Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar (dua kiri) menunjukkan gambar suspek yang ditahan ketika sidang media berkaitan kejayaan anggota polis menumpaskan pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian dengan anggaran rampasan berjumlah RM85,000 dalam tiga kes berlainan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Polis Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan kerja sambilan serta pelaburan saham kepada mangsa di luar negara, hasil serbuan di tiga premis di Kajang, Seri Kembangan dan Puchong bulan lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Selangor bersama beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu, sebanyak 20 individu berusia 25 hingga 36 tahun ditahan termasuk seorang warga tempatan.
Beliau berkata polis turut merampas peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti itu terdiri daripada 42 telefon bimbit, 20 komputer, empat unit WiFi mudah alih, dua komputer riba, dua modem dan satu router dinaggar bernilai RM85,000.
“Modus operandi sindiket ialah menawarkan kerja sambilan, pelaburan saham dan peluang menjana pendapatan melalui platform digital sebelum mangsa diarah membuat bayaran tertentu.
“Ahli sindiket berperanan sebagai operator yang akan berhubung dengan mangsa melalui aplikasi media sosial serta laman web bagi meyakinkan mangsa untuk membuat pelaburan atau menyertai tawaran kerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Shazeli berkata dalam serbuan pertama pada 23 Jan lepas di Bandar Sungai Long, Kajang, polis menahan enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 28 hingga 33 tahun.
“Sindiket yang beroperasi sejak Disember 2025 itu menyasarkan warga Australia dan Itali melalui tawaran kerja sambilan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata dalam serbuan kedua pada 26 Jan di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, polis menahan sembilan lelaki warga asing berusia 27 hingga 35 tahun manakala sindiket dipercayai aktif sejak November 2025 dengan menyasarkan warga China melalui pelaburan saham dalam talian.
Dalam serbuan ketiga pada 28 Jan di Bandar Puteri, Puchong pula, lima warga asing berusia 25 hingga 36 tahun terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita ditahan.
Polis Selangor Tumpaskan Sindiket Penipuan Dalam Talian
sindiket, penipuan, dalam talian, kerja sambilan,