BTC USD 83,897.4 Gold USD 4,151.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

PAC Siasat 1MDB [Update]

Juruaudit tidak boleh jamin tiada penipuan dalam 1MDB

Penyokong 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mencanangkan tiada penipuan atau wang yang hilang dalam syarikat sarat hutang tersebut kerana firma perakaunan antarabangsa seperti KPMG dan Deloitte menandatangani akaun syarikat itu bagi tahun kewangan 2010 sehingga 2014.

Hujah ini diguna pakai untuk mempertahankan tindakan membisu seribu bahasa pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah 1MDB yang enggan menjawab soalan dilontarkan kepada mereka tentang pelbagai urus niaga dan aliran wang berbilion ringgit syarikat itu.

Mereka berselindung di sebalik hujah itu walaupun faktanya, 1MDB kini mengalami masalah aliran tunai yang dahsyat dan tidak lagi mampu membayar hutang-hutang mereka.

Pada masa sama, pelbagai persoalan ditimbulkan berkenaan lokasi dan rupa sebenar Pelaburan Sedia Untuk Dijual yang dinilai pada harga RM13.38 bilion dalam akaunnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2014.

Sebaliknya, pengkritik diminta bertenang dan memberi ruang kepada ketua audit negara untuk menyelesaikan kerjanya menyemak audit 1MDB.

Hujah akaun 1MDB ditandatangani juruaudit bermakna tiada penipuan berlaku dan tiada wang hilang adalah tempang. Ia menunjukkan mereka yang menggunakan hujah ini tidak memahami perkara mereka perkatakan.

Mereka sama sekali tersalah tafsir, secara sengaja atau sebaliknya, akan peranan juruaudit luar.

Mereka juga tidak memahami makna sesuatu laporan juruaudit apabila juruaudit menandatangani penyata kewangan syarikat.

Tiada seorang pun juruaudit dalam dunia ini akan bersetuju tindakan menandatangani sesuatu akaun itu boleh ditafsirkan sebagai satu pengesahan atau jaminan akaun itu adalah betul sepenuhnya, tepat dan tiada langsung salah penyataan, menerusi penipuan mahu pun kesilapan.


Garis panduan International Standards for Auditing bagi juruaudit menyatakan juruaudit luaran bertanggungjawab mendapatkan jaminan munasabah penyata kewangan secara keseluruhannya, adalah bebas daripada salah penyataan yang penting, sama ada kerana kesilapan atau menerusi penipuan.

Jaminan munasabah ini adalah berdasarkan pendekatan juruaudit luaran yang mempercayai pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah sudah melaksanakan tanggungjawab fidusiari mereka dan tidak terlibat dalam sebarang penipuan mahupun menyembunyikan sebarang penipuan.

Justeru, wujud risiko tidak dapat dielakkan iaitu kemungkinan salah nyata yang penting tidak dapat dikesan, walaupun kerja audit dirancang dan dilaksanakan menurut piawaian perakaunan antarabangsa.

Risiko penipuan adalah lebih tinggi berbanding kesilapan kerana kebiasaannya penipuan akan melibatkan skim yang sofistikated dan direncanakan dengan berhati-hati untuk menyembunyikannya.


Maka, seorang juruaudit luaran bukannya berperanan untuk menentukan sama ada sesuatu penipuan sudah pun berlaku atau pun tidak. Ini tanggungjawab sistem perundangan dan jenayah sesuatu negara.

Malahan, juruaudit menamakan jurang di antara perkara yang diharapkan orang awam dan perkara yang sebenarnya dilakukan mereka sebagai "jurang jangkaan".

Sekarang mari kita teliti laporan audit yang dikeluarkan Deloitte kepada 1MDB pada 5 November, 2014 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, 2014. Hakikat ia diterbitkan lebih 7 bulan selepas tahun kewangannya berakhir sudah cukup untuk menimbulkan keraguan.

Perenggan 2: Pengarah-pengarah syarikat bertanggungjawab menyediakan penyata kewangan ini untuk memberikan gambaran yang benar dan adil. Pengarah-pengarah juga bertanggungjawab dalam kawalan dalaman difikirkan perlu untuk membolehkan penyediaan laporan kewangan bebas daripada salah penyataan yang penting, sama ada berpunca daripada kesilapan atau penipuan.

Perenggan 3: Tanggungjawab kami (Deloitte) adalah untuk MENZAHIRKAN PENDAPAT ke atas penyata kewangan ini berdasarkan audit kami...dan melaksanakan audit ini untuk memperoleh jaminan MUNASABAH sama ada penyata-penyata kewangan ini adalah bebas daripada salah nyata yang penting.

