lempeng
Fun Poster
- Messages
- 895
- Joined
- Dec 16, 2005
- Messages
- 895
- Reaction score
- 145
- Points
- 23
Penumpang Misterius Atas Bumbung Lori (Pemandu Lori Kurier)
Kerja bawak lori kurier 3 tan untuk penghantaran laluan jauh ni kerap kali dibuat secara solo. Maklumlah, syarikat nak jimat kos operasi katanya. Demi nak kejar Cut-Off Time (COT) kat hab pengedaran, driver terpaksa bersengkang mata meredah perjalanan malam buta atau awal pagi. Laluan macam Simpang Pulai ke Cameron Highlands atau Lojing memang selalu jadi pilihan sebab jimat masa dan kurang kenderaan. Tapi risikonya - jalan ni gelap-gelita, berkabus tebal, bergaung, dan berpuluh kilometer takde lampu jalan.
Pengalaman Misterius Adi...
Jam menunjukkan pukul 2:15 pagi. Hujan renyai-renyai membasahi cermin depan lori kanvas 3 tan yang dipandu Adi. Dia berseorangan, bawak lori kosong lepas drop barang kat Gua Musang. Radio yang terpasang mula berdesing hilang isyarat bila masuk kawasan bukit bergaung kat laluan Lojing tu.
Adi memandu tenang, layan selekoh. Enjin lori menderu lancar sebab lori ringan takde muatan. Tengah sedap mendaki satu selekoh panjang, tiba-tiba...
‘GEDEBUMMM!’
Satu bunyi dentuman yang sangat kuat menghentam atas bumbung kotak lori. Spring lori tiga tan tu terus mendap mengejut, badan lori bergoyang kuat macam dihempap benda yang sangat besar dan berat. Bunyi zink dan fiberglass bumbung bergegar kuat menahan beban.
Dalam sekelip mata, lori yang tengah sedap memanjat bukit tu tiba-tiba hilang kuasa dan jadi slow gila. Enjin menderu dan mengaum kuat, tapi lori tu seolah-olah ditarik ke belakang. Adi terpaksa turunkan gear berperingkat sampai ke gear 2, semata-mata nak pastikan enjin tak mati. Berat lori masa tu rasa macam tengah bawak muatan seberat 5 tan!
Hati Adi dah mula berdebar-debar panik. Dia pegang stereng kuat-kuat.
“Allahuakbar… ni ada benda naik menumpang atas lori la ni...” getus hati kecilnya.
Bila Adi jeling cermin sisi sebelah kiri, jantung dia bagai nak luruh. Dalam samar-samar pantulan lampu brek merah kat belakang, dia nampak ada benda besar berbulu lebat hitam tengah bertenggek kat atas bumbung. Sebelah tangan benda tu yang panjang meleret dan berbulu, terjuntai kat tepi badan lori tu.
Masa tu jugaklah, entah dari mana datangnya satu bau busuk yang teramat sangat - meruap dan berlegar dalam kabin lori lalu menerobos masuk dalam lubang hidungnya. Adi tak berani nak toleh ke kiri, apatah lagi nak pandang tingkap.
"Kau nak tumpang, tumpang elok-elok. Jangan kacau aku cari makan," detik hati Adi. Mulutnya terkumat-kamit baca Ayatul Kursi berulang kali sambil kakinya menekan pedal minyak yang terasa sangat berat tu.
Lebih kurang 15 minit Adi bergelut bawak lori yang berat gila tu mendaki bukit dalam gelap, akhirnya berjaya melepasi kawasan puncak bukit dan mula nampak pantulan lampu jalan simpang di depan.
Sebaik saja lori melintasi kawasan yang terang sikit, tiba-tiba lori tu tersentak meluncur laju ke depan. Berat misteri tadi hilang sekelip mata. Enjin lori yang tadinya tersemput-semput terus menderum lancar balik, ringan macam asal. Bau busuk meloyakan dalam lori pun dah beransur-ansur hilang.
Dia teruskan pemanduan sampai jumpa stesen minyak yang terang benderang kat bawah. Bila dia turun dengan lutut lembik dan suluh bumbung atas lori – ada kesan lekuk besar kat tengah-tengah bumbung fiberglass tu, macam baru lepas ditindih benda besar dan berat kat situ.
Profil fizikal dan ciri-ciri benda yang menumpang kat atas bumbung lori dalam cerita seram ni sama dengan Urban legend dan kisah lisan orang asli serta orang-orang lama yang dah biasa masuk hutan, entiti ni dikenali sebagai Orang Mawas atau Hantu Mawas.
- Fizikal Raksasa: Bersaiz gergasi dan seluruh badan diliputi bulu lebat berwarna hitam.
- Lengan Meleret: Tangannya sangat panjang, selalunya digambarkan meleret sampai cecah ke tanah.
- Aura Bau Ekstrem: Ini trademark paling kuat. Bau dia bukan setakat busuk biasa, tapi bau tengik bangkai tahap dewa yang meruap dan boleh buat orang terus rasa meloya dan sesak nafas.
Sebab tulah tak pelik kalau kejadian kat laluan Lojing tu berkait dengan entiti ni, tambahan pulak tempat tu adalah hutan yang sangat tebal dan bersambung-sambung (Banjaran Titiwangsa).
Nota Penting:
Cerita-cerita dalam koleksi ini adalah adaptasi peribadi yang dikumpul dari internet, media sosial dan sebagainya. Ia diolah semula dalam gaya penulisan/naratif aku sendiri.
Kalau rasa cerita ni "macam familiar je" sebab pernah tengok kat tempat lain, mungkin sebab ada yang suka salin, tapi tak pernah faham jiwa.
Dalam dunia konten, idea ibarat nyawa, tapi bila kau salin tanpa rasa, yang tinggal cuma kulit.
-lempeng-