BTC USD 92,069.7 Gold USD 3,335.70
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pengalaman Seram/Mistik Pemandu Lori

lempeng

Fun Poster
Messages
338
Joined
Dec 16, 2005
Messages
338
Reaction score
76
Points
20

Memang aku baru nak berforum balik. Tapi dalam jangkamasa yang amat singkat aku dah tau...aku dah tau segelintir orang2 yg masuk baca kat forum ni niat dan hati dia buruk...korang just masuk sini sebab nak ambik idea cerita, gaya bahasa lepas tu instead of sumbang apa2 kat dalam forum ni korang cedok/create, letak cerita kat tempat korang kan... contoh macamm...fiksyen shasha kan...tu baru satu aku sebut..

Mula-mula bau hanyir, kemudian 'benda' mencakar atas bumbung lori



1742349681710.png



Chukai: "Saya nak cerita pun meremang bulu roma kerana masih ingat kisah itu sampai ke hari ini," kata pemandu lori, Mohd Afiq Adnan ketika menceritakan pengalaman diganggu makhluk halus sewaktu memandu seorang diri baru-baru ini.


Kisah itu mendapat perhatian hingga meraih 1.6 juta tontonan selepas Mohd Afiq berkongsi pengalaman menerusi satu video dimuat naik di TikTok baru-baru ini.


Mohd Afiq, 32, berkata, kejadian berlaku pada 9 Oktober lalu di satu kawasan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, di sini.


Ketika itu, Mohd Afiq dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu, Terengganu ke Temerloh, Pahang.
1742350033780.png

"Lori dipandu saya sudah meragam sejak di Kuala Terengganu lagi iaitu selepas diisi dengan muatan.

"Saya sudah hubungi 'tauke' (majikan) dan maklumkan keadaan lori dan dia minta saya meneruskan perjalanan.

"Jadi saya pun pandu dengan perlahan, sebelum sampai ke persimpangan Chukai, saya berhenti kerana kebetulan ada ruang parkir tetapi tak matikan enjin," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tidak lama selepas itu, Mohd Afiq didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal Honda EX5.

Katanya, lelaki itu datang dengan tiba-tiba dari arah belakang, bertubuh kurus dan berusia dalam lingkungan 40 hingga 50-an.

"Mulanya dia agak ramah dan tanya macam-macam soalan seperti sudah berapa lama jadi pemandu lori tetapi gayanya macam tahu mengenai saya.

"Tapi saya layankan saja pak cik itu borak sampai dia beritahu di kawasan berkenaan pernah ada kes orang meninggal dunia dan tanya saya tak takut ke?

"Saya pun jawab saya tak takut kerana pandai juga berubat orang dan ketika itu, wajahnya berubah jadi macam nak marah. Pak cik itu kemudian terus hidupkan enjin motosikal dan berlalu pergi tanpa cakap apa-apa," katanya.

Melihat lelaki itu pergi, Mohd Afiq terus naik ke atas lori yang belum dimatikan enjin dan mengekori dari belakang.


1742350496010.png



"Saya pandu perlahan saja dan dalam satu minit kemudian, lampu motosikal pak cik itu tiba-tiba tiada dan hilang begitu saja.

"Memang pelik kerana laluan itu adalah jalan lurus, tak masuk akal juga macam mana dia boleh hilang dan ketika sampai di (laluan) R&R Perasing, datang bau hanyir pula.

"Mulut saya pula laju saja 'menegur' kerana tak senang dengan bau itu. Tak sampai berapa saat, ada bunyi 'benda' mencakar dari atas bumbung lori.

"Lama juga saya dengar bunyi cakaran itu dan sampai di hentian Kuantan, saya berasa ada 'benda' pegang serta tarik kerusi yang saya duduk tapi saya teruskan perjalanan sampai ke destinasi dituju," katanya.

Mohd Afiq berkata, itu pengalaman seram pertama yang dilaluinya sejak menjadi pemandu lori hampir enam bulan lalu.

"Sebelum ini, saya sudah biasa melalui jalan Kuala Terengganu ke Temerloh, boleh dikatakan tujuh ke lapan kali dalam seminggu.

"Bagaimanapun, tak pernah kena gangguan tetapi mungkin 'giliran' saya kena malam itu.

