combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kastam Kelantan Rampas 1.95 Juta Batang Rokok Seludup RM1.37 Juta
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd Hisham Mohd Nor (tengah) bercakap pada sidang media berkaitan rampasan rokok putih di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang hari ini. JKDM Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dari China bernilai RM1.37 juta melalui sungai berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 1.95 juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM1.37 juta termasuk duti dan cukai menerusi Ops Asap Cino, dua hari lepas.
Pengarahnya Mohd Hisham Mohd Nor berkata rampasan itu dibuat dalam dua serbuan di Kampung Pauh 9, Tawang, Bachok.
Beliau berkata serbuan pertama pada 10.30 malam menemukan sebuah lori Hino yang ditinggalkan tanpa berkunci dan mengandungi 1.701 juta batang rokok dalam 74 kotak.
“Rokok berkenaan disembunyikan menggunakan guni putih berisi sabut kelapa. Nilainya RM1.194 juta termasuk duti dan cukai, manakala lori itu bernilai RM150,000,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Mohd Hisham berkata pemeriksaan lanjut menemukan sebuah Toyota Unser yang mengandungi 253,600 batang rokok bernilai RM178,027.20 termasuk duti dan cukai.
Beliau berkata kenderaan bernilai RM15,000 itu turut disita.
Katanya sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan sungai berhampiran sempadan Malaysia-Thailand untuk membawa masuk rokok sebelum dipindahkan ke kenderaan bagi pasaran di luar Kelantan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun.