afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,218
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,218
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Kekalahan Loke letak DAP di persimpangan, kata penganalisis
Loke Siew Fook dan Lim Guan Eng mempunyai pendekatan berbeza dalam memperjuangkan suara masyarakat bukan Melayu dan Melayu, menurut seorang penganalisis politik. (Gambar Facebook)
James Chin dari Universiti Tasmania berkata kegagalan Loke mempertahankan DUN Chennah selepas tiga penggal memberi ruang kepada kumpulan Lim untuk kembali berpengaruh dalam parti selepas Loke mengambil alih jawatan setiausaha agung daripadanya pada 2022.
“Kekalahan Loke membuka ruang besar untuk Guan Eng kembali,” katanya kepada FMT.
Sebagai setiausaha agung, Loke berusaha meluaskan penerimaan terhadap DAP dengan menampilkan imej lebih sederhana dan mesra kerjasama antara parti.
Awal tahun ini, beliau secara terbuka menegur Lim kerana mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, sekali gus mendedahkan perbezaan pendekatan kepimpinan antara mereka. Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan wujud perpecahan dalam parti.
Chin berkata sebarang persaingan untuk menguasai DAP akhirnya bergantung pada cara parti itu memilih untuk mewakili kelompok penyokongnya.
“Kedua-duanya mahu menjadi suara kepada masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam. Perbezaan antara kumpulan itu adalah dari segi pendekatan yang digunakan,” katanya.
Menurutnya, kekalahan Loke di Chennah juga boleh melemahkan kedudukan beberapa pemimpin DAP lain, termasuk Ketua DAP Pulau Pinang Steven Sim dan Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming.
“Sekiranya ada gerakan besar untuk mengambil alih kepimpinan parti, ia akan datang daripada kumpulan Guan Eng,” katanya.
Kekal sederhana atau lebih tegas?
Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata DAP kini berada di persimpangan strategik sama ada mahu mengekalkan pendekatan pragmatik Loke yang berteraskan kerjasama gabungan, atau beralih kepada pendirian lebih tegas.
Bagaimanapun, katanya, pendekatan lebih tegas berisiko menguatkan gambaran Barisan Nasional (BN) bahawa DAP terlalu dominan dan sukar berkompromi.
Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata individu yang bakal menentukan wajah DAP selepas ini akan memberi kesan langsung terhadap sokongan pengundi Melayu kepada parti itu.
Katanya, menggantikan Loke pada pemilihan parti akan datang dengan pemimpin yang dianggap kurang sederhana boleh menyebabkan pengundi Melayu semakin menjauh.
“Bukanlah mereka semakin mendekati DAP sekarang pun,” katanya.
Pada masa sama, imej sederhana Loke mungkin tidak memuaskan semua pihak dalam parti.
“Pendekatan ‘sederhana’ Loke mungkin menjadi masalah kepada penyokong DAP dan masyarakat bukan Melayu. Mungkin DAP mahukan seseorang yang lebih ‘ekstrem’,” katanya.
