combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,151
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,151
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
PMKS, Koperasi Sasar RM150 Juta Potensi Jualan Di Guangzhou
Sebanyak 12 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi Malaysia menyasarkan potensi jualan dan kerjasama perniagaan hingga RM150 juta menerusi penyertaan dalam China International Small and Medium Enterprises Fair (CISMEF) di Guangzhou, China.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memaklumkan PMKS dan koperasi dalam bidang makanan dan minuman serta produk kesihatan itu menyertai pameran berkenaan menerusi Misi Perdagangan Khas ke Guangzhou dari 1 hingga 5 Sept ini.
Misi itu diketuai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim, yang akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik ke-32 (APEC SMEMM ke-32).
Menurut KUSKOP, misi berkenaan akan dimanfaatkan untuk memperluas akses pasaran, mempercepat pendigitalan serta meningkatkan pengantarabangsaan PMKS dan koperasi Malaysia.
“Fokus kita sangat jelas, cari pembeli dan rakan perniagaan baharu untuk syarikat Malaysia, pada masa sama mengenal pasti teknologi dan model yang boleh membantu PMKS kita meningkatkan keupayaan untuk eksport,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang misi itu, Sim dijadual mengadakan sesi kerja bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Guangzhou.
Sesi itu bertujuan mengenal pasti lebih ramai pembeli, pengedar, platform e-dagang dan rakan strategik bagi syarikat Malaysia, selain meneroka peluang pelaburan dari Guangdong ke Malaysia.
Kementerian itu juga akan menumpukan kepada pelaburan yang boleh menghasilkan limpahan ekonomi kepada PMKS tempatan, termasuk peluang menjadi pembekal, pengedar, rakan teknologi dan penyedia perkhidmatan kepada syarikat China yang beroperasi di Malaysia.
Delegasi KUSKOP turut dijadual mengadakan libat urus strategik dengan Pusat Operasi Alibaba China Selatan bagi meneroka kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data, e-dagang rentas sempadan, pemasaran digital dan logistik pintar.