Kenyataan Deloitte ini adalah kenyataan standard yang dikeluarkan juruaudit kepada kebanyakan syarikat. Perkara mustahak untuk difahami adalah:

1. Pengarah-pengarah 1MDB bertanggungjawab sepenuhnya terhadap akaun mereka untuk memberikan gambaran yang adil dan betul. Mereka juga bertanggungjawab untuk kawalan dalaman yang diperlukan bagi memastikan penyata kewangan adalah bebas daripada salah nyata, sama ada menerusi kesilapan atau penipuan. Ini BUKAN tanggungjawab juruaudit.

2. Juruaudit hanya menzahirkan pendapat mereka sebagai juruaudit luaran melakukan segala perlu untuk memperoleh jaminan MUNASABAH tentang sama ada penyata kewangan mereka bebas daripada salah nyata yang penting.

3. Secara kritikalnya, juruaudit luaran tidak menzahirkan pendapat mereka tentang keberkesanan kawalan dalaman syarikat.

Pendek kata, walaupun juruaudit sepatutnya boleh mengesan rekod simpan kira yang kurang berkesan, mereka sebenarnya masih tidak mampu untuk mengesan dokumen perakaunan dipalsukan. Malah mereka juga tidak boleh menyoal keputusan pihak pengurusan, misalnya berkaitan pelaburan yang dibuat.

Soalan-soalan yang sering ditanya kepada 1MDB selalunya berkisar sekitar keberkesanan kawalan dalaman dan urus tadbir korporat:

- Siapa yang meluluskan perjanjian dan pelbagai bayaran yang dibuat sejak 2009?

- Kenapa dana dilencongkan daripada tujuan asal ia diluluskan? Kenapa wang dihantar kepada sebuah akaun yang dikawal Jho Low?

- Kenapa 1MDB terlebih bayar untuk aset kuasa, tanah di Pulau Pinang dan komisen kepada Goldman Sachs?

- Siapa yang mengesahkan dan mempersetujui pembayaran US$700 juta kepada PetroSaudi, kononnya untuk melangsaikan hutang?

- Kenapa Jho Low memberikan arahan kepada pengurusan dalam urusan 1MDB?

- Siapakah yang mempersetujui opsyen Aabar dan kemudian bersetuju dengan bayaran pelupusan yang menyebabkan 1MDB membayar AS$1 bilion untuk tujuan itu?


Semua isu utama yang dibangkitkan ini melibatkan urus tadbir korporat, pembuatan keputusan dan kawalan dalaman di 1MDB.

Deloitte dalam laporan audit mereka dengan jelas menyatakan mereka TIDAK menzahirkan pendapat tentang keberkesanan kawalan dalaman 1MDB.

Maka, janganlah lepas tangan dan mengalihkan beban kepada Deloitte dengan menyatakan tiada apa-apa yang salah berlaku, dan semuanya baik-baik saja di 1MDB, kerana Deloitte menandatangani akaun syarikat itu.

Memandangkan ketua audit negara hanya diminta mengaudit kerja Deloitte semata-mata, maka kemungkinan besar mandat ini tidak melebihi daripada audit yang sudah dilakukan Deloitte.

Ia sangat jelas. Ahli lembaga pengarah bertanggungjawab memastikan akaun adalah betul dan adil. Ia juga bertanggungjawab terhadap kawalan dalaman bagi memastikan tiada penipuan berlaku.

Juruaudit pula hanya menzahirkan pendapat yang munasabah. Tiada yang lebih daripada itu.

Sektor korporat dalam dan luar negara sarat dengan contoh penipuan korporat yang berjaya lolos daripada penelitian juruaudit. Dalam sesetengah kes, jika ia bukan satu subahat nyata, juruauditnya didapati turut terlibat menipu dengan niat.

Penipuan korporat paling besar dalam dunia melibatkan gergasi tenaga Enron di AS, yang menyaksikan nilai pasarannya sebanyak AS$78 bilion lenyap dalam beberapa hari saja. Bekas presidennya, Jeff Skilling masih menjalani hukuman penjara selama 24 tahun.

Juruauditnya pula, Arthur Andersen, salah satu daripada firma perakaunan Big Four di dunia pada masa itu, terpaksa gulung tikar.


Skim Ponzi Bernard Madoff bernilai AS$65 bilion bukti pengurusan dana yang juga dinilai secara pihak ketiga oleh institusi antarabangsa, juga tidak terlepas daripada salah agihan dan penipuan. Madoff kini meringkuk dalam penjara selama 150 tahun.

