kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Pemburu Haram Negara Jiran Sasar Harimau Malaya
Harimau Malaya (Panthera Tigris) -- Gambar Fail
Sempadan darat di utara tanah air menjadi laluan utama pemburu haram dari luar negara, terutama dari Vietnam untuk menyusup masuk bagi memburu spesies hidupan liar terancam negara ini antaranya Harimau Malaya.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Mohd Zaki Ashar berkata sindiket ini menggunakan “laluan tikus” untuk melepasi sempadan negara sebelum menceroboh hutan-hutan simpan yang dipercayai menjadi habitat hidupan liar yang menjadi sasaran mereka.
"Apabila berjaya masuk, mereka sanggup menetap dan berkhemah di dalam hutan berkenaan dalam tempoh yang panjang, malah boleh melebihi enam bulan.
"Masa yang panjang ini diperlukan untuk mereka mencari kenalan sindiket di Malaysia, mengumpul hasil buruan, dan seterusnya membawa pulang spesies tersebut untuk dipasarkan di negara asal berikutan permintaan yang sangat tinggi di sana," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata spesies haiwan terancam seperti Harimau Malaya yang kini dipercayai hanya tinggal 200 ekor di habitat liar terus menjadi sasaran paling utama pemburu haram dari luar negara kerana nilainya yang amat tinggi di pasaran gelap dengan seekor harimau mampu mencecah harga hingga RM500,000.
Beliau mendedahkan selain Harimau Malaya, pemburu haram juga menyasarkan gajah, tenggiling, rusa, burung enggang, pelbagai spesies burung eksotik, reptilia serta beberapa spesies primat yang dilindungi susulan permintaan tinggi di pasaran gelap.
"Selain haiwan hidup, sindiket turut menyasarkan bahagian atau produk berasaskan hidupan liar seperti gading, sisik tenggiling, taring, kulit dan bahagian lain yang mempunyai nilai pasaran tinggi.
“Setiap spesies mempunyai nilai yang berbeza mengikut permintaan pasaran domestik dan antarabangsa, oleh itu WCB/PSK sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan melalui risikan serta kerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengesan sebarang ancaman terhadap spesies yang dilindungi," katanya.
Loading…
www.bernama.com