SHAH ALAM – Pemuda Pas Kelantan menyatakan kelegaannya atas keputusan dibuat parti Islam itu yang akhirnya memutuskan memecat bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan Jawatankuasa Tatatertib Pas itu.
“Pemuda Pas Kelantan bersyukur kerana kemelut yang melanda parti dan kerajaan negeri akibat tindakan salah seorang wakil rakyat Pas di negeri ini, Datuk Husam Musa yang sering mengkritik parti dan kerajaan berakhir dengan tindakan pemecatan seperti yang diumumkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pas hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli mengajak semua ahli Pas untuk bekerja dan memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat di Dun Salor.
“Tindakan ini juga tentunya merupakan satu pembebasan terhadap Datuk Husam Musa untuk bergerak melalui wadah yang dipilihnya sendiri,” katanya.