combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
PGA Rampas Hampir 80,000 Batang Rokok Seludup Di Kota Bharu
Kredit: PGA Briged Tenggara
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 79,800 batang rokok seludup bernilai RM150,502 serta menahan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Masjid Lundang di sini, awal pagi tadi.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan pada 3.30 pagi itu hasil risikan yang dilakukan Cawangan Risik Batalion 7 PGA bersama anggota Pasukan Bertindak Batalion 7 PGA Kuantan, Pahang dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Beliau berkata pemeriksaan di bahagian stor belakang premis berkenaan menemukan 75,000 batang rokok putih dan 4,800 batang rokok kretek yang dipercayai diseludup.
“Seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM150,502 membabitkan RM140,998 bagi rokok putih dan RM9,504 bagi rokok kretek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek merupakan pekerja di premis berkenaan dengan gaji RM1,200 sebulan, manakala urusan mendapatkan bekalan rokok dikendalikan pemilik premis yang sedang dikesan.
Ahmad Radzi berkata rokok seludup itu dipercayai dijual secara runcit kepada penduduk setempat di sekitar kawasan berkenaan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan telah dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Risikan dan pemantauan akan diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran rokok seludup dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya.
Loading…
www.bernama.com