afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Letak jawatan strategi Razali jadi Adun ‘mesra PAS’, kata penganalisis
Adun Kijal Razali Idris umum peletakan jawatan sebagai ketua Bersatu Terengganu semalam. (Gambar Bernama)
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, keputusan Razali kekal sebagai ahli parti hanya langkah taktikal bagi mengelakkan kekosongan kerusi bawah akta lompat parti.
“Tindakan ini lebih kepada mengekalkan kedudukannya sebagai Adun mesra PAS bagi membolehkan beliau terus kekal dalam kerajaan Terengganu sebagai exco.
“Beliau tidak lagi komited dengan Bersatu sehingga akhir penggal ini dan dijangka membuat pilihan baharu selepas tamat penggal…kemungkinan menyertai kem Hamzah Zainudin daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan),” katanya kepada FMT.
Mazlan berkata, corak serupa dikesan berlaku di Perlis, yang memberi isyarat masa depan Bersatu tidak lagi bersama Perikatan Nasional (PN), sama ada keluar atau dikeluarkan daripada gabungan itu.
Semalam, Razali yang juga Adun Kijal mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua Bersatu Terengganu, yang turut disertai dua lagi pemimpin negeri itu.
Exco Terengganu itu menghantar surat peletakan jawatan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu, tetapi tidak menyatakan punca melepaskan jawatan disandangnya sejak 10 tahun lalu.
Pada masa sama, Adun Telemong, Zawawi Ismail dan Adun Hulu Besut, Husaimi Hussin turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua penerangan serta bendahari Bersatu Terengganu.
Sebelum ini, kerajaan Terengganu dilaporkan kekal mempertahankan kedudukan Razali sebagai exco walaupun PAS secara rasmi memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting menyifatkan tindakan mengekalkan Razali dalam pentadbiran negeri sebagai demonstrasi kuasa dan hegemoni PAS di Terengganu.
Beliau berkata, langkah Razali melepaskan jawatan parti kini dibaca sebagai ‘tiket kelangsungan’ politik, seolah-olah membawa mesej ‘tinggalkan parti, kekalkan jawatan’.
“Jika itu syarat tidak bertulis untuk terus berada dalam kerajaan negeri, maka politik telah berubah daripada medan perjuangan kepada medan penundukan.
“PAS sering mengangkat slogan integriti, istiqamah dan politik berprinsip. Namun, rakyat berhak bertanya, jika hubungan dengan Bersatu secara rasmi sudah terputus, mengapa seorang pemimpin Bersatu masih terus menduduki kerusi exco?” katanya.