"Saya tak serik dan anggap itu ujian yang tak akan mematahkan semangat kerana yakin ia adalah lumrah perlu dilalui pemandu lori dalam mencari rezeki," katanya yang sekadar berkongsi pengalaman dan tidak kisah sama ada mereka mendengar mempercayainya atau sebaliknya.





:::::::::::::::::::::::::::::sumber: harian metro
 
Last edited:
Sponsored Post

Kisah Pemandu Treler




Assalammualaikum...



Saya Pak Su, berasal dari Sungai Petani, Kedah Malaysia. Kisah seram saya ini terjadi awal tahun ini dan kejadian kedua baru berlaku dua bulan lepas. Saya bekerja sebagai pemandu Treler Kontena di dalam pelabuhan kontena di utara tanah air Malaysia ini. Saya bekerja syif 12 jam, 5 hari siang dan 5 hari malam. Kami diberi amanah untuk mengambil tong kontena yang berisi dari gerabak keretapi dan hantar ke blok yang diaturkan dalam sistem.



Kejadian pertama jadi dalam pukul 3.30 pagi. Ketika itu saya dan rakan-rakan baru selesai menghabiskan kerja. Jadi masing-masing mengambil tempat untuk lelapkan mata sekejap sementara nak tunggu gerabak keretapi seterusnya masuk pula. Ada yang baring tepi blok kontena kosong, ada yang baring di depan ofis, dan saya seperti biasa di tempat kegemaran saya, di tepi landasan keretapi.



Untuk gambaran jelas, saya cuba perincikan lokasi saya berehat. Di sebelah kiri saya kawasan lapang yang diletakkan kontena-kontena untuk kastam buat pemeriksaan, kiranya di situ saya dan pemandu kren pengangkut kontena saja yang ada, tapi masing-masing dalam jarak 10 hingga 25 meter, dan dia berada nun jauh di atas kren dan saya di bawah. Kalau nak jumpa orang lain di persekitaran hanya di kantin yang terletak kira-kira 200 meter jauhnya. Betul-betul di sebelah kanan saya merupakan landasan keretapi, dan di sebelah kanan landasan pula lebuhraya.


1742350875751.png


Kawasan saya berehat itu memang cerah dengan cahaya lampu yang datang dari tiang-tiang lampu di lebuhraya. Lebuhraya itu dah macam litar lumba pada malam minggu, penuh dengan Mat Rempit yang berlumba haram. Rasanya dah berpuluh kes kemalangan maut yang membabitkan Mat Rempit ni, tapi masih tak serik juga mereka ni. Baru-baru ni pun ada kes Mat Rempit maut kerana melanggar belakang kereta. Kejadian ini berlaku ketika saya terlelap sekejap dalam 15 minit, buka saja mata orang dah berkumpul ramai di tepi lebuhraya itu. Mangsa meninggal di tempat kejadian. Tempat saya rehat ni memang ada terletak papan tanda yang menyatakan bahawa kawasan ini "KAWASAN KEMALANGAN MAUT".



Malam kejadian merupakan malam minggu, awalnya memang ramai Mat-Mat Rempit berlumba, tapi selepas pukul 3 pagi dah lengang lebuhraya tersebut. Malam itu saya tak tidur sebab mata rasa segar semacam, sedikit pun tak rasa mengantuk. Ketika berehat, saya mendengar lagu di telefon bimbit dan hisap rokok saja sambil tengok ke arah lebuhraya. Dari jauh saya ternampak ada seorang pemuda menaiki motor jenis Honda EX5. Kawasan lebuhraya itu cerah, nampak dari jauh agak perlahan dia membawa motornya, memang nampak macam berat sangat.



Ya Allah! Bila dia lalu di depan saya yang jaraknya saya anggarkan dalam 20 meter, jelas kelihatan susuk makhluk hitam sedang bertenggek di tempat duduk belakang motor itu. Saya terus beristighfar dan berdiri semua bulu roma saya. Apalah nasib pemuda itu, bawa balik ke rumah agaknya hehehehe. Saya rasa pemuda itu baru pulang dari bekerja. Allahu kesiannya...



