afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,211
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,211
- Reaction score
- 11
- Points
- 25
Pengampunan Najib: PAS perlu elak ‘lebih sudu daripada kuah’, kata penganalisis
Najib Razak disabitkan bersalah enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. (Gambar Bernama)
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, parti itu sepatutnya memberi keutamaan kepada isu seperti kos sara hidup, dengan memberi cadangan menerusi bajet alternatif menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Katanya, Umno lebih mempunyai alasan bersuara mengenai keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) memandangkan Najib ialah bekas presiden parti itu tetapi telah menyuarakan pandangan menghormati proses terbabit.
Menurutnya, pendirian itu sudah mencukupi dan menunjukkan penghormatan Umno terhadap institusi itu serta kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Saya lihat PAS dalam hal ini lebih sudu daripada kuah dan sehingga dilihat seolah-olah mempertikaikan keputusan muktamad penentu menerusi titah baginda untuk penangguhan berkenaan.
“Lebih baik naratif utama parti pembangkang khususnya PAS hari ini ditumpukan kepada isu lain yang sedang dihadapi rakyat iaitu kos sara hidup, sediakan bajet alternatif dan buat persediaan jentera untuk PRN Melaka,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas gesaan PAS supaya kerajaan menjelaskan sebab LPWP menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat seterusnya.
Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, dipetik berkata PAS beranggapan penangguhan itu tidak berlaku dengan sendirinya melainkan terdapat permintaan dalam kalangan anggota LPWP.
Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata PAS tidak perlu mempersoalkan penangguhan kerana soal pengampunan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Isu pengampunan ialah prerogatif Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan tak perlu dipersoalkan,” katanya.
Katanya, PAS boleh menggunakan kedudukannya sebagai pembangkang untuk membangkitkan isu lebih memberi kesan langsung kepada rakyat.
“PAS boleh utarakan khususnya tentang masalah rakyat masa ini,” katanya, merujuk kos sara hidup, harga barang, pengangguran dan isu moral.
Pada Jumaat, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Sultan Ibrahim berkenan menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat pembaga pengampunan akan datang.
Lembaga yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu dijangka mempertimbangkan permohonan pengampunan kedua Najib.
Najib, 73, disabitkan bersalah enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada Ogos 2022. LPWP kemudian mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
Pada Disember tahun lalu, Najib turut disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion dikaitkan dengan 1MDB.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion dan kini merayu terhadap sabitan itu.
