BTC USD 84,304.0 Gold USD 4,274.18
Time now: Jun 1, 12:00 AM

***Petua Pancing & Pemancing***

Batal trip jika halangan bertubi-tubi
Oleh Nuri Angkasa

KEPADA kaki pancing warga muda yang mempunyai darah panas, mereka boleh dikatakan jarang-jarang mengamalkan petua masyarakat tempatan terutama membabitkan soal keselamatan.

Justeru, kali ini Petua Pak Nuri masih berkisar kepada beberapa langkah yang perlu difikirkan sesuai sebelum keluar dari rumah untuk mencari rezeki di tengah laut atau hutan belantara, tasik mahupun di hulu sungai sebagai tempat mencari rezeki Allah.

Langkah pertama yang menjadi tanggungjawab pemancing sebelum meninggalkan rumah untuk memancing selama beberapa hari ialah menentukan keperluan barangan di dapur seperti beras, gula, susu anak dan keperluan harian mesti mencukupi.

Dengan cara demikian, Insya-Allah, Dia akan memberi rezeki yang dicari dengan berlipat-ganda. Tetapi jika anda meninggalkan rumah dalam keadaan serba-serbi barang dapur kekurangan sehingga menyusahkan keluarga yang ditinggalkan; atau paling tepat dalam keadaan menyusahkan keluarga atau jika beras tidak ada ataupun barang keperluan dapur kekurangan tentunya keadaan itu akan menyukarkan keluarga sendiri.

Justeru, langkah paling baik ialah anda perlu membereskan tanggungjawab ini sebelum melangkah keluar dari rumah.

Perkara lain yang perlu diambil kira sebelum keluar rumah ialah mengenai kesihatan keluarga. Jika ada anak yang sakit atau isteri kurang sihat mahupun ada jiran berada dalam keadaan tenat atau kematian maka kita harus membatalkan hasrat untuk keluar memancing atau menangguhkan kepada waktu lain supaya supaya pemergian kita akan dirahmati Allah.

Sebaliknya, ada sebahagian kaki pancing warga muda (tidak semua) tidak menitik beratkan petua ini kerana darah muda untuk turun memancing sudah terikat kukuh dalam diri mereka.

Kita tidak mahu sesal kemudian yang sudah pasti tidak berguna. Tentunya pemancing tidak mahu kehilangan orang dikasihi. Walaupun dengan membawa pulang dua tong besar ikan kelas A , tetapi jika berlaku peristiwa tidak diingini maka itu tidak akan memberi sebarang makna.

Perkara begini bukan saja satu petua yang patut dijadikan amalan tetapi kasih sayang kekeluargaan perlu diutamakan. Pada masa sama, semangat kejiranan perlu dipupuk setiap masa. Memancing adalah satu hobi atau satu kegemaran yang boleh ditangguhkan atau anda boleh terus membatalkan pemergian kerana ribut dan gelombang besar. Anggaplah perkara yang Pak Nuri sebutkan di atas sebagai ‘ribut dan gelombang besar’ yang menghalang kita daripada turun memancing.

Esok masih ada. Ribut dan gelombang akan pergi tetapi ikan tetap ada menanti.
 
Amal prinsip memancing adalah hobi
Oleh Nuri Angkasa

SEBELUM turun memancing sama ada memancing di laut, sungai, kolam, lombong atau tasik kadang-kadang kita berdepan pelbagai masalah peribadi, keluarga mahupun di tempat kerja. Justeru, masalah ini pasti menghantui fikiran kita untuk turun memancing. Jadi, tentunya kita tidak dapat ketenangan ketika berada di lokasi memancing lebih-lebih lagi jika lokasi itu berada jauh di tengah laut.

Dalam keadaan begini, kita harus berpegang pada prinsip bahawa memancing adalah hobi (kegemaran) individu yang boleh diubah suai keadaannya mengikut keadaan daripada semasa ke semasa. Andai kata anda sedang menghadapi anak sakit kuat yang perlu rawatan segera atau ahli keluarga dalam keadaan nazak atau isteri hampir melahirkan bayi, adakah anda akan keluar juga memancing?

Anda sanggupkah meninggalkan tanggungjawab untuk bersama mereka hanya semata-mata kerana anda mahu memancing? Atau, dapatkah anda merasa selesa dan seronok ketika berada di lokasi memancing sedangkan di rumah ada pertarungan antara hidup dan mati?

Jawapannya sangat mudah. Lupakan soal memancing, tangguhkan tarikh atau anda seorang dikecualikan daripada kumpulan yang sudah dirancang sekiranya bot yang ditempah tidak boleh dibatalkan. Biarkan rakan yang lain meneruskan ekspedisi tanpa anda.

Kita jangan terlalu memikirkan soal hobi, sebaliknya soal tanggungjawab sebagai seorang insan yang bernama ayah, suami atau ahli keluarga tertua perlu dilihat sebagai satu yang penting. Apa yang Pak Nuri agak kesal masih terdapat kaki pancing (sebilangan kecil) masih mendahului hobi daripada tanggungjawab lain dan ini meletakkan hobi memancing itu kurang disenangi oleh para isteri dan kaum keluarga.

