Datuk kepada kanak-kanak yang maut di hadapan sekolahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Tugiran Loso, 67, merenung kubur cucunya, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, yang selamat dikebumikan kira-kira pukul 9 malam hari ini.Dalam kejadian kemalangan yang membabitkan mangsa dan sebuah van itu berlaku pada 12.30 tengah hari dan kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah van dalam kemalangan jalan raya di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah hari di hadapan pintu pagar utama sekolah berkenaan.
Beliau berkata siasatan awal oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah van yang berada dalam kawasan sekolah selepas selesai menghantar barang, sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.
“Ketika itu, berlaku perlanggaran dengan mangsa yang merupakan pejalan kaki di hadapan pintu pagar utama sekolah tersebut.
"Mangsa yang juga murid tahun dua sekolah berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan organ dalaman, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pemandu van lelaki tempatan berusia 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, pemandu van berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Terdahulu, jenazah kanak-kanak malang itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa kira-kira 9 malam tadi.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dalam kenyataan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa Nur Aini Umairah Mohd Fareez selain memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menguruskan bantuan sewajarnya selain memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan keluarga murid berkenaan diberi perhatian.
polis, Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah
www.bernama.com