combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Melaka Umum Inisiatif Perlindungan Perkeso, Peranti Fish Finder Untuk Nelayan
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua, kiri) menyampaikan Bantuan Jaring Nelayan kepada wakil penduduk sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Jeti Pengkalan Nelayan Kuala Sempang, Jasin hari ini.
Kerajaan Melaka mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi meningkatkan kebajikan dan produktiviti nelayan di negeri itu termasuk menyediakan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta peranti pengesan ikan (fish finder) kepada semua nelayan berdaftar.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif itu diumumkan sempena siri kelima program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang memberi peluang kepada kerajaan negeri mendengar sendiri keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
"Kita tidak mahu hanya duduk di kerusi empuk di pejabat, sebaliknya turun padang bersama barisan Exco untuk melihat sendiri keperluan rakyat dan mengenal pasti bentuk sokongan yang boleh diberikan.
"Hari ini kita bersama komuniti nelayan dan membuat beberapa keputusan penting termasuk memastikan semua nelayan mendapat caruman perlindungan PERKESO serta dibekalkan peranti fish finder bagi membantu meningkatkan hasil tangkapan," katanya ketika berucap pada program itu di Pengkalan Jeti Kuala Sempang, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, kira-kira 107 nelayan berdaftar turut menerima pemberian sumbangan sebanyak RM200 menerusi Bantuan Jaring Nelayan dengan peruntukan berjumlah RM21,400.
Selain itu, sebanyak 360 kilogram ikan cencaru dan ikan mata besar bernilai RM3,600 turut diagihkan secara percuma kepada penduduk dan orang ramai, dengan setiap penerima memperoleh kira-kira 1.5 kilogram ikan.
Sementara itu, nelayan Kuala Merlimau Amirul Shah Fuad Shah, 35, berkata pemberian fish finder bakal membantu nelayan mengesan lokasi kawanan ikan dengan lebih tepat sekali gus meningkatkan kecekapan operasi menangkap ikan.
"Kalau ada fish finder, nelayan boleh mengesan kawasan yang mempunyai banyak ikan dan terus menjaring di lokasi itu. Sebelum ini kami hanya bergantung kepada pengalaman dan anggaran.
"Kalau beli sendiri, harganya boleh mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000, jadi bantuan ini amat bermakna," katanya yang telah lebih 20 tahun menjadi nelayan.