combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,187
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,187
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
PAU26: KULN Cadang Global TVET Talent Network Hubung Bakat Malaysia Di Luar Negara
Muhammad Amir Ikram Mohd Fadil
Kelab UMNO Luar Negara (KULN) mencadangkan penubuhan Global TVET Talent Network sebagai platform menghubungkan bakat Malaysia di seluruh dunia bagi membolehkan kepakaran mereka terus dimanfaatkan untuk pembangunan negara.
Perwakilan KULN United Kingdom Muhammad Amir Ikram Mohd Fadil berkata jaringan itu penting bagi menyediakan ruang kepada rakyat Malaysia yang bekerja dan menimba pengalaman di luar negara untuk terus menyumbang kepakaran kepada tanah air.
Beliau berkata negara kini mempunyai ramai bakat berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan, teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan profesional yang berada di luar negara, justeru mekanisme perlu diwujudkan bagi memastikan kepakaran mereka turut dimanfaatkan untuk pembangunan tanah air.
“Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai skills nation, kita mesti menangani cabaran kehilangan bakat negara. Jangan sampai kita melahirkan bakat, sedangkan negara lain yang menikmati kepakaran mereka,” katanya ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU26), di sini hari ini.
Menurut beliau, penghijrahan bakat tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya peluang dan laluan perlu diwujudkan bagi membolehkan mereka terus menyumbang kepada tanah air meskipun berada di luar negara.
“Daripada brain drain, kita mesti bergerak kepada brain gain dan brain circulation, bakat Malaysia mendunia tetapi tetap menyumbang kepada negara,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Amir Ikram berkata komuniti rakyat Malaysia di luar negara juga perlu diperkasakan dari aspek kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik, bencana alam, gangguan penerbangan dan bekalan makanan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan KULN diperkasakan sebagai Community Emergency Response yang berperanan menjadi penghubung antara perwakilan Malaysia dengan komuniti rakyat negara ini di luar negara ketika berlaku kecemasan.
“Kita bukan mengambil alih tugas kedutaan, tetapi menjadi penghubung antara kedutaan dengan komuniti di lapangan. Apabila berlaku apa-apa kecemasan, kita cepat mengenal pasti siapa perlukan bantuan, yang ada anak kecil dan yang terputus bekalan makanan,” katanya.