Jika masih ada sesiapa menyangka audit dan juruaudit tidak membuat kesilapan, sila baca rencana majalah Forbes keluaran 20 November, 2012 yang menceritakan bagaimana Hewlett-Packard (HP) hilang AS$5 bilion ke atas satu pemerolehan yang bernilai AS$11.1 bilion.

HP berkata ia terpaksa menurunkan nilai buku syarikat perisian UK Autonomy kerana nilainya dikesan diperbesar-besarkan menerusi perakaunan janggal yang serius, salah pernyataan dan kegagalan dalam pendedahan.

Penipuan tersebut memburukkan nama juruaudit yang terlibat - Deloitte sebagai juruaudit kepada Autonomy dan Ernst & Young sebagai jurudit kepada HP - kerana gagal mengesan penipuan itu.

Sekarang, masih mahu percaya lagi? – 25 Mei, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/...iada-penipuan-dalam-1mdb#sthash.gjYD2o4F.dpuf
 
1MDB minta tangguh, PAC panggil Deloitte, kata Nur Jazlan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini memutuskan akan memanggil syarikat audit kewangan antarabangsa Deloitte & Co menghadiri prosiding dalam kes syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini memandangkan 1MDB meminta prosiding itu ditangguhkan kerana 2 individu penting yang dipanggil sebelum ini tidak dapat hadir, kata Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mereka ialah Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Halmi.


Susulan laporan sebuah portal hari ini, Nur Jazlan mengesahkan, Kementerian Kewangan pada Jumaat menghantar surat memohon prosiding itu ditangguhkan kerana ketiadaan 2 individu itu.

"Penangguhan tersebut tidak menghalang PAC memanggil firma audit membabitkan 1MDB untuk hadir ke prosiding PAC yang akan dijalankan dalam tempoh 3 minggu ini.

"Kita berbincang dan ambil keputusan untuk memanggil saksi seterusnya, iaitu syarikat audit 1MDB, Deloitte, yang pertama untuk memberi keterangan,"
katanya di lobi parlimen hari ini.

Nur Jazlan berkata PAC bersetuju menangguhkan prosiding membabitkan 2 individu itu dengan memberi tempoh masa seperti mana yang dinyatakan syarikat tersebut.

"Ketetapan PAC ialah, kita mahu mereka hadir dalam prosiding ini. Kita memerlukan mereka. Dengan itu, kita bersetuju memberikan tempoh masa kepada pengurusan 1MDB, khususnya Arul Kanda.

"Dengan penangguhan itu, kita berharap mereka akan bersedia dengan semua maklumat serta dokumen sebelum hadir di hadapan jawatankuasa,"
katanya.

Jawatankuasa Parlimen yang dianggotai kedua-dua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu mula mengadakan pendengarannya sendiri Selasa lalu selepas membuat keputusan tidak menunggu siasatan bebas yang dijalankan ketua audit negara selesai.

Kedua-duanya merupakan saksi penting dalam siasatan PAC ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan itu, yang menanggung hutang RM42 bilion dalam masa enam tahun beroperasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengarahkan audit negara menjalankan siasatan ke atas 1MDB dan mengemukakan hasilnya kepada PAC untuk ketelusan.

Bagaimanapun, selepas kritikan makin memuncak dan pendedahan dibuat laman web pendedah maklumat Sarawak Report, PAC memutuskan memulakan siasatannya lebih awal.

Shahrol merupakan CEO pertama 1MDB dari Februari 2009 hingga Mac 2013, sementara Arul Kanda dilantik Januari tahun ini.

Pada Selasa, PAC memulakan inkuirinya dengan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, yang juga ahli lembaga penasihat 1MDB dan ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdulla.

Najib, menteri kewangan, ialah juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata lagi, prosiding bagi firma audit tidak akan dilakukan serentak bagi membolehkan jawatankuasa memberi fokus untuk pertanyaan dijawab dengan selengkapnya.

"KIta buat berasingan, ikut tarikh ditetapkan saya kira lebih baik begitu sebab ia akan ambil masa lama jadi kita mahu tumpukan satu-satu,"
katanya.

Ditanya apakah PAC akan turut memanggil lembaga pengarah 1MDB, Jazlan berkata, ianya merupakan perkara terakhir akan dilakukan oleh jawatankuasa sepertimana mengikut prosedur badan eksekutif itu.

