BTC USD 76,474.1 Gold USD 4,297.49
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Mustapha Galak Pelajar Sabah Ceburi Bidang Peralihan Tenaga, Keterjaminan Makanan

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,153
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,153
Reaction score
346
Points
141
892f7a3e31a7c06a486aa2a02405789d66f9655b2d9e4

Datuk Mustapha Sakmud

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud menggalakkan pelajar khususnya di Sabah untuk menceburi bidang peralihan tenaga dan keterjaminan makanan di peringkat pengajian tinggi selaras dengan keperluan pembangunan masa depan.

Beliau berkata kedua-dua bidang strategik itu kini menjadi fokus utama berikutan perubahan global yang menuntut peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu serta keperluan meningkatkan pengeluaran makanan domestik bagi mengurangkan kebergantungan import.

"Kita berharap pelajar di Sabah khususnya memilih kursus pengajian yang mempunyai kebolehpasaran tinggi dan seiring dengan perubahan global sekarang yang kita lihat berlaku peralihan fokus.

"Kita tidak mahu bergantung dengan bahan api terutama minyak dan gas tetapi kita perlu buat peralihan ke sumber tenaga lain. Itu yang kita ada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER).

"Bidang keterjaminan makanan juga perlu diberi perhatian. Kita tidak mahu pelajar menganggap sektor pertanian dan penternakan ditawarkan universiti atau politeknik tidak memiliki potensi besar kerana jika dilihat krisis global sekarang membuktikan kepentingannya," katanya.

Mustapha berkata kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Sabah II di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Beliau berkata galakan kepada anak-anak Sabah untuk menceburi sektor peralihan tenaga serta keterjaminan makanan itu juga berikutan kedua-dua bidang berkenaan mempunyai potensi besar untuk diterokai di Sabah termasuk Sarawak.

Mustapha berkata Sabah mempunyai kelebihan dari segi keluasan tanah serta kekayaan sumber semula jadi termasuk sumber laut yang menyediakan ruang luas bagi pembangunan sektor pertanian, penternakan dan industri berkaitan.

Bagaimanapun, katanya bakat dan kepakaran modal insan mencukupi dalam kalangan anak-anak Sabah amat diperlukan bagi menggerakkan kedua-dua bidang tersebut sebagai usaha mengangkat negeri ini dan Sarawak sebagai peneraju sektor peralihan tenaga serta keterjaminan makanan negara.

 
Back
Top
Log in Register