ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Ibu bapa tetap menghantar anak-anak mereka ke taska dan pengusaha tidak perlu susah payah mencari pelanggan.
Farah Izwani Samsudin
POTENSI perniagaan dalam industri taska yang semakin berkembang pesat akhir-akhir ini dilihat telah menarik lebih ramai usahawan muda bukan sahaja terdiri daripada golongan wanita tetapi juga lelaki.
Umpama cendawan tumbuh selepas hujan, taska kini bukan sahaja satu perniagaan yang dijalankan untuk menjaga kanak-kanak tetapi juga turut mampu menjana pendapatan sendiri.
Sinar Harian berpeluang untuk menemu ramah agensi yang diiktiraf Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) bagi menganjurkan kursus asuhan dan didikan awal kanak-kanak Permata (KAP), Universal Click Sdn Bhd, untuk mengetahui bagaimana industri ini semakin menjadi tarikan usahawan sebagai salah satu perniagaan yang menguntungkan.
Selain kursus KAP, Universal turut menganjurkan Bengkel keusahawanan, Pengendalian dan Pengurusan Asas Taska/Tadika.
Pengarah Urusannya, Farah Izwani Samsudin berkata, perkembangan pesat industri ini dapat dilihat dengan kehadiran lebih ramai peserta untuk menyertai kursus wajib KAP.
“Setiap pengambilan, kami akan menerima sekitar 35 peserta yang datang dari seluruh negara.
“Yang hadir bukan sahaja terdiri daripada kalangan suri rumah tetapi datang daripada pelbagai bidang kerjaya antaranya doktor, jurutera, akauntan, guru dan bekas kakitangan perbankan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di pejabatnya di Seri Kembangan, baru-baru ini.
Sehingga kini, Universal Click telah melatih lebih 2,000 peserta sejak dibuka pada 2010.
Menurutnya, mereka yang menyertai kursus ini melihat ada potensi perniagaan yang boleh membantu menjana pendapatan dan keuntungan lumayan.
Katanya, industri ini adalah salah satu industri yang mempunyai potensi perniagaan yang cerah dan ramai sudah sedar dan telah mula membuka mata.
“Ini kerana, taska merupakan salah satu keperluan orang ramai di mana sahaja, selagi wujudnya komuniti masyarakat.
“Orang akan tetap menghantar anak ke taska dan pengusaha tidak perlu bersusah payah untuk mencari pelanggan,” katanya.
Farah berkata, yang membezakan sebuah taska dengan taska lain adalah cara pengurusan dan kelebihan yang ditawarkan, yang boleh menarik minat ibu bapa kanak-kanak itu.
Usahawan tidak tahu cara
Selain menjalankan kursus KAP, Universal Click juga menganjurkan bengkel taska dan tadika yang telah bermula sejak 2009.
Menurut Farah, berdasarkan maklum balas peserta, rata-rata daripada mereka yang menghadiri kursus itu beranggapan bahawa membuka taska adalah sesuatu yang rumit.
Katanya, prosesnya hanya akan menjadi rumit apabila usahawan atau peniaga baharu yang ingin berkecimpung dalam industri ini tidak mengetahui rangkaian dan agensi mana yang perlu ditemui untuk tujuan itu.
“Ada juga yang beranggapan kerana urusan yang rumit dan malas untuk turun naik pejabat JKM dan agensi lain menjadi penyebab mereka tidak berminat untuk membuka taska,” katanya.
Menurutnya, jika dibandingkan dengan prosesnya beberapa tahun dahulu, kini prosesnya adalah jauh lebih mudah.
Namun persepsi silap berhubung proses pembukaan taska terus menguasai minda ramai orang, menyebabkan ada perniagaan taska yang tidak berdaftar dengan JKM.
“Mereka beranggapan rumit untuk mendaftar dengan beberapa agensi selain JKM, mereka juga perlu berjumpa dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap negeri, bomba dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Taska jana pendapatan lumayan
Ketika ditanya berhubung bagaimana perniagaan taska mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada pengusaha, Farah berkata, taska mampu menjana pendapatan dengan adanya permintaan yang tinggi.
“Bagi membuka satu taska, pengusaha memerlukan sekurang-kurangnya RM15,000 hingga maksimum RM50,000 dengan kelengkapan yang cukup.
“Manakala, kadar yuran seorang kanak-kanak bagi pengambilan taska di antara RM300 hingga RM500 di Lembah Klang,” katanya.
Menurutnya, ada antara pengusaha taska sudah berjaya membuka beberapa cawangan di seluruh negara dan mampu menjana pendapatan yang lumayan.
Katanya, sebagai contoh dengan yuran RM400 dan mempunyai 50 orang kanak-kanak, setiap pengusaha mampu memberi pendapatan bersih purata RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.
"Keuntungan itu hanya dapat dijana dengan satu taska, jika pengusaha mempunyai tiga atau lebih taska, mungkin pendapatan akan menjadi berlipat ganda," katanya.
Bagaimanapun, jumlah kanak-kanak bergantung kepada keluasan kapasiti dan yuran yang dikenakan.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung persaingan, Farah berkata, peningkatan jumlah pengusaha taska tidak akan menggugat taska lain kerana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menentukan bahawa jarak antara taska dengan taska adalah lingkungan setiap lima kilometer.
“Hanya sebab-sebab tertentu seperti terdapat permintaan yang tinggi di kawasan itu atau taska sedia ada tidak dapat menampung jumlah permintaan di sana, barulah PBT akan meluluskan pembukaan taska di kawasan yang sama.
“Oleh itu, tidak akan ada wujud persaingan dan taska yang tidak mempunyai kanak-kanak,” katanya.
Menurutnya, satu-satunya masalah yang perlu ditangani adalah mengekalkan tenaga pekerja atau pengasuh.