Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Penyertaan Wakaf Penjawat Awam Melalui Potongan Gaji Perlu Diperluas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan
Potensi untuk memperluas penyertaan penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji masih signifikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata ketika ini, jumlah pewakaf melalui kemudahan potongan gaji hanya meliputi sekitar satu peratus daripada keseluruhan penjawat awam Persekutuan.
“Potensi tersebut mampu membuka ruang kepada pembangunan projek wakaf berskala besar dan berimpak tinggi untuk manfaat masyarakat,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf Tunai Malaysia, di sini hari ini.
Sementara itu, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dalam kenyataan sama memaklumkan sehingga 31 Dis tahun lepas, kutipan terkumpul menerusi kemudahan potongan gaji YWM mencecah RM21.29 juta, melibatkan 10,963 pewakaf sejak kod berkenaan diluluskan oleh Jabatan Akauntan Negara pada 5 Jan 2009.
Menurut kenyataan itu sebanyak RM1.15 juta dikumpulkan menerusi kemudahan itu hasil kerjasama dengan lapan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), iaitu Terengganu, Sabah, Johor, Kedah, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis.
“Kerjasama itu turut diperluas apabila Wakaf Pulau Pinang bersetuju menggunakan kod potongan gaji YWM, bagi menggalakkan lebih ramai penjawat awam Persekutuan di negeri berkenaan berwakaf secara konsisten,” menurut kenyataan itu.
YWM turut memaklumkan sebanyak RM1,152,941.35 Dana Wakaf Tunai Malaysia diagihkan kepada lapan MAIN berkenaan pada 2025.
Daripada jumlah itu, Majlis Ugama Islam Sabah menerima RM569,718.30, diikuti Majlis Agama Islam Negeri Johor (RM225,639.25), Majlis Agama Islam Negeri Kedah (RM116,269.55), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (RM84,583.25), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM78,997.25), Majlis Agama Islam Melaka (RM38,711.55), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (RM20,832.55) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (RM18,189.65).