Namun untuk menjadikan hobi memancing ini sebagai satu aktiviti yang diberi kepercayaan oleh isteri dan kalangan kaum keluarga, anda harus meletakkannya dalam keadaan suasana yang paling harmoni. Maknanya, pemergian anda ke lokasi tidak ada sedikit pun menyentuh hati nurani atau mengguris perasaan sama ada antara suami dengan isteri, anak dan ayah, kaum keluarga serta jiran.

Dengan bersikap harmoni maka anda akan turun memancing dalam keadaan tenang dengan dihantar sendiri oleh isteri dan anak dengan iringi doa.

Alangkah bahagianya jika keadaan begini anda dapat melakukan aktiviti memancing setiap kali anda turun memancing!

Allah akan memberi ganjaran yang berganda. Insya-Allah.
 
Jangan lupa halia, bawang putih
Oleh Pak Nuri

KETIKA rasa ghairah membuat persediaan turun memancing, ramai kaki pancing lupa kepada beberapa petua yang perlu diamalkan seperti menyediakan ubat-ubatan menahan bisa, sakit perut, pening kepala atau sakit gigi serta disengat binatang bisa.

Keperluan ini sangat penting untuk dibawa bersama sama ada secara kumpulan atau individu walaupun keperluan berkenaan ada disediakan dalam bot atau kotak ubat, namun langkah berjaga-jaga perlu dilakukan kerana ada kemungkinan tekong atau ketua kumpulan terlepas pandang mengenai ubat yang perlu dibawa dalam setiap kotak atau beg pemancing.

Pernah berlaku pada satu trip memancing laut dalam apabila seorang pemancing terkena sengat ikan pari.

Sebagai langkah bantuan untuk menahan bisa, tekong bergegas membuka kotak ubat yang tersedia tetapi semua ubat yang diperlukan sudah kehabisan.

Keadaan menjadi kelam kabut dan mencemaskan. Bagaimanapun seorang daripada pemancing lain dalam kumpulan berkenaan bertindak memicit bahagian yang terkena sengat untuk mengeluarkan bisa dan kemudian menumbuk halia bersama bawang putih lalu dilumurkan pada tempat luka yang terkena sengat itu.

Langkah ini dapat mengurangkan rasa sakit kerana panas halia bercampur bawang putih dapat melawan sakit. Bagaimanapun ia perlu dirawat terlebih dulu.

Daripada peristiwa yang berlaku langkah terbaik suiaya kita semua tidak mudah panik, tetapi perlu memberikan kerjasama dan cepat memberi bantuan.

Kepada tekong berpengalaman, mereka tetap mempunyai beberapa jenis rempah ratus selain untuk masak sekurang-kurangnya sebagai pilihan kedua apabila ubat yang diperlukan tertinggal atau kehabisan.

Peranan halia dan bawang putih amat penting kerana kepercayaan masyarakat Cina dua rempah berkenaan dapat membuang angin dalam badan dan dapat menyedut biasa jika terkena sengat binatang atau ikan berbisa.
 
bestnyer ada tips2 nie....
 
Elak terlalu kenyang, jangan terlalu lapar
Oleh Nuri Angkasa

BIASANYA kaki pancing (sebahagian besar) akan mengunjungi warung atau gerai untuk mengisi perut dengan makanan yang agak berat seperti nasi lemak, nasi dagang atau apa saja makanan yang mengenyangkan untuk mengelakkan lapar ketika berada dalam bot sebelum dapat menjamah nasi yang dimasak tekong dalam bot.

Amalan ini perlu dielakkan supaya kita tidak begitu ghairah mengisi perut terlalu awal sebelum melakukan aktiviti memancing. Kita harus berada dalam keadaan tidak terlalu kenyang dan tidak juga dalam keadaan terlalu lapar. Kesan kenyang ialah kita pasti berdepan rasa mengantuk, letih malah sukar bergerak pantas. Jika lapar pula kita pasti tidak selesa malah akan sentiasa mencari makanan.

Bagi nelayan atau pengail veteran, sarapan yang diambil awal pagi sebelum turun ke laut adalah cukup dengan sekadar mengambil secawan kopi-o panas dengan sekeping roti dibantu dengan dua biji telur ayam kampung rebus atau separuh masak.

Justeru bagi Pak Nuri petua amalan mengambil makanan sederhana sebagai sarapan adalah terbaik daripada mengisi makanan berat sebelum melakukan aktiviti lasak. Kesederhanaan ini juga dapat kita rasakan sendiri baik buruknya. Cuma kita perlu berhati-hati supaya sarapan tidak diambil terlalu lewat kerana boleh mengakibatkan perut masuk angin dan keselesaan untuk memancing akhirnya hilang.

Namun dalam apa juga usaha untuk mendapatkan keselesaan memancing, kita harus berada dalam keadaan sihat dan tidak banyak membawa masalah dalam bot. Perut juga berada pada tahap sederhana dan tidak harus menumpu sepenuh masa pada makanan.

Bertitik-tolak dari situ, Pak Nuri sekali lagi mengingatkan kepada semua kaki pancing supaya bersarapan awal pagi dengan mengambil makanan ringan sebelum turun memancing, dan amalkan ini sebagai petua. Insya-Allah, kita akan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selesa sepanjang berada di laut sekali gus menghindarkan anda mabuk dan muntah.
 
sape2 ader lokasi mancing yang best sekitar lembah kelang leh gtau tak? sabtu n ahad ni takde acara ar..
 
Back
Top
Log in Register