ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
SESETENGAH rakyat Malaysia semakin kurang berkomunikasi secara lisan kerana leka bermain telefon pintar . GAMBAR HIASAN
PADA hari ini kita perlu akui dan menerima kenyataan bahawa kebanyakan daripada kita tidak boleh meneruskan kehidupan dan tugas seharian andai tidak mempunyai kemudahan internet. Baik golongan pekerja, peniaga, pelajar mahupun suri rumah hampir kesemuanya umpama menjadi hamba kepada dunia internet terutamanya media sosial seperti facebook, twiter, instagram dan juga blog.
Akibatnya internet dilihat sudah menjadi medium perhubungan dan komunikasi serta sumber maklumat utama yang cukup penting dan popular pada masa kini.
Tiada siapa boleh menafikan kepentingan internet mahupun media alternatif dalam dunia tanpa sempadan namun persoalannya sejauh mana internet ini digunakan dengan betul dan dengan matlamat serta tujuan yang membawa kepada kebaikan.
Kita harus akui masyarakat pada hari ini semakin menjauhkan diri daripada media cetak seperti akhbar dan juga media elektronik seperti televisyen dan radio yang pada satu ketika telah menjadi sumber berita dan maklumat yang paling utama, rasmi, sahih dan dipercayai.
Generasi Y misalnya, seolah-olah sudah mula tidak kenal dan menyedari peranan yang telah dimainkan oleh kedua-dua media selama ini.
Realitinya pada hari ini tugas media-media terbabit semakin hari semakin digantikan dan diambil alih oleh internet melalui pelbagai media sosial. Antara sebabnya adalah elemen kepantasan dalam menghebahkan mahupun berkongsi sesuatu maklumat dan berita.
Kita boleh mengetahui sesuatu berita, kejadian mahupun maklumat sepantas kilat dalam beberapa saat sahaja dan ianya boleh merentasi seantero pelosok dunia.
Ini menyebabkan masyarakat mengalihkan perhatian dan fokus kepada internet dalam mendapatkan sesuatu maklumat dengan segera. Oleh kerana sesiapa sahaja boleh menyebarkan apa saja maklumat yang mereka kehendaki maka timbul persoalan sejauh mana maklumat dan berita itu benar dan sahih.
Itu belum lagi tindakan segelintir individu mahupun kelompok yang sememangnya berniat jahat dengan menyalahgunakan media sosial yang ada untuk melakukan pelbagai provokasi dengan menyebarkan pelbagai maklumat dan berita yang sensitif, yang menaikkan kemarahan orang lain serta mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Kita akui internet banyak kelebihannya dan sebagai masyarakat yang progresif dan menuju negara maju kita wajar meraikan kehebatan dan kepentingan internet ini namun kita juga perlu berhati-hati agar ianya tidak menjadi pisau yang bakal menikam kita mahupun api yang bakal membakar semuanya kelak.
Mutakhir ini pelbagai senario dapat kita lihat berlaku dalam masyarakat kita membabitkan pelbagai sebaran dan hebahan berbentuk dakyah, fitnah dan provokasi untuk memecah belah perpaduan dalam kalangan rakyat kita.
Isu-isu sensitif seperti isu agama, kaum, bahasa, raja-raja Melayu serta hak-hak keistimewaan orang Melayu adalah antara perkara yang sering dipolemikkan oleh kumpulan dan individu tertentu dalam media sosial dengan matlamat untuk mencetuskan huru-hara dan perbalahan dalam kalangan rakyat pelbagai agama dan bangsa di negara kita. Akibatnya suhu politik dan perpaduan kaum semakin mendidih dan meningkat naik.
Itu belum lagi soal pelbagai laman web lucah yang menarik perhatian pelajar dan remaja kita. Sudah pastinya ini menyumbang kepada pelbagai masalah sosial dalam masyarakat kita yang semakin hari semakin meningkat. Sebut saja masalah dadah, rogol, cabul, merompak dan meragut semuanya semakin berleluasa dan membimbangkan.
Ternyata kebebasan yang kita berikan selama ini dengan tidak menapis internet mula menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada masyarakat.
Pada detik ini tidak keterlaluan untuk kita mengatakan internet lebih mendatangkan kemudaratan kepada kita terutamanya apabila tidak dilakukan tapisan yang sewajarnya.
Justeru, penulis berpandangan sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan dan agensi berkaitan meletakkan titik noktah kepada pelbagai masalah yang timbul akibat penyalahgunaan internet oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai kepentingan dan agenda peribadi.
Sudah tiba masanya untuk kita bertindak lebih agresif dan tegas agar kekalutan dan kekecohan yang dicetuskan oleh internet terutamanya media sosial dapat ditangani dan dihentikan segera.
Maka kerajaan wajar menilai dan mempertimbangkan cadangan untuk menapis kandungan internet agar tidak lagi mendatangkan kemudaratan mahupun mencetuskan kekecohan dalam masyarakat.
Kita tidaklah berniat untuk menghalang terus mahupun menyekat penggunaan internet terutamanya media sosial seperti yang dilakukan oleh beberapa negara luar walaupun kita sedar banyak mendatang keburukan dan masalah namun apa yang kita harapkan pihak kerajaan perlu mengawal dan menapis agar tidak disalahgunakan sewenang-wenangnya.
Dalam konteks ini apabila kita meletakkan kepentingan awam dan negara maka tidak timbul soal menyekat hak kebebasan rakyat. Malah kita juga perlu sedar hak kebebasan tetap ada batas dan hadnya.
Mana mungkin kita boleh membiarkan hak kebebasan seperti ini merobek perpaduan kaum dan keselamatan negara yang kita bina selama ini.
Semua pihak perlu sedar betapa sudah ada pihak yang begitu licik memasang strategik untuk menghancurkan segala apa yang kita pelihara selama ini. Kerakusan dan ketamakan politik serta kepentingan peribadi jelas menjadi faktor pendorong utama mereka dalam mengambil jalan mudah dengan menyebarkan pelbagai dakyah, fitnah dan provokasi dalam media alternatif.
Itu belum lagi peranan yang dimainkan oleh segelintir pengguna laman sosial yang suka menjadi wartawan ekspres apabila memuat naik gambar mahupun menyebarkan berita dan laporan yang sensitif mahupun menyentuh perasaan mana-mana pihak yang berlaku di sekitar kita dengan begitu cepat tanpa mempedulikan kesannya kelak.
Tindak tanduk seperti inilah yang secara berterusan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat negara ini. Dan apakah kita mahu membiarkan perkara in terus berlaku?
Ringkasnya, internet dan media sosial adalah umpama api yang ada ketikanya boleh jadi kawan dan ada kalanya boleh jadi lawan. Terserah kepada kita sebagai pengguna memanfaatkan kemudahan ini.
Justeru, penulis amat yakin dan percaya bahawa inilah masa yang terbaik untuk pihak kerajaan mengenakan sedikit sekatan terhadap penggunaan internet kerana seperti kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, perkembangan pesat media sosial ketika ini umpama senjata yang jika tidak dikawal boleh membawa keburukan kepada masyarakat.
PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal
Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia.