combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,141
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,141
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Persiapan Sambutan Hari Wesak Lancar
Sami Buddha menyusun lilin berbentuk nanas di kuil Buppharam Buddhist, Jalan Perak sebagai persiapan menyambut Hari Wesak pada Ahad ini.
Hari Wesak adalah sambutan terpenting bagi penganut Buddha untuk memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama yang diraikan dengan menyalakan colok, lilin berbentuk bunga teratai serta menabur bunga dan memandikan patung Buddha.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Persiapan akhir bagi sambutan Hari Wesak pada Ahad ini sedang giat dijalankan di Pulau Pinang dan lebih 15,000 penganut Buddha serta pengunjung dijangka hadir bagi meraikan perayaan itu.
Tinjauan Bernama di pekarangan bangunan Penang Lee Sih Chong Soo (Lee Kongsi) di Jalan Burma mendapati sukarelawan bertungkus lumus menyiapkan kereta berhias dengan ribuan kuntuman bunga selain mendirikan khemah di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hari Wesak Pulau Pinang Datuk Dr Loh Hock Hun berkata pihaknya sudah memulakan persiapan menyambut Hari Wesak sejak dua minggu lepas bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan upacara menyalakan api akan berlangsung pada malam esok.
Beliau berkata sebanyak 23 kereta berhias akan memeriahkan perarakan sempena sambutan Hari Wesak peringkat Pulau Pinang tahun ini yang membawa tema "Merapatkan Melalui Digital, Memupuk Kebijaksanaan Bersama".
"Perarakan itu menampilkan kereta berhias daripada pelbagai kuil dan organisasi Buddha, termasuk kereta berhias utama setinggi 4.5 meter daripada Persatuan Buddhist Malaysia (MBA) yang akan dihiasi dengan ribuan bunga segar dan lampu LED oleh pasukan profesional.
"Sambutan di Pulau Pinang tahun ini akan menampilkan perarakan besar pada Ahad bermula 6 petang iaitu perarakan tahunan yang telah menjadi tradisi sejak 1949," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Persiapan sambutan juga berjalan lancar di beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang termasuk Kuil Kek Lok Si di Air Itam, Wat Chaiya Mangalaram di Lorong Burma dan Wat Buppharam di Jalan Perak di sini.
Loh berkata sambutan tahunan yang berlangsung selama sebulan itu merangkumi pelbagai acara, aktiviti keagamaan dan kerja-kerja kebajikan yang diadakan sebelum dan selepas kemuncak perayaan pada Ahad ini.
"Acara kemuncak merupakan perarakan Hari Wesak, namun terdapat juga acara lain termasuklah upacara ambang Wesak, jamuan makan malam, penyampaian sumbangan dan angpau kepada organisasi kebajikan, ceramah Dhamma, serta penyerahan dana kepada Sangha (pemberian sedekah kepada para sami)," katanya.