afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Noorazli sedia mohon maaf jika ucapan menyinggung
Ketua Umno Sepang Noorazli Said berkata, beliau ambil maklum reaksi terhadap ucapannya ketika PAU 2026 dan terima perkara itu sebagai satu pengajaran. (Gambar Umno)
Noorazli berkata, beliau faham kisah yang menyentuh figura atau rujukan keagamaan boleh ditafsirkan secara berbeza, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang majmuk.
“Sekiranya penyampaian saya itu menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut Kristian, saya dengan penuh rendah hati bersedia memohon maaf,” katanya dalam kenyataan.
Pada Sabtu lepas, ketika membahaskan ucapan dasar presiden, Noorazli menceritakan jenaka mengenai seorang paderi memandu Proton Saga manual yang menumpangkan seorang biarawati.
Noorazli dikatakan menggunakan ayat yang dikaitkannya dengan Mazmur 129 dalam kitab Injil, namun kandungan itu sebenarnya tidak terdapat dalam bab berkenaan.
Susulan itu, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau yang menyifatkan jenaka itu ‘amat tidak wajar dan menyinggung perasaan’ menggesa Noorazli memohon maaf, pendirian yang turut disokong oleh veteran Umno Sabah Salleh Said Keruak.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, yang turut menggesa Noorazli memohon maaf secara terbuka, menegaskan agama tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka.
Mengulas lanjut, Noorazli menjelaskan kisah yang dikongsikan ketika berucap itu digunakan semata-mata sebagai analogi untuk mengambil pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
Katanya, analogi berkenaan sama sekali tidak dimaksudkan untuk menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama.
Noorazli berkata, beliau mengambil maklum reaksi dan pandangan yang timbul berhubung ucapannya serta menerima perkara itu sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih analogi pada masa akan datang.
“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.
Beliau berharap penjelasan itu dapat meredakan salah faham yang timbul serta memastikan keharmonian dan semangat saling menghormati antara masyarakat terus dipelihara.