kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Peka Perubahan P.E.T Remaja, Kesan Isu Kesihatan Mental - Pegawai Psikologi
Ibu bapa perlu memberikan perhatian terhadap perubahan pemikiran, emosi dan tingkah laku (P.E.T) anak remaja bagi mengesan tanda mereka berdepan isu kesihatan mental.
Pegawai Psikologi Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka Nur ‘Asyikin Ismail berkata antara tanda yang perlu diberi perhatian adalah apabila remaja kerap mengeluarkan kenyataan negatif mengenai diri sendiri atau mula menjauhkan diri daripada aktiviti sosial.
“Kalau sebelum ini dia selalu keluar bermain atau bersosial dengan kawan, tetapi dalam dua atau tiga minggu dia tidak buat benda itu, kita sudah boleh ambil tindakan kerana ia ‘red flag’ kepada isu kesihatan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam episod kelapan Podcast KASIH Lensa Keluarga Musim Kedua bertajuk PEKERTI Negara: Bahasa Kasih Remaja terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi.
Nur ‘Asyikin berkata ibu bapa juga perlu memberikan ruang kepada anak remaja untuk meluahkan perasaan dan mendengar terlebih dahulu tanpa terus menghukum mereka.
“Jangan menghukum sebelum kita mendengar apa yang anak-anak kita cakap sebab kadang-kadang mereka perlukan ruang dan sistem sokongan,” katanya.
Beliau berkata ibu bapa juga perlu menunjukkan empati dan validasi perasaan anak, namun perkara itu tidak bermaksud mereka perlu bersetuju dengan semua yang diperkatakan.
Sebaliknya, beliau berkata ibu bapa perlu mengakui perasaan yang sedang dialami anak terlebih dahulu sebelum membantu mereka mengawal emosi berkenaan.
Ibu bapa juga tidak seharusnya menganggap masalah yang dikongsikan anak sebagai perkara kecil kerana sesuatu yang dilihat mudah oleh orang dewasa mungkin memberikan kesan besar kepada remaja.