Memang sistem pemerintahan Islam adalah yang terbaik. Itu tidak dinafikan. Lihat saja contoh Perjanjian Madinah antara Nabi Muhammad, orang Islam dan orang bukan Islam. Ianya persetujuan bersama antara mereka. Itu contoh demokrasi. Tidak mustahil pada waktu itu ada yang tidak bersetuju kerana ada berlaku selepas itu pengkhianatan dari satu pihak kaum yahudi mengakibatkan mereka dihukum. Tetapi kehendak majoriti menyokong perjanjian tersebut dan itulah konsep demokrasi.
Jangan kita lupa walaupun demokrasi dikatakan ciptaan manusia, kita perlu sedar bahawa setiap ilmu yang ada di dunia ini adalah Milik Allah dan demokrasi itu wujud dengan IzinNya untuk manusia menilai dan memahaminya. Aku tidak nampak demokrasi sebenar lari dari konsep Islam. Malah secara dasarnya, komunisme juga adalah konsep yang ada kerana kekayaan diagihkan secara adil dan saksama. Itu juga Islamik. Tetapi para pelaksana (ahli politik, oportunis, megalomaniak dan lain-lain) yang merosakkan konsep tersebut menjadikannya ianya buruk. Siapa mahu hidup dalam dunia yang tidak aman dan porak peranda?
Tapi begitulah realitinya manusia, tetap ada yang mahukan huru hara akibat ketamakan kuasa dan harta. Jadi apa jaminan kita kalau "SISTEM NEGARA ISLAM" yang dipimpin oleh Khalifah tidak terlepas dari ketamakan dan kejahatan manusia? Sepanjang sejarah Khalifah dari 4 Khalifah pertama hingga khalifah terakhir terhapus awal kurun ke-20, berapa banyak cerita yang boleh kita perolehi mengenai khalifah yang kejam dan tamak keduniaan? Sedangkan dakwa kita mereka melaksanakan hukum Islam.
Kenapa Jepun atau Singapura atau Denmark atau Switzerland sekalipun yang tidak melaksanakan sistem pemerintahan negara Islam, tetapi negara mereka jauh lebih aman damai, rakyatnya jauh lebih bersopan dan bersih (Jepun terutamanya) dan jauh lebih maju dan Islamik dalam banyak sudut? Tidakkah itu menunjukkan bahawa sistem negara Islam adalah sebuah idealisme moden umat Islam masa kini yang sebenarnya tidak faham apa itu negara Islam sendiri dan menolak mentah-mentah demokrasi yang kononnya tidak Islamik?
Adakah Nabi Muhammad SAW setelah menerima wahyu pertama dan setelah berhijrah ke Madinah mengisytiharkan bahawa baginda telah menegakkan negara Islam atau mahu negara Islam ditegakkan dahulu? Pastinya tidak. Ayat pertama mengajar kita berilmu. Mengejar Ilmu dan belajar. Jadi faham, jadi pandai. Kerana kebijaksanaan itu adalah anugerah Allah terhadap manusia dan itu yang membezakan manusia dengan haiwan dan itu membezakan Umat Islam dengan bukan Islam. Islam mengajar umatnya menjadi pandai dan bijaksana melalui ilmu dan tindakan dalam setiap aspek hidupnya.
Kerana ilmu ini penting bagi mendidik dan menyedarkan kita mengenai cara hidup yang disyariatkan. Apabila ada ilmu, peraturan dan undang-undang mudah difahami dan diikuti. Mudah diterima dan mudah diserap dalam jiwa manusia kerana manusia yang berilmu dan bijak berfikir akan tahu batas-batas hidup terutama dalam Islam. Itulah yang Nabi Muhammad buat dulu sebelum buat perkara lain. Terapkan manusia berilmu dikalangan umat Islam hingga mampu mencipta strategi perang yang efektif, mampu mencipta dan membaiki teorem dan ilmu sains dan teknologi untuk kebaikan manusia. Undang-undang adalah pelengkap apabila manusia bijak dan berilmu. Undang-undang tidak akan ada kesan jika manusia tidak faham dan tidak pedulikannya.
Kenapa kita obses mengejar negara Islam dan undang-undang hudud sedangkan ramai antara kita yang langsung tidak faham mengenainya tetapi bersungguh-sungguh juga hendak melaksanakannya? Maaf terlalu panjang dan lari tajuk.
Umat Islam perlu keluar dan turun dari bonggol unta. Sudah sampai masa untuk jadi lebih maju dan berilmu sesuai dengan tuntutan Allah sendiri. Barulah lepas itu kita boleh fikir untuk bina sebuah negara Islam yang berjaya.