"Buat masa ini kita ikut turutan prosedurnya, kita mula dengan CEOnya, kemudian firma audit dan terakhir barulah lembaga 1MDB," katanya

Mengulas mengenai prosiding yang tertangguh, Jazlan berharap dengan masa diberikan PAC, pihak pengurusan 1MDB seharusnya dapat bersedia dengan semua maklumat serta dokumen berkaitan skandal syarikat tersebut.

"PAC mahu prosiding ini berjalan dengan teratur serta mempunyai kredibiliti selain tidak dipersoalkan sekiranya penjelasan serta maklumat yang diberikan kurang atau tidak lengkap.

"Penangguhan ini tidak bermakna bahawa prosiding ini adakan dilewatkan dan saya minta kedua-dua CEO supaya tampil kembali di hadapan jawatankuasa secepat mungkin,"
katanya sambil menyifatkan PAC tidak menetapkan sebarang tarikh mengenai prosiding tetapi akan memberikan masa secukupnya kepada 2 saksi itu. – 25 Mei, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/...deloitte-kata-nur-jazlan#sthash.MOiPzew3.dpuf
 
Arul Kanda perlu dipecat daripada 1MDB kerana elak PAC, kata Rafizi

PKR menyelar eksekutif atasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas eksekutif kerana tidak hadir dalam inkuiri Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan menyifatkan sikap mereka kurang kebertanggungjawaban.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata presiden dan pengarah eksekutif kumpulan Arul Kanda Kandasamy dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sekurang-kurangnya perlu berdepan dengan PAC.

"Bagi saya, enggan berdepan PAC jelas menunjukkan mereka tidak layak berada di sana.

"Malang sebelum ini mereka tidak menjelaskan fakta tetapi sekarang keengganan menghadiri mesyuarat PAC - merupakan penghinaan dan mereka perlu dipecat segera,"
katanya.

Mengesahkan PAC menangguhkan mesyuarat, pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata 2 individu itu tidak dapat hadir kerana bertugas di luar negara.

Shahrol yang kini merupakan lembaga pengarah 1MDB merupakan CEO pertama dari Februari 2009 hingga Mac 2013 sementara Arul dilantik bermula Januari tahun ini.

Kedua-dua mereka merupakan saksi penting dalam siasatan PAC terhadap 1MDB yang memiliki hutang RM42 bilion sejak enam tahun beroperasi.

Rafizi berkata, jika menurut Parlimen lain di dunia, mereka yang dipanggil akan hadir apabila dipanggil PAC.

Katanya, ketiadaan 2 individu itu mungkin atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu mengelak lebih ramai yang akan dipanggil.

"Najib tidak mahu mereka datang kerana sekali dipanggil PAC, mereka bimbang mereka tidak dapat menjawab soalan dan lebih ramai yang akan dipanggil. Sebab itu Najib mengambil risiko ini tidak membenarkan mereka datang walaupun rakyat kian marah," katanya.

"Walaupun mereka diarahkan untuk datang, seorang profesional berintegriti akan berkata 'saya perlu datang kerana rasa bertanggungjawab'. Tak apa jika mereka datang dan teraba-raba atau katakan 'saya tak dapat jawab', tak mengapa tetapi hormatilah Parlimen dan PAC.

"Lebih baik mereka datang dan berkata 'saya minta maaf, saya tak boleh jawab'. Sekurang-kurangnya rakyat berasa tak mengapa tak boleh tak jawab sebab mereka perlu jawab pada majikan,"
katanya.

Nur Jazlan terdahulu memberitahu wartawan, PAC menerima surat dari Kementerian Kewangan Jumaat lalu meminta mesyuarat ditunda.

Katanya, jawatankuasa bersetuju dengan permintaan itu dan berharap kedua-dua mereka akan bersedia dengan semua dokumen dan maklumat yang diperlukan.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata PAC akan memanggil firma audit Deloitte seterusnya.

Firma audit antarabangsa itu dikritik oleh salah seorang ahli PAC Tony Pua yang mendakwa auditnya terhadap 1MDB boleh dipersoalkan.

Deloitte masih merupakan juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan berakhir Mac 2015.

Ia merupakan juruaudit ketiga 1MDB sejak syarikat sarat hutang itu beroperasi pada 2009.
– 25 Mei, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/...ana-elak-pac-kata-rafizi#sthash.FjhlAnrS.dpuf
 
Arul Kanda nafi cuba lari dari prosiding PAC

Pengurusan atasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menafikan enggan menghadiri pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebaliknya mengatakan mereka "menunggu peluang" menceritakan kedudukan mereka.