Kejadian kedua terjadi dua bulan lepas, sekitar pukul 3 ke 4 pagi. Keadaan dalam blok waktu-waktu seperti ini memang lengang, adalah satu dua blok yang meriah sikit dengan geng kapal ambil kontena untuk hantar ke kapal. Blok lainnya lengang, gelap sebab terlindung dengan kontena-kontena yang disusun tinggi. Sesetengah tempat sahaja terang sebab dekat dengan tiang lampu lebuhraya.


1742351144513.png


Sedang saya memandu untuk hantar kontena dalam salah satu blok, antara keadaan gelap dan ada cahaya sedikit, tiba-tiba benda itu muncul betul-betul di depan cermin depan lori saya. Kelihatan makhluk yang hitam berdiri tegak. Mengucap panjang saya! Macam biasa berdiri habis segala bulu roma badan saya, meremang tengkuk dibuatnya. Tekan brek secara mengejut tapi biasalah brek lori bukannya boleh berhenti dengan serta-merta. Saya rempuh jugalah lembaga itu. "Mati" sekali lagi lembaga itu kesian...😅



Habis syif malam pada minggu itu, semasa berada di rumah bila tidur saja sekejap-sekejap saya terjaga, tak dapat tidur dengan nyenyak. Seminggu lamanya saya mengalami seperti itu, sampailah saya berjumpa pakar yang dapat mengubati saya dan membuatkan air penawar menerusi bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an. Alhamdulillah selepas itu bukan saja saya dapat tidur dengan nyenyak, malah terlebih tidur!



Sekian cerita yang tak berapa nak seram dari saya. Terima kasih kerana mengutarakan cerita saya ni. Assalammu'alaikum. Selamat MALAM SERAMMMM...



:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::sumber: malamseram
 

Pukul 4 pagi abang lori buka tali kanvas, kelibat kelindan sahut terus lesap... Sangka kencing dalam semak, puas disuluh tak jumpa



1742351298742.jpeg



MENCARI rezeki sebagai pemandu kenderaan berat memerlukan jiwa yang kental.


Tidak semua mampu bertahan untuk menempuh perjalanan jauh tanpa mengira siang dan malam.


Bagi seorang pemuda, gangguan mistik merupakan antara cabaran yang dihadapinya sepanjang bergelar pemandu lori.


Menerusi satu perkongsian video, pemuda yang lebih dikenali sebagai Abang Lori di TikTok menceritakan tentang pengalamannya bertugas bersama kelindannya (pembantu) pada awal pagi.


"Masa tu kira-kira pukul 4 pagi. Saya turun dari lori melalui pintu pemandu, dia (kelindan) pula turun dari pintu sebelah penumpang. Kami turun untuk buka tali kanvas yang menutupi ruang penyimpanan kami.


"Saya buka tali kanvas di sebelah kanan lori manakala kelindan saya buka tali kanvas di sebelah kiri. Apabila saya dah sampai di bahagian belakang lori, saya nampak bayang-bayang kelindan saya.


1742351403133.jpeg


"Saya pesan kalau dah siap buka semua tali kanvas, naik atas treler dan lipat kanvas tu. Dia jawab 'aaa' je. Bila dengar jawab macam tu, saya pun ke bahagian kiri lori nak tengok kelindan saya.


"Bila saya periksa, rupanya satu tali kanvas pun dia tak buka lagi. Saya dah pelik waktu tu, mana hilangnya budak ni?" katanya.


Cuba bersangka baik, dia mengganggap kelindan lori berkenaan pergi ke semak berhampiran untuk membuang air kecil.


"Saya pun tolong bukakan tali kanvas di sebelah kiri treler. Dah selesai semua, saya pergi cari kelindan saya. Saya halakan lampu suluh ke semak kot tengah buang air kecil atau besar dekat situ.


"Saya duduk tercari-cari tapi tak jumpa juga. Saya pun malas fikir panjang dan naik semula ke atas lori. Apabila saya buka je pintu lori, rupanya kelindan saya tu tengah tidur, sedap je dia berselimut.


"Saya tanya dia, tidur dah ke? Dia cakap tidur dah. Saya pun tertanya-tanya dalam hati ni, bayang-bayang siapa yang saya nampak dekat belakang lori tadi, siap menyahut lagi saya panggil," soalnya.


Abang Lori bagaimanapun cuba untuk kekal tenang dan tidak menceritakan mengenai kejadian misteri yang dialaminya.


