Rakyat Malaysia tersilap jadi pengundi berdaftar di Indonesia
Ketua Bawaslu Madiun, Kokok Heru Purwoko berkata semalam, seorang warga Malaysia dan dua dari Asia Barat, tersilap didaftar sebagai pengundi pilihan raya 2019 di Jawa Timur, didakwa kerana kesilapan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya. -Foto Agensi
JAKARTA: Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) Madiun di Jawa Timur menemui tiga rakyat asing, iaitu seorang warga Malaysia dan dua dari Asia Barat, mendaftar untuk pilihan raya 2019 di bandar itu, didakwa kerana kesilapan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU).
Ketua Bawaslu Madiun, Kokok Heru Purwoko berkata semalam, daripada 35 rakyat asing yang tinggal di bandar itu, 27 daripadanya sudah memiliki kad pengenalan.
“Kami kemudian memeriksa dengan KPU untuk mengesahkan jika ketiga-tiga mereka dimasukkan ke dalam senarai pengundi akhir,” katanya.
Katanya, beliau mengesyaki sesetengah pegawai KPU tidak tahu warga asing tiada hak untuk mengundi.
Beliau berkata, Bawaslu seterusnya menasihatkan KPU supaya memadam nama rakyat asing terbabit daripada senarai itu dengan serta merta, seperti dilaporkan kompas.com.
Penemuan sama sebelum ini dibuat di Cianjur, Jawa Barat, di mana seorang warga China muncul dalam senarai pengundi akhir.
Ketua Agensi Pendaftaran Awam dan Kependudukan Jawa Barat, Heri Suherman menjelaskan, seorang rakyat asing mungkin memiliki kad pengenalan, digelar kad penduduk tetap, sama seperti dimiliki rakyat tempatan.
Katanya, kedua-dua kad memiliki 16 digit nombor yang jelas sama hanya bahagian kerakyatan berbeza daripada kad penduduk tetap asing dan kad pengenalan rakyat Indonesia. -Agensi
https://www.bharian.com.my/dunia/as...tersilap-jadi-pengundi-berdaftar-di-indonesia