Perang Amerika, Israel dan Iran: Tarif elektrik naik 17% dari Jul-Sep, cerminkan kos lebih tinggi akibat perang Timur Tengah
Flat HDB. (Gambar: iStock)
SINGAPURA: Isi rumah di Singapura bakal membayar tarif elektrik dan gas yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun 2026.
Ini berikutan kenaikan harga gas asli sebelum ini yang dicetuskan oleh perang Timur Tengah, sekali gus meningkatkan kos menjana elektrik dan gas di peringkat tempatan, menurut kenyataan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada Selasa (30 Jun).
IKLAN
SP Group menyatakan bahawa tarif elektrik isi rumah dari bulan Julai hingga September akan meningkat sebanyak 4.64 sen setiap kWj berbanding suku sebelum ini, sebelum mengambil kira Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Dengan kenaikan itu, harga elektrik bagi suku tahun ini kini ditetapkan pada 31.91 sen setiap kWj.
Purata bil elektrik bulanan bagi keluarga yang tinggal di flat Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) empat bilik dijangka meningkat sebanyak S$17.14.
Secara keseluruhan, tarif elektrik (sebelum GST) - termasuk tarif bagi sektor bukan isi rumah - akan meningkat pada kadar purata 17 peratus berbanding suku sebelumnya.
Bagi tarif gas isi rumah, City Energy pada Selasa (30 Jun) mengumumkan kenaikan sebanyak 1.56 sen setiap kWj sebelum GST, bagi tempoh Julai hingga September berbanding suku sebelumnya.
IKLAN
Tarif gas yang disemak semula bagi suku ketiga ini akan melonjak daripada 21.92 sen setiap kWj kepada 23.48 sen setiap kWj - iaitu peningkatan sekitar 7.1 peratus.
EMA menjelaskan pada Jumaat bahawa tarif elektrik dan gas bandar yang dikawal selia di Singapura ditentukan setiap suku tahun, berdasarkan harga gas dalam tempoh 2.5 bulan pertama pada suku sebelumnya.
"Ini bermakna perubahan harga bahan api pada sesuatu suku tahun hanya akan dicerminkan dalam tarif elektrik pada suku tahun berikutnya. Perkara ini dapat dilihat apabila tarif elektrik yang dikawal selia bagi bulan April hingga Jun 2026 meningkat sedikit, kerana ia hanya mengambil kira kenaikan harga bahan api dari 28 Februari (iaitu tarikh perang Timur Tengah bermula) sehinggalah 15 Mac 2026," tambah agensi tersebut.
Sebelum ini, SP Group menyatakan bahawa tarif elektrik bagi suku-suku tahun seterusnya dijangka terus meningkat selepas kesan sepenuhnya daripada lonjakan harga gas asli mula dimasukkan ke dalam pengiraan tarif.
Dalam satu kenyataan menteri di Parlimen pada 7 April, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menarik perhatian bahawa pelarasan tarif pada bulan Julai dijangka mencerminkan sepenuhnya kos bahan api yang lebih tinggi.
IKLAN
Situasi di Timur Tengah "kekal tidak menentu", tetapi jika keadaan kembali pulih, harga bahan api yang lebih rendah boleh menyebabkan tarif elektrik dan gas bandar turun pada suku keempat tahun 2026, jelas EMA.
Pihak berkuasa menambah bahawa mereka sedang memantau dengan teliti situasi bekalan bahan api dan bekerjasama dengan pihak industri bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara.
PILIHAN BAGI ISI RUMAH
Setiap isi rumah mempunyai pilihan sama ada mahu membeli elektrik daripada SP Group pada kadar tarif terkawal yang disemak setiap suku tahun, atau daripada peruncit elektrik swasta melalui pelan harga tetap, pelan diskaun daripada tarif terkawal, atau pelan harga mengikut waktu penggunaan.
Walaupun pengguna yang terikat dengan kontrak peruncit elektrik mungkin melihat harga yang lebih tinggi ketika memperbaharui kontrak, mereka dinasihatkan untuk memilih pelan bekalan elektrik yang paling sesuai dengan keperluan dan pilihan masing-masing.
IKLAN
Isi rumah juga boleh memainkan peranan untuk menjimatkan tenaga dengan menetapkan suhu penyaman udara pada tahap sederhana (contohnya 25 darjah Celsius atau lebih tinggi), menutup lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, serta memilih perkakas rumah yang cekap tenaga.
"Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik isi rumah, malah menyumbang kepada daya tahan tenaga Singapura," menurut EMA.
Singapura sangat bergantung pada tenaga import, di mana sekitar 95 peratus daripada bekalan elektriknya dijana menggunakan gas asli yang diimport, menurut pihak berkuasa.
Di bawah langkah-langkah bantuan susulan perang Amerika Syarikat-Iran yang diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Belanjawan 2026, satu lagi fasa bantuan rebat U-Save serta Rebat Caj Perkhidmatan & Penyenggaraan (S&CC) akan diagihkan pada bulan Julai ini.
LAPORAN BERKAITAN
Lebih sejuta isi rumah HDB bakal terima rebat U-Save, S&CC pada Jul
Perang Amerika, Israel dan Iran: Tarif elektrik naik 17% dari Jul-Sep, cerminkan kos lebih tinggi akibat perang Timur Tengah
SINGAPURA: Isi rumah di Singapura bakal membayar tarif elektrik dan gas yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun 2026. Ini berikutan kenaikan harga gas asli sebelum ini yang dicetuskan oleh perang Timur Tengah, sekali gus meningkatkan kos menjana elektrik dan gas di peringkat tempatan, menurut...