Presiden Arul Kanda Kandasamy memberi jaminan akan bekerjasama penuh sepanjang siasatan, mengatakan beliau dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan hadir memberi keterangan kepada PAC.

"Seperti disahkan pengerusi PAC terdahulu hari ini, tarikh kehadiran sedang dimuktamadkan kerana tarikh awal yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan komitmen jadual di luar negara dibuat sebelum ini.

“Kedua-dua Arul dan Shahrol menunggu masa untuk tampil di hadapan jawatankuasa itu dan berpeluang menjelaskan kedudukan 1MDB,"
kata Arul dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkata, kedua-dua pihak memohon penangguhan kepada pendengaran yang sepatutnya dijadualkan esok.

Shahrol merupakan CEO 1MDB daripada Januari 2009 sehingga Mac 2013, manakala Arul dilantik ke dalam syarikat itu bermula awal Januari tahun ini.


Arul kini dilaporkan berada di luar negara atas urusan perniagaan, manakala Shahrol memohon penangguhan selama sebulan sebagai tempoh persediaan untuk pendengaran 1MDB.

Mereka merupakan saksi penting dalam siasatan PAC ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan itu, yang menanggung hutang RM42 bilion dalam masa enam tahun beroperasi.

Susulan kegagalan mereka hadir esok, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini menggesa Kabinet memecat semua lembaga pengarah 1MDB atau ia sendiri meletak jawatan.

Jawatankuasa Parlimen bebas yang dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu mula mengadakan pendengaran Selasa lalu selepas membuat keputusan tidak menunggu siasatan bebas yang dijalankan ketua audit negara selesai. – 25 Mei, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/...-lari-dari-prosiding-pac#sthash.EgHqhQH6.dpuf
 
Arul Kanda lewat dapat surat, bukan urusan PAC, kata Nur Jazlan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini menolak alasan kelewatan menerima notis yang diberi presiden dan pengarah eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy apabila memohon penangguhan mengadap PAC.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PAC menghantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk memanggil Arul Kanda pada 6 Mei lalu.

"Sama ada Arul Kanda dapat surat itu lewat atau tidak, itu bukan urusan kami," katanya pada sidang media selepas bertemu dua pegawai kanan Felcra hari ini.

1MDB semalam berkata mereka membalas surat PAC pada 21 Mei, hari sama surat itu diterima dari Kementerian Kewangan.

Nur Jazlan bagaimana pun yakin Arul Kanda dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Ibrahim Halmi, akan tetap hadir ke pendengaran PAC.

"Jangan risau, CEO pasti datang. Mereka membuat kenyataan tentangnya (kesediaan hadir ke pendengaran PAC)," katanya.

Arul Kanda dan Shahrol sepatutnya bertemu PAC semalam bagi memperjelas operasi dana pelaburan strategik yang sarat dengan hutang itu.

Shahrol merupakan CEO 1MDB dari Januari 2009 sehingga Mac 2013, manakala Arul dilantik ke syarikat itu bermula awal Januari tahun ini.

Arul kini dilaporkan berada di luar negara atas urusan perniagaan, manakala Shahrol memohon penangguhan selama sebulan sebagai tempoh persediaan untuk pendengaran 1MDB.

Mereka merupakan saksi penting dalam siasatan PAC ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan itu, yang menanggung hutang RM42 bilion dalam masa enam tahun beroperasi.

Sementara itu, Nur Jazlan turut mengumumkan yang PAC pada 25 Mei lalu menghantar surat kepada Kementerian Kewangan memanggil dua firma yang mengaudit 1MDB.

Firma Deloitte & Co dijadual bertemu PAC pada 10 Jun sementara firma KPMG pula dijadualkan hadir pada 17 Jun.

Deloitte adalah firma yang menggantikan KPMG sebagai juruaudit luar 1MDB. – 27 Mei, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/...usan-pac-kata-nur-jazlan#sthash.8zjnINte.dpuf
 
PAC akan lebih ‘agresif’ jika Arul, Shahrol menipu, kata Nur Jazlan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini memberi peringatan kepada presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan mantan ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sekiranya mereka didapati menipu jawatankuasa di bawah Parlimen itu.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata prosiding membabitkan kedua-dua individu terbabit akan lebih agresif berbanding prosiding biasa sekiranya PAC mempunyai bukti mereka menipu.

"Kalau ada bukti mereka tipu, testimoni kami akan lebih agresif daripada biasa. Kami cenderung mereka datang (menghadiri prosiding) dengan niat yang baik untuk mereka ceritakan kisah mereka.