"Saya cakap dekat dia jom bangun lipat kanvas. Sampai sekarang misteri saya tu tak terjawab. Tak seram mana tapi memang pelik," kata lelaki itu.


Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengakui bekerja sebagai pemandu lori sememangnya bukan mudah.


"Siapa yang jadi pemandu lori je tahu betapa banyak aktiviti paranormal kami kena hadap.


"Saya pernah bawa lori ke Pulau Pinang, singgah dekat Bukit Gerik, Perak nak tidur, sekali pontianak datang intai betul depan cermin," komen warga maya.


:::::::::::::::::::::::::::sumber: mstar
 
1742352316719.jpeg


Gangguan Mistik di Jalan Parit-Manong




Nama saya Azizi dan saya ni merupakan seorang pemandu lori. Hari ni saya nak kongsikan satu kisah seram yang terjadi kepada kawan saya. Dia juga seorang pemandu lori.

Kebiasaannya, kebanyakan pemandu lori ini akan menggunakan jalan kampung untuk menuju ke destinasi mereka.

Bukan kami tak gunakan lebuhraya, tapi ada kawasan kawasan tertentu, kami akan guna jalan kampung kerana lebih menjimatkan masa.

Macam kawan saya ni, pada hari kejadian seram berlaku, dia dari Klang dan mahu menghantar barang ke Penang.

Dia telah menggunakan jalan kampung melalui Sabak Bernam, Tanjung Karang, Teluk Intan, Parit, sebelum masuk semula ke dalam lebuhraya di Changkat Jering.

Pengalaman seram kawan saya ni berlaku semasa dia melalui jalan Parit-Manong.

Masa dia lalu jalan tu, waktu sudahpun malam. Tapi bukanlah tengah malam. Perut kawan saya dah lapar dan kebetulan masa lalu jalan tu, dia nampak ada beberapa gerai makan di tepi jalan.

Jadi, dia pun berhentilah sekejap untuk membeli makanan.

Sebaik sahaja dia turun, dia tengok di gerai tu ada macam macam makanan. Ada kuih muih dan makanan bergoreng.

Selepas beberapa ketika melihat semua makanan yang ada, dia pun belilah dua bungkus mee goreng. Dia bagi RM50 dan tuan gerai itu menyerahkan semula baki RM46 kepadanya dan dia terus masukkan ke dalam kocek seluar.

Selesai membeli, dia pun kembali ke lori. Semasa di dalam lori, sebelum meneruskan perjalanan, dia pun makanlah dulu sebungkus mee goreng.

Dah habis makan, dia pun sambunglah perjalanan ke Changkat Jering untuk memasuki lebuhraya.

Apabila sampai di Changkat Jering, sebelum masuk ke lebuhraya, dia singgah sekejap di sebuah stesen minyak untuk membuang air kecil.

Tapi, sebelum nak keluar dari lori, sebelum nak ke tandas, kawan saya ni nak simpan duit baki beli mee goreng tadi ke dalam dompet. Jadi, dia pun seluk tangan ke dalam kocek seluar untuk ambil duit.

Masa dia masukkan tangan di dalam kocek, dia dah mula rasa pelik. Macam ada benda lain dalam poket seluarnya. Bukan duit kertas. Ada sesuatu yang lain.

Jadi, dia pun tarik benda dalam poketnya dan alangkah terperanjatnya dia sebab apa yang dia pegang ialah 4 keping daun kering!

Duit kertas yang dia dapat tadi, tiba tiba dah bertukar menjadi daun kering!

Masa tu, bulu roma dia meremang!

Dia dah mula rasa tak sedap hati. Dia tengok satu lagi bungkusan mee goreng yang dibeli tadi yang masih belum dimakan.

Perlahan lahan dia capai bungkusan mee goreng tu dan kemudian, dia pun membuka bungkusan mee goreng tu.

Sekali lagi kawan saya terkejut sebab di dalam bungkusan tu ada tanah liat yang bercampur dengan cacing dan ulat.

Kawan saya serta merta jadi loya memandangkan dia dah makan bungkusan yang pertama. Dia tahu, mee yang dia makan tadi, pastinya dan sebenarnya bukanlah mee goreng!

Kawan saya terus keluar dari lori dan buang bungkusan mee gorengnya dan kemudian berlari ke toilet dan muntah.

