Pembuangan sisa di Johor: NEA tegaskan sisa binaan tidak boleh dieksport untuk dilupuskan
Tapak yang dipercayai menjadi lokasi pembuangan sisa secara haram berhampiran Kampung Sungai Senai Belokok di Pontian, Johor. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengeluarkan nasihat kepada kemudahan-kemudahan pelupusan sisa am berlesen yang mengendalikan sisa binaan dan perobohan berhubung syarat-syarat bagi pengurusan sisa, selain menegaskan sekali lagi bahawa sisa tersebut tidak boleh dieksport untuk dilupuskan.
Nasihat itu dikeluarkan di tengah-tengah tuduhan bahawa sisa binaan dan perobohan dari Singapura telah dibuang secara haram di Johor, Malaysia.
IKLAN
Media Malaysia melaporkan pada Selasa (18 Ogos) bahawa Singapura telah menghentikan dengan serta-merta semua eksport sisa binaan dan perobohan ke Malaysia, dengan memetik kenyataan agensi kerajaan Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), bagi cawangan Johor.
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa malam, NEA menyatakan pihaknya sudah menghubungi SWCorp Johor baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sisa binaan dan perobohan yang dilaporkan berasal dari Singapura dan dilupuskan di Pontian, Johor.
"Semasa perbincangan dengan SWCorp, NEA menegaskan bahawa Singapura tidak membenarkan sisa binaan dan perobohan dieksport untuk tujuan pelupusan," menurut NEA.
"Di bawah rangka kerja kawal selia Singapura, sisa binaan dan perobohan mesti diproses dan diasingkan dengan sewajarnya di dalam negara untuk dikitar semula."
Bagaimanapun, "aliran bahan homogen" seperti besi buruk yang diperoleh daripada sisa tersebut dianggap sebagai bahan kitar semula dan boleh dieksport, tertakluk kepada keperluan kawal selia yang relevan, tambah NEA.
IKLAN
Malaysia dan Singapura menyokong Konvensyen Basel, iaitu perjanjian antarabangsa yang mengawal pergerakan sisa berbahaya dan sisa lain rentas sempadan. Ia juga mewajibkan negara-negara memastikan sisa tersebut diurus dan dilupuskan dengan cara yang tidak menjejaskan alam sekitar.
Akhbar Malaysia, New Straits Times (NST), pada Selasa memetik Pengarah SWCorp Johor Zainal Fitri Ahmad sebagai berkata Pengarah Kumpulan Kemampanan dan Sumber NEA, Chan Chin Kai, sudah menghubunginya untuk membincangkan eksport dan pelupusan sisa binaan dan perobohan dari Singapura ke Pontian.
Dalam perbincangan tersebut, SWCorp Johor menegaskan bahawa sebarang eksport sisa ke Malaysia mesti mematuhi sepenuhnya undang-undang sedia ada dan mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada agensi penguatkuasaan tempatan yang relevan, lapor NST.
"NEA memaklumkan kepada kami bahawa penghantaran sisa binaan dan perobohan dari Singapura ke Malaysia akan dihentikan serta-merta, dan semakan lanjut akan dijalankan terhadap pihak-pihak yang terlibat di Singapura," kata Encik Zainal dalam satu kenyataan, menurut laporan NST.
Mediacorp sudah menghubungi SWCorp Johor untuk mendapatkan komen.
IKLAN
NEA pada Selasa menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat dakwaan berlaku pembuangan sisa secara haram, sambil menambah bahawa "belum dapat dipastikan" sama ada mana-mana syarikat Singapura terlibat dalam perbuatan tersebut.
"NEA memandang serius terhadap sebarang pelupusan sisa secara haram kerana ia mencemarkan alam sekitar dan boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan awam," menurut agensi itu kepada Mediacorp.
9 SYARIKAT BERDAFTAR MALAYSIA DISIASAT
Encik Zainal daripada SWCorp Johor sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa sembilan syarikat berdaftar di Malaysia sedang disiasat kerana disyaki mengangkut sisa binaan dari Singapura dan membuangnya secara haram di tiga lokasi berhampiran beberapa kampung di daerah Pontian, Johor.
Beliau berkata pihak berkuasa telah mengumpulkan bukti yang mencukupi untuk mengaitkan sembilan syarikat berdaftar di Malaysia itu dengan kegiatan pembuangan tersebut dan tindakan lanjut akan diambil terhadap syarikat-syarikat berkenaan.
IKLAN
Jika didakwa dan disabit kesalahan, syarikat-syarikat tersebut dan para wakil mereka boleh didenda sehingga RM100,000 (S$31,445.93) dan dihukum penjara sehingga lima tahun, tambah beliau.
Sisa tersebut dipercayai dibawa dari Singapura menerusi Linkedua Tuas sebelum dibuang di sekurang-kurangnya tiga bidang tanah di Pontian, kata Encik Zainal kepada Mediacorp ketika melakukan tinjauan ke atas salah satu lokasi berkenaan, kira-kira 25 kilometer dari Pusat Pemeriksaan Tuas minggu lalu.
Dakwaan berlaku pembuangan sisa secara haram pertama kali dilaporkan oleh media Malaysia, Kosmo.
Kerajaan Negeri Johor kemudian mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak melibatkan pelbagai agensi untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut. Agensi-agensi yang terlibat termasuk SWCorp, polis serta Pejabat Daerah Pontian.
Para penduduk yang terjejas akibat pembuangan sisa termasuk mereka yang tinggal di Kampung Parit Rambai, Kampung Sungai Dinar, Mukim Sungai Karang dan Kampung Sungai Senai Belokok.
Pembuangan sisa tersebut berlaku hanya beberapa meter dari sesetengah rumah.
Pembuangan sisa di Johor: NEA tegaskan sisa binaan tidak boleh dieksport untuk dilupuskan
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengeluarkan nasihat kepada kemudahan-kemudahan pelupusan sisa am berlesen yang mengendalikan sisa binaan dan perobohan berhubung syarat-syarat bagi pengurusan sisa, selain menegaskan sekali lagi bahawa sisa tersebut tidak boleh dieksport untuk dilupuskan.