afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Menteri perpaduan gesa ‘jenaka’ Noorazli disiasat
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata jenaka yang menyentuh institusi keagamaan, agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut, bukan perkara remeh.
Aaron berkata ucapan itu perlu disiasat di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat melukakan perasaan keagamaan orang lain dan menyebabkan perpecahan atas alasan agama.
Dalam satu kenyataan, Aaron turut berkata ucapan itu juga perlu disiasat di bawah peruntukan berkaitan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Walau apa sekalipun niat di sebalik analogi, jenaka yang menyentuh institusi keagamaan, agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut, tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh.
“Agama bukan bahan jenaka. Perkara yang mempunyai nilai suci dan dihormati oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda, dijadikan bahan gurauan berunsur seksual atau digunakan semata-mata untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan,” katanya.
Aaron juga ambil maklum permohonan maaf Ketua Umno Sepang Noorazli Said berhubung ucapannya itu, dan berharap perkara itu menjadi pengajaran kepada semua
Noorazli dikecam berhubung ‘jenaka’ yang dibuatnya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Umno pada Sabtu yang berkisar tentang seorang paderi dan seorang biarawati.
Perkara itu menyebabkan satu laporan polis dibuat terhadapnya, selain Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh; Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak dan Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau menuntut beliau memohon maaf.
Semalam, pemimpin bahagian Umno itu berkata beliau ‘sedia memohon maaf’ jika beliau ‘menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak’.
Beberapa jam kemudian, beliau meminda hantaran Facebooknya untuk menyatakan bahawa beliau memohon maaf, berbanding mengatakan beliau ‘sedia memohon maaf’.