Dia memang rasa geli yang teramat sangat!

Mujurlah kawan saya tak ada apa apa selepas itu dan meneruskan perjalanan ke Penang walaupun dia tertanya tanya sendirian, macam mana mee goreng tu boleh berubah jadi tanah liat bercampur dengan cacing dan ulat.

Sehari selepas selesai urusan kawan saya di Penang, dia lalu semula jalan Parit-Manong tu dan mahu memeriksa tempat dia berhenti membeli makanan di gerai itu. Masa dia lalu tu, waktu tu dalam 2 atau 3 petang, lebih kurang.

Apabila dia sampai di situ, dia rasa terkejut dengan apa yang dia temui.

Tempat gerai yang dia singgah beli makanan tu sebenarnya adalah tanah perkuburan!

Bulu roma kawan saya meremang apabila melihat kawasan tersebut.

Apabila dia bergerak ke depan sedikit, dia singgah di sebuah kedai makan. Di dalam kedai makan tu, dia bertanya pada salah seorang penduduk kampung di situ tentang gerai di kawasan tanah perkuburan itu.

Menurut penduduk kampung itu, kawasan tu sebenarnya memang kawasan makhluk halus berkampung. Bukan kawan saya saja yang pernah terkena, dah banyak dah orang yang beli makanan kat gerai tu.

Bila buka bungkusan makanan yang dibeli, tengok tengok, di dalamnya ada tanah, cacing dan ulat!

Penduduk kampung tu berpesan, kalau lalu kat jalan Parit-Manong ni, lebih lebih lagi waktu malam, memang kena hati hati. Jangan berhenti di sebarangan gerai. Takut-takut tersinggah gerai makan milik makhluk halus.

Sejak hari itu, bila kawan saya lalu di kawasan tersebut pada waktu malam, dia memang tak berhenti dan meneruskan saja perjalanan ke Changkat Jering.

Cukuplah sekali dia makan benda dari gerai makhluk halus ni!


Komen 1
Dulu selalu balik kerja lalu dari lumut ke ipoh mlm2. Bukak tingkap sbb suka angin mlm yg sejuk. Sekali tu rasa mcm rambut dok kena muka. Tolak2 tp still dok kena muka. Sekali tgk atas nampak cik P terbang ikut kereta. Lepas tu dh xberani lalu situ bukak tingkap lagi dah.


Komen 2
Aku pn penah kena kacau dkt simpang 3 manong tu...blik dari ipoh dgn member dlm pukul 11.00 mlm...tgah drive boring nk on radio bkak tingkap nk ejas dia pnya antena...tgah dk setting tau2 hujung jari kena gengam dgn tangan mengerutu ap xtaw..nasib tk trbbs..10mint jgk kejung dlm keta takot..haha..


Komen 3
Laluan nak ke Trong, Beruas sampai ke Teluk Intan, masuk Hutan Melintang -Tjg. Karang tu...meeeeemang banyak pitstop angker. Waspada lah tak kira siang atau malam. Jgn terpedaya.
Sesiapa yg hijab terbuka, pasti dpt lihat 'co-pilot' menumpang duk sebelah.



::::::::::::::::::::::::sumber: facebook arkibangkernegara
 
Dugaan si Pemandu Lori


1742353349666.png



Aku bekerja sebagai pemandu lori dan kadang-kadang aku akan ‘outstation’ ke negeri-negeri lain. Aku dah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Suatu hari, aku ditugaskan untuk menghantar barang-barang ke Rantau Panjang, Kelantan. Aku agak teruja kerana belum pernah sampai ke sana. Makanan orang kelantan mesti sedap-sedap belaka kan.



Aku kena bertolak malam supaya sampai awal pagi di sana. Isteri dan anak peneman setia jikalau aku ‘outstation’. Kami akan bersembang dan bergurau senda satu sama lain untuk mengelakkan mengantuk. Tapi kali ini anak aku ditinggalkan bersama adik ipar kerana perjalanan ke Kelantan agak jauh. Lebih baik dia bermain bersama sepupu sepapat. Lebih menyeronokkan.



