Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,766
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,766
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Pengambilan Pekerja Guna AI: Majikan Perlu Perkukuh Verifikasi, Pengawasan Manusia - MEF
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussein Syed Husman
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa majikan memperkukuh proses verifikasi dan mengekalkan pengawasan manusia dalam pengambilan pekerja ketika kecerdasan buatan (AI) semakin pesat mengubah amalan pengambilan pekerja.
Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussein Syed Husman berkata kaedah pengambilan pekerja yang menggunakan AI telah meningkatkan kecekapan proses pengambilan pekerja dengan ketara menerusi keupayaan menapis permohonan kerja dengan lebih pantas, mengenal pasti calon yang sesuai dengan lebih berkesan serta mengurangkan beban kerja pentadbiran.
Beliau berkata bagaimanapun penggunaan AI yang semakin meluas dalam kalangan pencari kerja telah mewujudkan cabaran baharu yang boleh menjejaskan integriti proses pengambilan pekerja sekiranya tidak ditangani dengan teliti.
Antara kebimbangan utama, katanya, ialah peningkatan penggunaan resume, surat iringan dan bahan permohonan lain yang dijana oleh AI yang mungkin membesar-besarkan atau menggambarkan secara tidak tepat kelayakan, kemahiran dan pengalaman kerja seseorang calon.
“Walaupun pemohon sentiasa berusaha menampilkan diri mereka dalam cara yang terbaik, AI generatif kini membolehkan permohonan kerja yang sangat kemas dan meyakinkan dihasilkan dengan pantas, sekali gus menyukarkan majikan menilai keupayaan sebenar seseorang calon,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Syed Hussein mengulas laporan Bernama baru-baru ini, memetik Indeks Risiko Saringan Latar Belakang Kebangsaan (NBSRI) yang mendedahkan 15 peratus calon pekerjaan yang disaring mempunyai sekurang-kurangnya satu percanggahan dalam rekod mereka, termasuk sejarah pekerjaan tidak tepat, kelayakan palsu dan isu berkaitan identiti.
Indeks yang disusun pakar saringan latar belakang Venovox Sdn Bhd berdasarkan kira-kira 300,000 titik data saringan yang merangkumi 20 industri, mendapati percanggahan yang dikenal pasti termasuk sejarah pekerjaan yang tidak tepat, kelayakan palsu, isu berkaitan identiti, ketidakteraturan kewangan dan kebimbangan berkaitan reputasi.
Syed Hussein turut menekankan kemunculan teknologi deepfake dan manipulasi identiti digital sebagai ancaman yang semakin meningkat, khususnya apabila pengambilan pekerja secara jarak jauh dan hibrid semakin menjadi kebiasaan.