"Kalau ada bukti mereka tipu, anggota PAC tidak akan simpati dengan mereka,"
katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata pihaknya turut mendengar khabar angin terdapat tuduhan mereka tidak berada di luar negara sebaliknya berada di dalam negara.

Arul dan Shahrol sebelum ini dilaporkan tidak dapat menghadiri prosiding PAC pada 26 Mei dan memohon penangguhan dengan alasan Arul berada di luar negara atas urusan kerja, manakala Shahrol perlu tempoh sebulan membuat persediaan untuk sesi pendengaran 1MDB itu.

"Bila mereka datang kami akan tanya. Apa yang penting, jawapan mereka apa yang berlaku semasa zaman mereka menjadi CEO syarikat.

"Mereka tahu kami serius, mereka perlukan masa untuk siapkan dokumen,"
kata Nur Jazlan, ketika ditanya sama ada PAC akan meminta mereka mengemukakan bukti atas alasan penangguhan mereka.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Arul menafikan enggan menghadiri pendengaran PAC sebaliknya mengatakan mereka "menunggu peluang" menceritakan kedudukan mereka.

Beliau turut memberi jaminan akan bekerjasama penuh sepanjang siasatan, mengatakan beliau dan Shahrol akan hadir memberi keterangan kepada PAC.

"Seperti disahkan pengerusi PAC terdahulu hari ini, tarikh kehadiran sedang dimuktamadkan kerana tarikh awal yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan komitmen jadual di luar negara dibuat sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada 25 Mei.

“Kedua-dua Arul dan Shahrol menunggu masa untuk tampil di hadapan jawatankuasa itu dan berpeluang menjelaskan kedudukan 1MDB."

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini mempersoalkan alasan Arul tidak menghadiri prosiding PAC yang dijadualkan pada Selasa.

Beliau bertanya di mana Arul berada pada ketika itu apabila beliau memberi alasan berada di luar negara dan tidak dapat menghadiri pendengaran PAC di Parlimen.

Nur Jazlan turut berkata hari ini, PAC memberi notis yang mencukupi untuk memanggil kedua-dua eksekutif kanan 1MDB itu hadir menyertai prosiding.

"Kami beri notis mencukupi untuk mereka datang," katanya, dan menambah, selain makluman menggunakan surat, PAC juga menyerahkan notis pemakluman melalui faksimili dan panggilan telefon. – 28 Mei, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/...l-menipu-kata-nur-jazlan#sthash.4ihXJTxc.dpuf
 
Arul Kanda jelaskan mengapa boleh bertemu Shahrir tetapi tidak PAC

arulkanda_shahrir_tmi_280515.jpg
Sekeping gambar menunjukkan Pengerusi 1MDB Arul Kanda Kandasamy berbincang dengan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad di sebuah hotel di Kuala Lumpur. – Gambar daripada sumber, 29 Mei, 2015.

Presiden merangkap Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy yang dikritik hebat kerana tidak menghadiri sesi pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Selasa lepas menegaskan beliau berada di luar negara ketika itu.

Arul mengesahkan bertemu Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad sehari selepas tarikh itu di Kuala Lumpur, tetapi mengatakan pertemuan itu diadakan hanya selepas beliau pulang ke Malaysia.

"Ya, saya bertemu dengan Shahrir, tapi itu pada Rabu. Saya tidak dapat hadir ke sesi PAC kerana hanya pulang ke tanah air pada Selasa malam," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Saya tidak menyembunyikan apa-apa. Ia satu pertemuan yang baik dan beliau seorang yang bijaksana, seorang yang teliti,”
katanya.

Bagaimanapun, Arul enggan menjelaskan di mana beliau berada ketika ke luar negara, walaupun ahli PAC Tony Pua mendesak supaya beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menjelaskan keberadaan mereka.

"Saya sedia menjawabnya jika ia ditanya dalam sesi PAC nanti," kata Arul.

The Malaysian Insider difahamkan Arul bertemu dengan Shahrir pada malam Rabu di sebuah hotel berdekatan KL Sentral, Kuala Lumpur dan ia berlangsung sehingga lewat pagi.

Wartawan The Malaysian Insider cuba menghubungi Shahrir bagi mengesahkan pertemuan tersebut, bagaimanapun tidak berjawab.

Sumber juga menghantar gambar pertemuan di antara Arul dan Shahrir yang kelihatan seperti sedang berbincang mengenai sesuatu.

"CEO 1MDB, PAC panggil tidak boleh datang kata berada di luar negara urusan penting.