Kami bertolak dalam pukul 9 malam, dengan lafaz bismillah, aku memandu lori menuju ke sana. Sepanjang perjalanan berjalan lancar. Kami menggunakan aplikasi waze sebagai petunjuk arah. Sampai sahaja di Gua Musang, waze menunjukkan arah untuk menuju ke ke jalan jelawang-gua musang. Jalan yang makin lama makin gelap dan sunyi membuatkan kami terdiam.



Tidak ada banyak kenderaan yang lalu lalang di jalan tersebut dan secara tiba-tiba sebuah kereta pacuan empat roda Ford Ranger bewarna biru memotong kami secara laju. Aku terkejut dan segera bertanya pada isteriku jika dia nampak apa yang aku nampak.



Dia nampak kereta tersebut tapi dia tidak nampak apa yang ‘menumpang’. Dia menjeling dan menunjukkan isyarat diam. Jangan tegur katanya. Aku faham dia takut. Aku meneruskan pemanduan dan tibalah kami di jambatan Pulau Stelu atau orang selalu panggil jambatan putus.



Si isteri terkejut dengan keadaan jambatan yang mengerikan, sangat hampir dengan sungai, tiada penghadang kiri kanan dan tidak tahu sama ada lori boleh melintas atau tidak. Dia mengajak aku berpatah balik tapi aku yakin lori aku boleh melalui jambatan tersebut.



“Takpe yang, kita jalan je pelan-pelan, tak boleh nak patah balik, jalan sempit” aku cuba menenangkan dia.



Dia mengangguk tanda faham. Tayar lori aku mula berputar perlahan di atas jambatan besi, kelihatan arus deras sungai membuatkan kami bertambah berdebar. Tiba-tiba separuh perjalanan, terdengar bunyi besi berlaga, isteriku mengucap panjang, tidak cuba panik dan aku menekan lagi pedal minyak dan akhirnya kami berjaya melintasi jambatan tersebut.



Belum sempat kami menarik nafas lega, tiba-tiba lori aku terasa berat yang amat sangat. Aku cuba mengawal agar tidak mati enjin. Aku melihat isteriku, dia juga mula perasan, dia memejam mata sambil membaca surah-surah yang dia tahu. Aku masih cuba mengawal lori, aku fikir kalau lori ni m**i enjin, mungkin smapai pagi kami di tempat seram ini.



Lori dah boleh dikawal, sedikit ringan berbanding tadi, aku menekan pedal minyak dan dalam 500 meter, aku terjumpa semula kereta Ford Ranger yang memotong aku tadi. Terlihat dua orang perempuan melambai-lambai dari dalam kereta dengan menggunakan lampu telefon di tangan.



1742359822617.png


Isteriku kasihan dan ingin menghulurkan bantuan, aku juga mahu tolong, tapi ‘benda yang menumpang’ yang aku nampak awal tadi masih ada lagi, duduk atas bonet kereta belakang. Aku turun, tapi teragak-agak, kaki aku bagaikan terkunci, ‘benda’ tu hanya menundukkan kepala ke bawah dengan rambutnya yang panjang mengurai. Kemudian tuan punya kereta, aku gelarkan Mr. F, keluar dari kereta, datang kepada aku, kami bersalaman.


“Assalamualaikum bang, tolong, kereta kami tiba-tiba rosak”

“Waalaikumsalam bang, rosak apa?”

“entahlah, tiba-tiba tak boleh masuk gear, tapi enjin hidup lagi”

“Mmmm…nak tanya, abang nampak tak apa ada kat belakang bonet abang tu?”

“Tak nampak apa-apa pun? ada apa bang?”

“Takpe…takpe…abang masuk balik dalam kereta, baca ayat kursi dengan beberapa surah, nanti saya datang”


Mr. F dalam keadaan terpinga-pinga pergi masuk ke kereta dan aku memandang isteriku. Aku beritahu yang ‘benda’ tu masih ada. Dia mengecilkan mata dan memerhati tapi tak nampak apa-apa. Tak lama selepas itu, barulah ‘benda tu menghilang’. Aku pergi ke Mr. F, dan memeriksa gearnya. betul dah tak berfungsi lagi. Dia mengambil tali dari bonet dan meminta aku menarik keretanya tapi aku menolak kerana tali tersebut tidak cukup kuat.



