MPA, Ocean Infinity uji operasi kapal tanpa pemandu di perairan pelabuhan SG
Pemandangan kapal berlabuh bersebelahan timbunan kontena di Terminal Pelabuhan Pulau Brani, Singapura, pada 3 Julai 2024. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan syarikat teknologi marin Ocean Infinity akan menguji operasi kapal tanpa pemandu dan dari jarak jauh di perairan pelabuhan Singapura.
Kerjasama itu dijalankan di bawah satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang diumumkan pada Isnin (17 Ogos).
IKLAN
Ia merupakan antara beberapa inisiatif keselamatan maritim yang diumumkan sempena pembukaan Singapore Safety@Sea Week ke-13, yang berlangsung sehingga Jumaat (21 Ogos).
Acara anjuran MPA itu menghimpunkan sekitar 1,500 peserta daripada masyarakat maritim.
Menurut MPA, inisiatif tersebut bertujuan menyokong perkongsian pembelajaran, meningkatkan keupayaan operasi serta mempersiapkan industri untuk menggunakan teknologi baharu dengan selamat.
UJI KAPAL TANPA PEMANDU
Di bawah MOU itu, Ocean Infinity akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan daripada operasi maritim tanpa pemandu dan dari jarak jauh.
IKLAN
MPA pula akan menyediakan kepakaran bagi membantu mereka bentuk dan menjalankan ujian serta menilai aspek keselamatan dan operasi.
Kedua-dua pihak juga akan menyokong pembangunan keupayaan, percubaan operasi dan kerjasama penyelidikan.
Menurut MPA, ujian itu akan memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai kapal tanpa pemandu dan pusat operasi jarak jauh.
Hasilnya akan membantu menentukan bagaimana teknologi tersebut boleh diperkenalkan dengan selamat di perairan pelabuhan Singapura pada masa depan.
Ocean Infinity mengkhusus dalam bidang robotik dan pengumpulan data bawah laut berskala besar.
IKLAN
Armada syarikat itu merangkumi sistem yang dikendalikan dari jarak jauh, kenderaan bawah air tanpa pemandu dan pusat operasi di darat.
Menteri Negara Kanan Undang-Undang merangkap Pengangkutan Murali Pillai berkata kerjasama tersebut akan memperdalam pemahaman mengenai kapal tanpa pemandu dan pusat operasi jarak jauh, selain menyokong pembangunan keupayaan dan percubaan operasi.
SISTEM BAHARU PANTAU OPERASI PELABUHAN
MPA turut mengumumkan penggunaan Sistem Perintah, Kawalan dan Komunikasi Operasi Pelabuhan Bersepadu (IPOC) bagi meningkatkan pemantauan keadaan di laut.
Sistem itu dibangunkan bersama Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) dan ST Engineering.
IKLAN
Ia menggabungkan data masa nyata daripada pelbagai sumber bagi memberikan pegawai MPA gambaran menyeluruh mengenai operasi dan kegiatan di pelabuhan.
Peralatan berasaskan peta pula membolehkan pegawai menyelaras operasi, berkongsi maklumat dan mengenal pasti kemungkinan risiko dengan lebih pantas.
Menurut MPA, sistem itu akan membantu pegawai membuat keputusan dan mengerahkan sumber dengan lebih cepat.
SISTEM LAPOR INSIDEN 'NYARIS KEMALANGAN'
Majlis Keselamatan Maritim Kebangsaan dan Persatuan Perkapalan Singapura turut melancarkan Sistem Pelaporan Insiden Nyaris Kemalangan Singapura.
Ia bertujuan menggalakkan laporan mengenai kejadian yang hampir menyebabkan kemalangan serta perkongsian pengajaran daripada insiden tersebut.
Sistem itu menyediakan saluran online sulit bagi melaporkan insiden sedemikian.
Maklumat yang diterima akan dirahsiakan identiti sebelum pengajaran utama mengenai keselamatan dikongsi dengan masyarakat maritim.
Encik Murali turut menggariskan tiga keutamaan bagi meningkatkan keselamatan maritim - menggunakan teknologi secara bertanggungjawab, membuat persediaan awal bagi menghadapi risiko baharu dan memastikan manusia kekal sebagai teras keselamatan.
Beliau berkata keselamatan maritim amat penting bagi Singapura sebagai sebuah negara pulau kecil yang kemakmurannya bergantung kepada laluan laut yang terbuka, selamat dan berfungsi dengan baik.
MPA, Ocean Infinity uji operasi kapal tanpa pemandu di perairan pelabuhan SG
SINGAPURA: Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan syarikat teknologi marin Ocean Infinity akan menguji operasi kapal tanpa pemandu dan dari jarak jauh di perairan pelabuhan Singapura. Kerjasama itu dijalankan di bawah satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang diumumkan pada Isnin (17...