Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
MCMC, JIM Meterai Kerjasama Perkukuh Penguatkuasaan Jenayah Rentas Sempadan
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kiri) bercakap pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya hari ini. Turut kelihatan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (dua, kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kanan).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara dalam menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan canggih.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat teras utama kerjasama itu ialah pembinaan kapasiti, perkongsian risikan, siasatan bersama dan operasi bersama, selaras dengan keperluan agensi penguatkuasaan untuk menyesuaikan pendekatan dengan perubahan modus operandi jenayah.
"Inisiatif JIM dan MCMC langkah yang betul untuk menggabung dua kekuatan agensi ini. Sekurang-kurangnya untuk kita mitigate (mengurangkan) potensi jenayah yang semakin menggerunkan,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran MoU itu di sini hari ini.
Pertukaran MoU itu disempurnakan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dengan disaksikan Saifuddin dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Saifuddin berkata kerjasama itu penting memandangkan perkembangan teknologi kini menyebabkan bentuk jenayah berubah, terutamanya apabila urusan pengedaran dadah dan jenayah komersial kini memanfaatkan platform digital serta transaksi dalam talian.
Beliau berkata penguatkuasaan menjadi semakin sukar berikutan keluasan sempadan negara yang memerlukan kerajaan memperkukuh aset, perundangan dan keupayaan agensi penguatkuasaan.
“Jadi mesejnya sama saja. Jenayah menjadi semakin kompleks dan canggih. Kerajaan dan juga agensi penguatkuasaan mesti menjadi lebih maju daripada pelaku jenayah. Kalau kita tertinggal dua tiga langkah ke belakang, kita akan terus tidak dapat tangani dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata kerjasama berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan yang dipacu perkembangan teknologi.
“Hakikatnya, jenayah hari ini bukan lagi terbatas kepada sempadan fizikal. Sindiket jenayah seperti penipuan dalam talian atau scam, pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan identiti turut melibatkan rangkaian komunikasi dan platform digital,” katanya.