Aku geledah lori dan Alhamdulillah ada tali yang kuat dan lebar boleh digunakan untuk menarik kereta, kalau tidak, mungkin mereka semua terpaksa bermalam di situ sehingga pagi. Aku pun memulakan perjalanan dengan lafaz bismillah, aku tahu malam ini akan jadi malam yang panjang. sebaik sahaja lori aku mula berjalan, lori aku terasa berat sekali, bagaikan menarik sebuah lagi lori tapi aku gagahkan juga. Aku lihat ada rumah di kiri kanan jalan tapi tiada seorang manusia pun di luar. Mungkin mereka tidur awal. Jalan menjadi semakin gelap, kami semakin mengantuk tapi kami tidak boleh tidur dalam keadaan begini, pasti ada lagi ujian-ujian yang mendatangi.



Oleh kerana tali yang digunakan tidak berapa panjang, demi keselamatan, setiap kali turun bukit, aku akan beritahu Mr. F untuk meluncur turun dengan harapan kereta beliau kembali pulih seperti biasa. tapi tidak, memang rosak habis, mujur enjin masih boleh hidup. entah kali yang keberapa, selepas aku menolak Mr. F turun bukit, betul-betul selepas aku tutup pintu lori, ada sebiji batu kecil yang keluar dari kanan jalan bergolek ke kiri jalan dan hilang.



Aku dan isteri memandang antara satu sama lain. Kiri dan kanan jalan tiada rumah, hanya hutan dan kabus semata-mata, tak mungkin manusia kerana waktu itu jam menunjukkan pukul 3 pagi. Aku dah bertanya dengan kawanku yang arif dalam hal-hal begini, dia kata itu mungkin pocong tapi belum menjelma sepenuhnya. Tak dapat nak bayangkan apa jadi kalau dia menjelma.



Aku teruskan perjalanan, muka isteri jadi pucat, mungkin ini pengalaman pertama dia lalui benda-benda begini. maaf si isteri, tak sangka perjalanan kita jadi begini. Aku teruskan perjalanan selepas mengikat semula kereta Mr. F ke lori. Perjalanan jadi lama dan aku menjadi bosan, aku membuka tingkap untuk hirup udara malam sambil menghisap rokok, tapi tiba-tiba ada jelmaan langsuir lalu di tepi lori. ‘benda ‘ itu tidak memandang aku tapi dia terbang seiringan dengan lori. Aku cepat-cepat menutup tingkap dan mengarahkan isteri aku pandang ke depan. Dia faham dan menuruti sahaja.



Kami melalui beberapa jambatan kecil dan aku tak pasti jambatan mana, aku ternampak beberapa orang remaja lepak-lepak di tepi jambatan, muka mereka semua kehairanan memandang kami. Tapi aku pasti mereka manusia kerana selepas itu lori aku jadi ringan seringan ringannya. Aku tak perlu membuka ikatan kereta Mr. F dan kami teruskan perjalanan ke Bandar Jeli, talian telefon juga sudah ada. Mr. F sudah menelefon saudara mara dan meminta kami menghantar mereka ke stesen minyak Shell Bandar Jeli.



Keluar sahaja dari situ, kami terus menuju ke stesen minyak dan ramai saudara mara Mr. F telah menunggu. Mereka amat risau kerana langsung tidak dapat menghubungi mereka sejak malam tadi. Salah seorang saudara Mr. F memberitahu bahawa tempat yang kami lalu memang keras dan dia telah berpesan pada Mr. F agar mengikut jalan alternatif lain tapi oleh kerana Mr. F juga gunakan waze, maka dia juga melalui jalan tersebut.



Aku sempat bertanya jika mereka ada melalui apa-apa pengalaman, mereka berkata sebelum jambatan, mereka bertemu dengan seorang pakcik tua menunggang motor dan bertanya tentang arah jalan. Tapi kami suami isteri tidak nampak pun pakcik yang dikatakan. Mereka semua terdiam. Mr. F juga berkata isterinya tiba-tiba muntah di tepi jalan, dan mungkin itulah penyebabnya. Aku tidak pasti kerana aku tidak begitu arif dalam hal-hal begini.



Mereka mengucapkan terima kasih dan memberi kami makanan dan minuman. Aku lega kerana berjaya keluar dari situ dalam pukul 5 pagi, kami sempat tidur beberapa jam sahaja sebelum menyambung semula perjalanan ke Rantau Panjang. Petugas di stesen minyak tersebut juga memberitahu bahawa jarang ada kenderaan yang keluar dari situ terutamanya pada waktu malam.


