combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Patriot Dekati Hampir 50,000 Pengundi Kali Pertama Pada PRN Johor, N.Sembilan - Wan Rosdy
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemimpin muda Sekolah Patriotik UMNO (SPU) berjaya menyantuni hampir 50,000 pengundi kali pertama secara bersemuka dan dalam talian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak 100 Patriot digerakkan untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) di 50 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.
Di Negeri Sembilan pula, 50 Patriot bertemu 13,267 pengundi secara bersemuka dan 7,276 lagi secara dalam talian di 25 DUN.
“Anak-anak SPU ini tidak hanya duduk di belakang (dewan). Mereka turun ke lapangan kerana percaya kepada perjuangan UMNO,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola SPU berkata sekolah yang ditubuhkan pada Januari 2025 telah melahirkan lebih 200 pemimpin muda menerusi lima siri, dengan siri keenam dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
Katanya, pemilihan peserta bagi siri seterusnya akan dibuat secara teliti bagi memastikan SPU terus melahirkan pemimpin muda berkualiti yang mampu membantu dan meneruskan perjuangan parti pada masa hadapan.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata empat Pendekatan BIRU dicadangkan bagi memperkukuh dan menterjemahkan Agenda Malaysia Biru yang digagaskan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada tindakan di peringkat akar umbi.
Katanya, pendekatan itu merangkumi pembinaan hubungan dengan rakyat bukan hanya ketika pilihan raya serta mengikat pengundi melalui khidmat, kepercayaan dan membantu menyelesaikan masalah mereka.
Pendekatan yang ketiga adalah menawan hati rakyat dengan kerja yang nyata, bahasa yang dekat dengan rakyat serta kepimpinan yang memahami denyut nadi rakyat dan pendekatan yang terakhir adalah mengubah persepsi terhadap UMNO.