PAC belum berhasrat panggil Najib, Jho Low, kata pengerusi
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkata, jawatankuasa itu belum bercadang untuk memanggil ahli perniagaan yang dikaitkan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Low Taek Jho dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung prosiding siasatan yang sedang dilaksanakannya.
Prosiding pertama PAC hari ini berkenaan syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan itu memberikan tumpuan kepada kawalan kerajaan terhadap pengurusan dan pelaburan syarikat tersebut selepas ditubuhkan pada 2009, kata Nur Jazlan.
"Kami tidak melihat keperluan untuk itu sekarang ini," katanya, kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Nur Jazlan bagaimanapun berkata, skop penyiasatan jawatankuasa di bawah Parlimen itu tidak terbatas dan prosiding mereka dilakukan tanpa input daripada Jabatan Audit Negara, yang turut menjalankan audit terhadap akaun 1MDB.
"Bagaimanapun selepas ini, jika Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan kepada PAC, jawatankuasa ini akan mengambil segala maklumat, pandangan serta syor bagi memperlengkapkan prosiding syarikat 1MDB ini," kata Nur Jazlan.
PAC hari ini memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Yusoff, serta pegawai kanan kedua-dua jabatan dalam prosiding pertama mereka.
"PAC mahu melihat pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas ditukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA)," kata Nur Jazlan.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata, PAC juga menjalankan pendekatan yang telus dan beretika serta bertanggungjawab dan berakauntabiliti dalam melindungi kepentingan rakyat.
"Atas sebab itu saya mohon kepada semua pihak agar tidak mendahului PAC dalam membuat sebarang kesimpulan terhadap prosiding ini dan perlu menghormati peranan serta tanggungjawab yang diamanahkan dalam jawatankuasa ini melengkapkan prosiding 1MDB," katanya.
PAC juga katanya tidak menetapkan sebarang tempoh masa bagi melengkapkan prosiding berkenaan 1MDB ini.
"Apa yang pasti PAC akan cuba sedaya upaya untuk menjalankan prosiding membabitkan semua aspek termasuk segala isu yang dibangkitkan media sehingga menggusarkan rakyat terhadap syarikat 1MDB ini," katanya.
Nur Jazlan berkata, PAC akan memanggil saksi yang mewakili pengurusan syarikat dan seterusnya lembaga pengarah, serta firma audit yang terlibat dalam mengesahkan kedudukan kewangan syarikat.
"Pada 26 Mei ini, pengurusan syarikat 1MDB ketika ini, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arul Kanda Kandasamy serta mantan CEO 1MDB Datuk Shahrul Ibrahim Halmi akan hadir di hadapan jawatankuasa ini untuk memberikan penjelasan berhubung prosiding sama," katanya. – 19 Mei, 2015.
Sumbert:
http://www.themalaysianinsider.com/...b-jho-low-kata-pengerusi#sthash.8yNfomxQ.dpuf