Aku jadikan ini sebagai pengalaman yang sangat bernilai dan tak boleh dilupakan. Alhamdulillah, jambatan putus dah digantikan dengan jambatan baru yang lebih tinggi dan kukuh. Sepanjang perjalanan, kami tak putus-putus berdoa, membaca surah-surah al quran agar perjalanan kami selamat.



Terima kasih pada yang sudi membaca. Maaf jika jalan cerita agak sedikit membosankan. Sekadar berkongsi secebis pegalaman seram untuk bacaan semua. Assalamualaikum.



::::::::::::::::::::::sumber: fiksyenshasha
 
Last edited:


1742354753570.png



Penumpang Tanpa Izin


Kisah kali ni adalah pangalaman dari salah seorang rakan adik iparku..aku pun sebenarnya cukup takot nak taip ni tapi aku nak juga berkongsi cerita ini dengan korang..kawan adik ipar aku ni namanya saiful dan ceritanya bermula apabila...


Saiful adalah seorang pemandu lori.ala lori yang besar-besar macam lori kontena tu (tak tau ejaan aku betul tak)..hari kejadian tu dia ditugaskan untuk menghantar muatan itu ke melaka..malam tu dia bergerak dari tempat kerjanya pada pukol 10 malam, bukan apa dia tak nak terlambat menghantar barang-barang itu kerana mengikut kata managernya barangan ini urgent dan harus sampai sebelum subuh.. Jadi saiful ni pun memandu lorinya itu dengan cermat..


Dia memandu seorang diri kerana kawannya tidak dapat mengikutnya kerana terpaksa mengambil MC kerana demam yang agak teruk. Malam tu adalah malam jumaat..sebelum tu kawannya ada berpesan kepada saiful supaya jangan pernah berhenti jika ada sesiapa yang menahan lorinya bila tiba di pagoh, jalan terus sahaja..tetapi saiful tidak menghiraukan pesanan rakannya itu kerana baginya itu semua itu tahyul dan tak patut di percayai..


Dia pun memandu tanpa berfikir apa-apa. Yang pasti dia hanya ingin cepat ke destinasi yang ingin ditujuinya..saiful hanya memasang radio di lorinya dengan suara yang perlahan untuk menahan matanya dari mengantuk..bekalan makanan dan minuman yang disediakan oleh isterinya masih tidak diusik..die menjeling jam ditangan.." Ah, baru pukul 11.30 rupenya", keluhnya sendirian..saiful meneruskan perjalanannya dan sampai sahaja di pagoh...


Dalam samar-samar dia melihat kelibat 3 orang yang berada di tengah-tengah jalan..dia memerlahankan pemanduannya dan diamatinya kelibat itu adalah seorang wanita pertengahan umur, seorang budak perempuan berusia sekitar 13 tahun dan seorang budak lelaki mungkin berumur 5 tahun..saiful terus teringat akan pesanan rakannya pagi tadi. Dia meneruskan pemanduannya dan tidak menoleh ke arah mereka yang menahan lorinya itu. Lepas je dari tempat di mana lorinya ditahan, dia memandang side mirror orang-orang tadi sudah tiada di situ dan alangkah terkejutnya dia apabila ketiga-tiga mereka berada bersebelahan dengannya!


Dia terkejut lantas tidak dapat mengawal pemanduannya dan terus terbabas dan mengami kemalangan kerana panik dan tidak dapat mengawal lorinya itu..selepas sebulan kejadiaan itu barulah saiful menceritakan pengalaman itu kepada adik ipar aku..tetapi selepas kejadian itu dia tidak berani untuk melalui kawasan itu lagi kerana ini bukan mitos tetapi ini adalah kisah benar yang selalu berlaku kepada pemandu lori yang membuat perjalanan pada waktu malam..dia agak menyesal kerana tidak mempedulikan nasihat rakannya itu dan ingat lah..setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya dan hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahui segala kejadian dan kejadian yang berlaku hanya dengan izin-NYA sahaja.



::::::::::::::::::::::::sumber: facebook pemandukenderaanmalaysia

 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register