"Jumpa pengerusi BNBBC malam tadi boleh pula, bersembang sampai lewat malam. BNBBC dah ambil alih tugas PAC ke?"
kata sumber Umno itu kepada The Malaysian Insider.

Shahrol merupakan CEO pertama 1MDB dari Februari 2009 hingga Mac 2013, sementara Arul dilantik Januari tahun ini.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pada Rabu, PAC menghantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk memanggil Arul pada 6 Mei lalu.

Kedua-dua mereka merupakan saksi penting dalam siasatan PAC ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan yang menanggung hutang RM42 bilion dalam masa 6 tahun beroperasi.

Jawatankuasa Parlimen yang dianggotai kedua-dua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu mula mengadakan pendengarannya sendiri minggu lepas selepas membuat keputusan tidak menunggu siasatan bebas dijalankan ketua audit negara selesai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengarahkan Jabatan Audit Negara menjalankan siasatan ke atas 1MDB dan mengemukakan hasilnya kepada PAC untuk ketelusan.

Minggu lepas, PAC memulakan inkuirinya dengan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, yang juga ahli lembaga penasihat 1MDB dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdulla.

Najib yang juga menteri kewangan, merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB. – 29 Mei, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/...shahrir-tetapi-tidak-pac#sthash.13CMM7RZ.dpuf
 
Penubuhan RCI relevan - Perkasa

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menegaskan pendiriannya untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, dengan penubuhan suruhanjaya berkenaan, siasatan akan dijalankan secara telus dan lebih menyeluruh merangkumi kesemua dokumen berkaitan.

Ia sekaligus menunjukkan sikap profesional Perkasa yang tidak mahu menuduh mana-mana pihak.

“Sebab itu saya kata (penubuhan) Suruhanjaya Diraja adalah yang terbaik. Jadi bila kita tubuhkan suruhanjaya ini, nanti ia akan dedahkan apa yang berlaku, siapa bertanggungjawab, siapa yang patut didakwa, ada kelemahan, ada kesalahan ke tidak.

“Kita tak nak tuduh sesiapa, biar Suruhanjaya Diraja yang menentukan siapa bersalah. Inilah Perkasa, kami sangat profesional,”
tegasnya.

Bagaimanapun, pemilihan ahli perlu dilakukan dengan teliti agar siasatan yang dijalankan tidak terganggu sekaligus mengundang isu yang lebih berat.

“Ahli Suruhanjaya Diraja yang dilantik ini (mestilah) orang-orang yang bebas, berintegriti, dan yang tidak boleh dipersoal latar belakangnya. Ini kerana melalui suruhanjaya ini, siasatannya adalah menyeluruh,” jelasnya.

Ibrahim turut memberitahu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bukan institusi sewajarnya untuk menjalankan siasatan kerana konteks kerjanya yang hanya tertumpu kepada semakan laporan audit negara setiap tahun, malah tiada kuasa untuk mendakwa.

“Peranan PAC sangat terhad dan (ia) tiada kuasa (untuk) mendakwa. Tugas PAC ini sebenarnya ialah untuk menyemak setiap tahun laporan audit negara.

“Sekarang ini dia buat penyiasatan sebelum audit, jadi dia nak siasat apa? Dia panggil CEO, tanya begitu begini secara lisan. Di mana dokumennya? Jadi (siasatan ini) tak sudah,”
ujarnya.

Ibrahim ditemui dalam sidang media yang berlangsung di bangunan pejabat Perkasa di Kuala Lumpur pada Khamis.

Satu diskusi tertutup telah diadakan pada April lalu untuk membincangkan isu 1MDB antara Majlis Tertinggi Perkasa, biro ekonomi Perkasa dan biro pemantauan integriti Perkasa.

Perbincangan tertutup anjuran Perkasa itu telah dihadiri oleh lebih kurang seramai 45 orang ahli daripada bahagian masing-masing untuk perbincangan mencari kebenaran demi kepentingan rakyat dan negara.


Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/penubuhan-rci-relevan-perkasa-61012?cp
 
Shahrir akui jumpa presiden 1MDB untuk dapat maklumat lanjut

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui bertemu Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, dan berkata pertemuan itu bagi membolehkan beliau memahami isu tersebut secara mendalam.

Shahrir berkata, sebagai ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pengerusi BNBBC, beliau harus memahami isu-isu penting secara mendalam dan ia tidak terikat kepada 1MDB sahaja.

“Ini bermakna sokongan dan pendirian ahli-ahli Parlimen BN adalah berasaskan fakta serta maklumat tepat dan bukan hanya sokongan berasaskan kesetiaan kepada parti semata-mata,” katanya seperti dilaporkan portal BNBBC.my.

