusi tiga serbuan di Sandakan dan Kota Kinabalu pada 14 dan 15 Sept lepas.
PPM Wilayah 4 Sabah memaklumkan serbuan pertama dilaksanakan menerusi Operasi Bersepadu Khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah jeti tidak berdaftar di tepi Sungai Seguntur, Sandakan kira-kira 1.30 pagi pada 15 Sept, hasil maklumat dan risikan.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan manakala 1.82 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dirampas, dengan nilai dianggarkan RM2.564 juta.
Berdasarkan maklumat susulan daripada tangkapan berkenaan, pasukan serbuan kemudian mengesan sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di Sungai Seguntur.
Pemeriksaan terhadap bot itu menemukan 1.73 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai kira-kira RM2.326 juta.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 14 Sept, PPM Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass di sini dan menemukan 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM478,506.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Menurut kenyataan itu, bagi tempoh Januari hingga 15 Sept tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 61 kes di bawah Akta Kastam 1967 membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM8,386,812.61 serta 40 tangkapan.
PPM Wilayah 4 Sabah memaklumkan kejayaan itu mencerminkan keberkesanan perkongsian risikan dan kerjasama strategik dengan SPRM dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai.