BTC USD 76,586.2 Gold USD 4,362.61
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pakar boleh bantu Melaka tanpa dilantik Adun, kata penganalisis

afwan83

Active+ Member
Messages
3,229
Joined
Aug 4, 2011
Messages
3,229
Reaction score
12
Points
25

Pakar boleh bantu Melaka tanpa dilantik Adun, kata penganalisis​

45c29351-dewan-undangan-negeri-melaka-dun-melaka-bernama-140726-resize.jpg

DUN Melaka kelmarin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi membolehkan pelantikan sehingga tujuh Adun dilantik. (Gambar Bernama)

Mereka berkata kerajaan negeri juga perlu menjelaskan manfaat langsung pelantikan itu kepada rakyat bagi mengelakkan persepsi ia diwujudkan sekadar menambah penyokong kerajaan atau memberi ganjaran politik.

Hisommudin Bakar berkata selain Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti kukuh di DUN, keperluan melantik tujuh Adun juga dipersoal kerana keluasan negeri itu yang kecil dari segi keluasan dan saiz pentadbiran.

Pengarah eksekutif Ilham Centre itu turut berpandangan pertambahan Adun akan membawa kesan kewangan termasuk elaun, kemudahan serta kos operasi yang akhirnya ditanggung kerajaan negeri.

“Jika mahu mendapatkan kepakaran profesional, kerajaan negeri mempunyai pilihan lain seperti melantik penasihat khas, ahli jawatankuasa teknikal atau memanfaatkan kepakaran mereka dalam badan berkaitan kerajaan,” katanya kepada FMT.

DUN Melaka kelmarin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi membolehkan pelantikan sehingga tujuh Adun dilantik yang dijelaskan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh terdiri daripada golongan pakar serta profesional.

Kelulusan pindaan itu bagaimanapun menyebabkan DAP Melaka menarik diri daripada kerajaan negeri kerana menyifatkannya bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Saguhati politik?

Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz pula berkata kerajaan Melaka perlu menjelaskan objektif sebenar pelantikan itu untuk mengelakkan timbul persoalan berkait ‘saguhati politik’ kepada pihak tertentu.

Faisal turut mempersoalkan kebebasan Adun dilantik untuk menjalankan fungsi semak dan imbang sekiranya pelantikan mereka boleh ditamatkan tanpa kewajipan memberikan alasan.

“Jika seseorang Adun dilantik bersikap kritikal terhadap dasar kerajaan negeri, apakah jaminan beliau tidak disingkirkan sewenang-wenangnya hanya kerana menjalankan fungsi semak dan imbang,” soalnya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula mencadangkan pakar dilantik sebagai penasihat atau mengetuai agensi kerajaan tanpa perlu diberikan status Adun.

“Menambah tujuh Adun lantikan menjadikan dewan terlalu padat, seolah-olah ‘mini Parlimen’ tidak seimbang dengan saiz negeri,” katanya yang mengakui golongan profesional boleh menyumbang dalam bidang ekonomi digital, pelancongan warisan, perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Bagaimanapun, katanya, demokrasi bukan hanya bergantung kepada kualiti hujah, tetapi turut memerlukan legitimasi melalui mandat rakyat.

Proses pemilihan telus

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula menekankan proses pemilihan mestilah jelas, telus dan berasaskan merit, bukannya pertimbangan politik.

“Persoalan lebih penting ialah sama ada pelantikan seperti ini benar-benar satu keperluan. Pada pandangan saya, jawapannya tidak,” katanya.

Bagaimanapun, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berkata pelantikan golongan profesional selari dengan tujuan asal peruntukan Adun lantikan, iaitu membolehkan kerajaan mendapatkan khidmat individu berkepakaran.

Menurutnya, pakar dalam bidang tertentu boleh membantu Melaka merangka strategi bagi sektor seperti pelancongan dan meningkatkan pendapatan negeri.

“Namun individu dipilih perlu benar-benar berkelayakan dan tidak dilantik sebagai ganjaran kepada penyokong politik,” katanya.
 
Back
Top
Log in Register