Ahli Parlimen Johor Baru itu berkata, BNBBC juga dari masa ke semasa mendapatkan penerangan daripada pelbagai pihak mengenai isu-isu yang ada kaitan dengan kepentingan ramai.

Beliau berkata, pertemuan bersama Arul yang diadakan pada Rabu malam itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, pada malam sebelumnya, beliau turut berjumpa dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah mengenai kedudukan semasa dan perancangan masa depan 1MDB.


Veteran Umno itu berkata, dalam kedua-dua pertemuan tersebut, beliau turut menyampaikan pandangan supaya syarikat berkenan dan kementerian mengambil langkah untuk menambahkan modal syarikat sejajar dengan liabiliti yang ditanggung 1MDB tanpa bergantung kepada dana awam dan pinjaman baru.

“Saya berpendapat 1MDB mempunyai aset yang bernilai tapi sebagai sebuah syarikat ia tidak dimodali sewajarnya,” katanya.

The Malaysian Insider awal hari ini melaporkan, Arul mengesahkan bertemu Shahrir sehari selepas beliau sepatutnya menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Arul bersama mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dipanggil untuk memberikan penjelasan kepada PAC berhubung isu yang membelenggu syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan itu pada Selasa, namun kedua-dua mereka meminta penangguhan kerana tidak hadir pada tarikh tersebut.

Arul bagaimanapun mengatakan pertemuannya bersama Shahrir diadakan hanya selepas beliau pulang ke Malaysia.

"Ya, saya bertemu dengan Shahrir, tapi itu pada Rabu. Saya tidak dapat hadir ke sesi PAC kerana hanya pulang ke tanah air pada Selasa malam," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Saya tidak menyembunyikan apa-apa. Ia satu pertemuan yang baik dan beliau seorang yang bijaksana, seorang yang teliti,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan di mana beliau berada ketika ke luar negara.

"Saya sedia menjawabnya jika ia ditanya dalam sesi PAC nanti," kata Arul.

The Malaysian Insider difahamkan Arul bertemu dengan Shahrir pada malam Rabu di sebuah hotel berdekatan KL Sentral, Kuala Lumpur dan ia berlangsung sehingga lewat pagi.

Shahrir berkata, pertemuan selama tiga jam bersama Arul beliau tidak menyentuh soal penyiasatan PAC terhadap syarikat tersebut.

“Saya menghormati kedudukan PAC sebagai sebuah jawatan kuasa tetap Parlimen, PAC menerima permintaan Arul untuk ditangguhkan kehadirannya kepada suatu tarikh baru menggantikan pertemuan yang sepatutnya diadakan Selasa lalu,” katanya.

Beliau juga mengakui tidak berbincang mengenai PAC dengan Arul kerana percaya proses pengauditan yang sedang dilakukan Ketua Audit Negara serta penyiasatan oleh PAC terhadap 1MDB.

“Itu sesuatu yang harus dihormati malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mahu ia disegerakan,” katanya.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sebelum ini dilaporkan berkata, laporan awal pengauditan yang dijalankan jabatan audit akan dikeluarkan penghujung Jun ini. – 29 Mei, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/...mpa-presiden-1mdb-untuk-dapat-maklumat-lanjut
 
Saya lebih yakin dengan PAC berbanding Audit Negara, kata Dr M

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lebih mempercayai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berbanding Jabatan Audit Negara bagi menyiasat skandal yang melanda 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini kerana, katanya, PAC mampu menyelidik latarbelakang syarikat pelaburan negara yang bermasalah itu dan bertanyakan pelbagai soalan yang berkaitan mengenai semua dananya yang tidak dapat dikesan.

"Saya meletakkan lebih kepercayaan kepada PAC berbanding audit negara. Audit negara hanya memeriksa akaun, mereka tidak melakukan audit forensik, mereka tidak cuba untuk menyelidik dan mengambil tahu di mana wang berkenaan dibelanjakan, bagaimana wang itu dibelanjakan, ke mana wang itu digunakan.

"Mereka hanya memeriksa akaun tetapi mereka tidak akan temui banyak perkara kerana mereka yang menyimpan buku kira-kira ini mungkin orang yang sangat pandai,"
kata Dr Mahathir pada satu ceramah malam ini yang dianjurkan Kelab Koresponden Asing Malaysia di Kuala Lumpur. – 1 Jun, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/...g-audit-negara-kata-dr-m#sthash.4W0W1yqG.dpuf
 
Back
Top
Log in Register